Tekaknya yang berpasir meminta bilasan air. Mata dililaukan kiri, kanan, atas dan bawah. Luth tersedar di biliknya lagi. Sebuah bilik yang tersedia katil bujang dan rak baju, cukup memadai untuk anak teruna seperti dia.
Perkara pertama yang perlu diperiksa ialah masa.
9.00 pagi.
Daya menolak badan bangun dari pembaringan. Tika melangkah ingin ke tingkap bilik, dia terhenti di hadapan sebuah cermin dinding. Wajah sendiri menjadi tatapan diri.
Luth tersenyum kecil. Perlahan-lahan jemari meraup rambut ke belakang buat diikat. Tabiatnya memakai getah rambut pada tangan kanan tidak terubah sejak kecil. Seutas getah rambut mengemaskan wajah mengantuk itu.
Lelaki itu termenung di birai tingkap.
Lembap udara pagi dihirup memenuhi dada. Hijau pokok jauh di sana menjadi penenang setiap kali hatinya galau. Bibir mulut terkatup rapat.
"Bangun dah?"
Luth tidak pun menoleh ke pintu.
"Mawar bawa abang balik ke semalam?" soal Luth. Kilauan mentari pagi terbias di lensa mata. Dia memilih untuk kekal menghadap tingkap. Ingatannya pada waktu itu kabur sahaja. Yang pasti Mawar ada setiap kali dia mabuk begitu. Entah kenapa selepas minum segala air kencing syaitan, Luth masih memikirkan Mawar. Waktu semalam juga begitu, dia risaukan Mawar yang masih tidak pulang walhal sudah jam 2 pagi.
"Ya." Si gadis pun tak mahu menapak ke dalam bilik Luth.
"Nak pergi kerja?" soal Luth.
"Ya."
Dingin hubungan mereka atas kekhilafan Luth sendiri.
Luth berpusing ke arah Mawar. Dia menurunkan ego untuk seorang gadis yang telah dianggap seperti adik sendiri. "Ambil la duit ni buat makan tengah hari."
Masih cuba membaiki di mana silapnya. Hubungan akrab dahulu agak sukar untuk kembali terjalin setelah apa yang terjadi.
Sekeping wang kertas RM100 dikeluarkan daripada dompet kulit yang tersadai di tepi bantal. Luth mengangkat wajahnya, segaris senyuman menyambut Mawar. Merah pipinya tidak padan dengan wajah mencuka, kan lebih baik jika Mawar mengurangkan marahnya pada Luth.
"Tak payah, Mawar ada duit sendiri," tolak Mawar.
"Ambillah," pujuk Luth. Dia benar-benar berharap Mawar akan cuba mengisi lompong kosong dalam hubungan mereka yang kian retak. Selangkah lebih dekat, tubuh Luth berdiri tegak di hadapan gadis manis itu.
Perempuan lain akan berdebar jika serapat itu, Mawar tidak akan punya apa-apa rasa. Sejak kecil mereka akrab seperti adik beradik, bergaduh bagaimana pun tetap akan berbaik kembali bak kata orang air dicincang tidak akan putus. Namun, peristiwa Luth mahu mencabulnya masih segar dalam ingatan, telah meletakkan Mawar setapak menjauhi Luth.
YOU ARE READING
LUTH MAHFUZ : JALAN TAUBAT ✓[C]
RomantikBOOK #4 of 𝕳𝖎𝖏𝖗𝖆𝖍 𝕰𝖉𝖎𝖙𝖎𝖔𝖓 Bismillah LUTH. Seorang lelaki yang diibaratkan budak jalanan sejak kecil. Membesar di setiap lorong bagi mencari sesuap nasi. Tiada kasih sayang ibu bapa. Larinya dari rumah anak yatim kerana satu trajedi. MA...