Hafalannya di setiap muka surat kitab dan dhobit yang diperoleh daripada guru yang thiqah disampaikan dengan baik sekali. Hinggalah matanya terpana pada satu wajah yang terselindung di sebalik sehelai niqab hitam, lidah Mahfuz jadi kelu. Mahfuz menggelengkan kepala perlahan. Dia beristighfar dan berselawat bagi menenangkan hati. Rasa suka itu benar-benar mengganggu ketenangannya. Hinggakan siapa-siapa yang dilihat berpurdah dia akan menganggap gadis itu sebagai Balqis.
Usai kuliyah Subuh pada hari itu, Arif bingkas berdiri. Dia bersalaman dengan beberapa orang jemaah berdekatannya sambil kaki melangkah mendekati Mahfuz. Di kerusi itu Mahfuz sedang meneguk air mineral, mata rakannya pula sedang jauh menatap seorang gadis berpurdah jauh di sebalik tirai jemaah perempuan yang terbuka.
"Boleh kita bercakap?"
"Hm?" Mahfuz menelan air yang dikemamnya. Dia pun turut berdiri dan membaiki ridak pada bahu. Wajahnya berpaling ke jam dinding sebelum jatuh pada raut wajah Arif. Belum pukul 7 pagi lagi.
"Mahfuz, jom duduk dekat wakaf sekejap."
Dada langit terhias cahaya matahari yang baru hendak terbit. Beberapa ahli jawatan kuasa masjid sedang menutup suis lampu dan kipas surau. Rata-rata jemaah telah pulang ke rumah masing-masing sama ada dengan menaiki motor atau berjalan kaki.
" Apa yang kau nak cakap dengan aku?" soal Mahfuz. Dia menyimpulkan senyuman manis melihat keindahan waktu pagi yang akan berganti dhuha. Dua pemuda itu berlabuh di waqaf kayu di hadapan masjid. Berdekatan kawasan itu juga terpakir kereta Arif.
"Aku rasa kau ni tengah angau," ujar Arif tiba-tiba.
Senyuman Mahfuz terus pudar. "Apa maksud kau?"
"Aku perasaan kebelakangan ni kau asyik terganggu bila mana ada perempuan berpurdah dekat jemaah perempuan. Kenapa? Kau harap tu Balqis ke?" Hal serius ini perlu ditegur demi kebaikan Mahfuz juga.
Mahfuz terdiam seketika. Ridak pada bahu dibawa turun ke riba. Dia sendiri tidak tahu kenapa dengan dirinya ini.
"Ya, aku ingat tu Balqis."
"Maaf kalau aku tanya. Kau suka Balqis sebab apa?" Satu soalan cepumas menanti jawapan dari Mahfuz.
"Sebab aku suka bila tengok dia. Suka pun perlukan jawapan ke?"
"Ya, Mahfuz. Untuk kahwin dengan seseorang kau perlukan asbab. Atas abab apa kau nak Balqis?" Perubahan Mahfuz dapat diperhatikan tatkala dia tinggal sebilik dengan lelaki itu. Agak mengejutkan apabila kerja Mahfuz sebelum tidur ialah 'stalk' akan sosial milik Nurul Balqis.
" Cinta pandang pertama?" Mahfuz agak bingung mahu beri jawapan apa.
" Kau takde sebab nak kahwin dengan dia. Kau lihat dia sebagai halwa mata je. Kebiasaannya orang cinta pandang pertama ni disebabkan nafsu. Kau bukan kenal dia pun, tapi tiba-tiba boleh jatuh cinta. Kerana apa? Kerana mata yang melihat. Kadang-kadang manusia boleh tertipu hanya kerana mata. Hati ni perlu menilai dulu baik dan buruk sesuatu perkara. Bilamana hati kita dah tahu itu permata, usaha untuk dapatkan permata tu. "
YOU ARE READING
LUTH MAHFUZ : JALAN TAUBAT ✓[C]
RomanceBOOK #4 of 𝕳𝖎𝖏𝖗𝖆𝖍 𝕰𝖉𝖎𝖙𝖎𝖔𝖓 Bismillah LUTH. Seorang lelaki yang diibaratkan budak jalanan sejak kecil. Membesar di setiap lorong bagi mencari sesuap nasi. Tiada kasih sayang ibu bapa. Larinya dari rumah anak yatim kerana satu trajedi. MA...