Qada' dan qadar.
Ia takdir daripada Allah Ta'ala dengan ilmunya yang azali. Tiada satu pun yang berlaku melainkan dengan takdir Allah. Tiada satu habuk yang bergerak melainkan dengan kehendak Allah.
Lahirnya seorang hamba, telah tertulis ajal, rezeki dan segalanya di Luh Mahfuz.
Mahfuz terduduk di atas lantai.
Kadang-kadang manusia terlalu mendabik dada. Mereka lupa apa yang ada pada tubuh mereka hanyalah pinjaman. Keluarga, kehormatan dan kekayaan itu bukanlah milik mutlaknya.
Air mata jatuh menuruni pipi.
Kehendaknya Allah ke atas sesuatu tiada siapa yang dapat menghalang. Apabila Allah mahu menarik apa yang dimegahkan, sekelip mata pun boleh terjadi. Hingga diri itu terduduk dan tidak mampu bangun lagi.
Manusia diberi pilihan. Namun semua pilihan itu di bawah ilmu Allah yang azali. Mendabik dada adalah pilihan, sedang ada sesetengah yang memilih untuk hidup berzuhud walau kehormatan diri menjulang tinggi.
Mahfuz menggeleng tidak mengerti. Dia takut berada dalam tubuh lelaki yang tidak diketahuinya itu. Lagi takut apabila membuka beberapa barangan yang ada di dalam bilik.
Wajah sendiri disentuh.
Kepingan gambar di atas lantai itu adalah dia dengan wajah yang sama. "Ni bukan aku..."
"Aku Mahfuz..." nafi sang hati.
Terpamer gambar tubuh sendiri dalam keadaan yang hina bersama seorang gadis. Tanpa seurat benang, tubuh yang sedang dia miliki ini ada di dalam gambar.
"Ni bukan aku..." Mahfuz menggeleng berkali-kali. Mana mungkin dia boleh berada dalam keadaan jijik sebegitu. Entah apa lagi perkara terkutuk yang akan disabitkan ke atas tubuh itu.
Tangannya meraup wajah kasar.
"Ya Allah... Ujian apa yang kau timpakan ke atas aku?" rintihnya. Dia tersandar lemah pada besi katil. Semuanya serba tidak kena.
Dalam keadaan ketakutan, Mahfuz mengambil sebatang pemetik api di atas katilnya. Bekas abu rokok di bawah katil ditarik keluar. Segala gambar maksiat atas wajahnya dikoyak kepada cebisan kecil. Api pun dihidupkan membakar 'sampah' itu.
Satu demi satu gambar menjadi abu di hadapan mata Mahfuz. Api memakan kertas itu dengan lazatnya di malam hari. Getaran dadanya tidak pun berkurang. Hapuskan gambar bukannya mengubah apa-apa. Dia tetap hina. Perbuatan maksiat telah dilakukan dengan tubuh ini. Sunyi sepi keadaan rumah itu. Mawar sedang di tempat kerja, Mahfuz terbiar di bilik sejak siang lagi.
Bekas kotak plastik yang terbuka penutup dirapati Mahfuz. Tangan terketar-ketar buat sambung menyelongkar. Hujung jarinya menyentuh sesuatu di celahan barang. Dia menariknya untuk diperiksa apakah itu.
Segala barangan mula menceritakan kehinaan diri. Terdapat banyak lagi gambar simpanan di dalam sampul surat. Wajah gadis berbeza yang terpamer, cukup melihat sedikit Mahfuz sudah melemparkannya jauh. Habis berterabur kepingan gambar-gambar di dalam bilik kecil itu.
YOU ARE READING
LUTH MAHFUZ : JALAN TAUBAT ✓[C]
RomanceBOOK #4 of 𝕳𝖎𝖏𝖗𝖆𝖍 𝕰𝖉𝖎𝖙𝖎𝖔𝖓 Bismillah LUTH. Seorang lelaki yang diibaratkan budak jalanan sejak kecil. Membesar di setiap lorong bagi mencari sesuap nasi. Tiada kasih sayang ibu bapa. Larinya dari rumah anak yatim kerana satu trajedi. MA...