42 : LUTH MAHFUZ [TAMAT]

4.5K 426 57
                                    

"Awak rasa sakit lagi?" Fatihah berlabuh sedikit jauh dari tempat baringan Mahfuz setelah menutup lampu bilik. Lampu tidur sahaja yang dibiarkan terpasang. Dia yang bertudung sarung masih segan dengan lelaki itu meskipun telah sah bergelar suami isteri.

Mahfuz menggeleng. Usai solat isyak, terus lelaki itu masuk ke bilik dan termenung sendiri. Wajah isterinya dilihat lama.

Hal siang tadi tidak diketahui Fatihah pun. Kehadiran Khairul berakhir dengan halauan Mahfuz. Ditambah dengan penat mengemas siang tadi dan sakit kakinya, Mahfuz hanya mahu berehat.

"Awak ada masalah ke? Kenapa saya tengok macam kusut je..." Gadis itu berasa lain. Mahfuz yang siang tadi amat ceria.

"Ummi beritahu saya... Untuk tunggu lagi satu kali tempoh suci sebelum dapat bersama awak," lelaki itu tersenyum kecil. Ruang kosong di sebelah ditepuk perlahan. "Duduklah sini."

"Ummi kata apa lagi pada awak?" bimbang Fatihah. Dia berasa tidak sedap hati. Pasti Mahfuz telah tahu betapa hinanya dia sewaktu dahulu.

"Itu sahaja," balas Mahfuz separa berbisik. Dia menarik nafas dalam. Sangkaan buruk cuba diletak jauh-jauh kerana tak mahu gadis bertudung litup itu terasa hati. Padanlah walid ada menasihatinya tempoh hari mengenai aib dan zaman jahiliyah seseorang. Orang yang dimaksudkan itu ialah Fatihah.

"Oh..." Senyuman kecil terbentuk di bibir gadis itu. Dia perlahan-lahan datang mendekati Mahfuz. "Kenapa awak sakit dada siang tadi?"

"Penat... Banyak sangat fikir... Sakit kaki lagi..." ujar Mahfuz satu per satu. "Mungkin sebab saya minum kopi semalam. Banyak sebab boleh develop rasa sakit ni."

"Awak sakit apa sebenarnya?" soal Fatihah polos. Hingga sekarang dia tidak mengertai mengapa orang muda seperti Mahfuz boleh ada sakit jantung.

"Jantung saya ada defect sikit dekat bahagian ventricle. Benda ni terjadi sejak saya dalam rahim ummi. Jadi... Macam tu lah," Mahfuz tersenyum sahaja. Fatihah kelihatan tidak mengesyaki tentang aib yang telah terbuka mentah-mentah pada Mahfuz. Andai gadis itu tahu , bersua muka dengan suaminya pun tidak mahu sampai bila-bila.

Tangan kasar Mahfuz menarik lengannya meminta untuk berbaring. Fatihah menuruti dan terus mendaratkan kepala beralaskan bantal di sebelah lelaki itu.

"Fatihah, saya nak cakap sikit boleh?" soal Mahfuz.

"Apa?" Kening gadis itu diangkat. Sengaja mahu mengajuk suaminya. Bibir masih tidak lekang dengan senyuman. Mata hazel itu mahu ditatap sedalam-dalamnya.

"Saya terima semua baik dan buruk awak. Awak dah jadi sebahagian daripada hidup saya. Kalau awak sakit, saya pun sakit juga. Kebahagiaan awak, juga kebahagiaan saya," tutur lelaki itu.
"Saya tak nak awak rasa tersisih bila duduk dekat rumah ni sebab awak dah jadi isteri saya." Senyuman manisnya membalas lekukan bibir Fatihah. Dia merapati tubuh gadis itu lalu memeluknya.

Perbuatan itu membuatkan Fatihah terkesima. Tiba-tiba tubuh kurusnya dipeluk Mahfuz. Lelaki itu diam, begitu juga bibir sendiri yang terketap rapat. Hangat kasih sayang si dia mengalir perlahan-lahan. Fatihah selalu berfikir layakkah dia untuk menjadi isteri lelaki baik seperti Mahfuz.

"Kita mulakan hidup baru. Yang lama biarkan sebagai pengajaran bukan sebagai hukuman," bisik lelaki itu.

Kata-kata itu menusuk ke kalbu si gadis. Maksiat lampaunya terlayar di minda. Terlalu banyak zina telah dilakukan seperti perempuan liar. Khairul juga telah melayannya bagaikan haiwan pelepas nafsu. Baru hari ini ada lelaki yang mahu menerima diri itu. Pelukan ikhlas Mahfuz tidak bermaksud apa-apa. Lelaki itu hanya mahu mengkhabarkan pada Fatihah bahawa dia akan sentiasa ada. Jauh bezanya jika dengan Khairul. Khairul memeluk dengan nafsu, dipaksa jua melakukan apa sahaja keinginannya walaupun Fatihah tidak mahu.

LUTH MAHFUZ : JALAN TAUBAT ✓[C]Where stories live. Discover now