"Ummi?" Mahfuz menjengulkan kepala ke bingkai pintu dapur. "Makanan ada lagi ke? Adik lapar."
Tiada sesiapa di dapur waktu itu.
Rasa lapar menjengah kerana tidak menjamah apa-apa buat hari itu. Periuk nasi dibukanya. Sebiji pinggan dari rak dicapai.
Dia tidak lagi pulang ke Balawi untuk berkhidmat seperti biasa. Pertengkaran kecil antara dia dan sahabat karibnya tidak bertemu kesudahan apabila dua-dua menyepikan diri. Sudah pasti Arif sedang sibuk sekarang ini untuk persiapan nikahnya pada minggu hadapan. Pejam celik, hujung bulan akan tiba. Banyak perkara yang telah terjadi buat minggu ini sahaja.
Hidangan bawah tudung saji diintai Mahfuz lalu dia segera berlabuh di kerusi. Mangkuk yang masih tersisa lauk tengah hari tadi ditariknya lebih dekat. Mahfuz menyudu sayur kegemarannya ke atas timbunan nasi. Ayam goreng menjadi pelengkap menu ringkas pada petang itu.
Setelah membaca doa makan, pemuda berkenaan mula menjamah dengan tertib. Kunyahannya terkadang lama dek fikiran yang menerawang pelbagai perkara.
Balqis telah menyekat nombor sim kad Mesir Mahfuz. Gadis itu benar-benar tidak mahu Mahfuz mengganggu kerana sudah bertunang. Lama juga Mahfuz berfikir untuk melepaskan kejaran, dia tak mampu melelapkan mata semalam. Kata-kata Arif asyik berulang dalam kotak fikiran.
Adakah benar dia mencintai Balqis kerana gadis itu melengkapinya atau sekadar nafsu semata-mata?
Itulah yang mengganggu Mahfuz. Satu suapan nasi dimasukkan ke dalam mulut.
Sayangnya dia terlewat untuk berkenalan dengan Balqis. Kalaulah...
"Mahfuz," sapa satu suara dari belakangnya.
Mahfuz menoleh ke belakang dengan jongketan kening.
Wajah Fatihah yang bertudung elok sedang memerhatikan perbuatannya. Mata gadis itu sedang melekat pada pinggan nasi Mahfuz.
"Kenapa? Bitbussili kida leyh?" Hairan Mahfuz. (Bitbussili kida leyh= kenapa kamu melihat saya seperti itu)
Fatihah perlahan-lahan merapati meja anak bongsu tuan rumah. Dulang dalam pegangan diletakkan seketika di atas meja sebelum dia kembali memandang Mahfuz. "Awak makan sayur ni ke?"
"Ya. Kenapa?" ulang Mahfuz. Kunyahan di mulut segera disudahkan.
"Ni sayur tengah hari tadi. Saya rasa dah basi. Sekejap, saya tengok," khabar gadis berkenaan. Rasa kekok untuk duduk serumah dengan Mahfuz tidak hilang walau dia sudah tinggal tidak berbayar selama tiga hari tiga malam. Keberadaan Mahfuz yang masih tidak kembali ke Balawi membuatkan Fatihah segan untuk terus di situ.
Mahfuz makin berkerut. Pinggan nasinya dilihat sudah hampir licin dek terlalu lapar. Hanya tinggal beberapa suapan nasi sahaja lagi.
Fatihah mengambil sudu dan melihat tekstur kuah sayur yang sudah berlendir. Baunya pun sudah lain. Kedua-dua belah tangannya memegang mangkuk sayur itu. "Kenapa awak makan makanan basi?"
YOU ARE READING
LUTH MAHFUZ : JALAN TAUBAT ✓[C]
RomanceBOOK #4 of 𝕳𝖎𝖏𝖗𝖆𝖍 𝕰𝖉𝖎𝖙𝖎𝖔𝖓 Bismillah LUTH. Seorang lelaki yang diibaratkan budak jalanan sejak kecil. Membesar di setiap lorong bagi mencari sesuap nasi. Tiada kasih sayang ibu bapa. Larinya dari rumah anak yatim kerana satu trajedi. MA...