"....." Aku terdiam apabila Bell yang datang secara senyap tanpa Taik. Aku tak tahu kenapa dia ke sini dan dia... Membawa buku.
"Hi... Awak jangan takut saya datang ke sini bukannya nak apa-apakan awak. Jangan bising tau... Ayah tak tahu saya di sini," kata Bell lalu membuka bukunya di hadapanku. Aku rasa dia yang sepatutnya takut dengan aku.
"Tengok ni... Ini gambar naga ayah yang dulu comel kan?" Tunjuknya kepadaku. Kini baru aku tahu itu bukannya buku tapi album. Ada banyak foto anak naga yang kecil seakan baru menetas dari telurnya. Warna dia agak cantik yang nampak seperti cyan.
"Ayah kata ayah jaga Wings sejak dia dari telur lagi sebab itu ayah sayangkan Wings. Ayah dan Wings membesar bersama-sama tau tapi bila umur ayah 10 tahun dan Wings umur 6 tahun... Wings jadi lebih besar dari ayah dan ayah dapat menunggang Wings," ceritanya lagi. Jadi maknanya mengikut perkiraan aku dia dah jaga Wings sejak umur dia 4 tahun.
"Ini waktu ayah kahwin dengan mak, tengok Wings pun sukakan mak juga dan badan dia sememangnya besar kan? Ayah kata dalam pertarungan Wings tak pernah kalah," katanya lagi sambil terus menyelak album itu satu persatu. Aku hanya senyap memandangnya.
"Tapi... Waktu umur Bell 4 tahun... Kami diserang oleh 'dragon slayer' sebab ayah tolak tawaran mereka untuk berikan Wings kepada mereka. Mak dibunuh depan Bell semata-mata nak lindungi Bell dan Wings. Ayah tak sangka mereka akan buat begitu dan balas dendam untuk kami tapi Wings cedera parah," jelas Bell lalu air matanya mula menitik ke atas album. Aku hanya senyap, dunia ni memang kejam dengan sikap pentingkan diri manusia.
"Walaupun Wings tak mampu berlawan lagi, Wings sentiasa teman ayah dan ayah pun enggan nak jaga naga yang lain. Untuk keselamatan, ayah rahsiakan kewujudan Wings dari semua orang dan menyamar sebagai pemain pedang dengan rank yang rendah," terang Bell lagi sambil mengusap matanya.
"Ja-jadi Blackie... Sebenarnya Bell harap Blackie terima Bell jadi kawan Blackie jadi bolehlah Blackie dan Bell jaga ayah, pak cik dan Wings dari 'dragon slayer'. Ayah dan pak cik tak jahat, mereka cuma risau yang kejadian pada kami dulu berlaku lagi," katanya dan ingin mendekati aku. Dia memasuki sangkar dengan mudah kerana tubuhnya yang kecil. Aku rasa serba salah tapi kalau aku ikut dia, impian aku untuk hidup bebas tak kan tercapai. Aku hanya mahu hidup tenang dan nikmati dunia ni tanpa sebarang gangguan.
"B-Bell akan buka muzzle ni... Jangan gigit Bell tau," ucapnya menggeletar. Aku tahu dia cuba untuk dapatkan kepercayaan aku dengan melepaskan aku dari muzzle ni. Setelah dia membuka muzzle dan rantai yang mengikatku ke lantai akhirnya aku mampu bernafas dengan selesa. Leher aku yang selama ini lenguh akhirnya dapat aku gerakkan.
"Bell!" Jerit seseorang membuatkan Bell terkejut dan terjatuhkan kunci rantai yang melepaskan aku dari terus dikunci ke lantai. Dia kelihatan ketakutan dan merapati aku.
"Bell keluar dari situ! Dia masih bahaya!" Jerit Taik lalu mengeluarkan tali libas dan melibasnya di luar sangkar sebagai amaran kepada aku.
"Tak ayah! Blackie tak jahat! Tengok! Blackie tak gigit Bell pun," ujar Bell lalu memelukku sambil menggeletar. Mungkin dia sendiri tidak yakin apa yang aku akan buat tapi pada masa yang sama dia mahu yakinkan ayahnya. Haih... Baiklah aku akan turut serta dalam lakonan ni.
Aku hanya berdiam diri dan Taik terdiam melihatku tidak mengapa-apakan anaknya. Kemudian dia mengeluh berat dan menyimpan semula tali libasnya.
"Nampaknya... Kau lebih bijak naga. Bell keluar dari situ," arahnya tegas lalu Bell seakan teragak-agak lalu memandangku.
"Bell nak ayah lepaskan Blackie!" Tegasnya membuatkan aku dan Taik terkejut.
"Itu naga kamu Bell... Itu masa depan kamu. Ayah terpaksa buat begini untuk kamu," ujar Taik dengan pandangan kesal.
YOU ARE READING
Legend Beast ✅ [Complete]
FantasíaRain, seorang pemuda yang secara tidak sengaja menjadi korban peluru sesat semasa keluar untuk bertemu janji buat kali pertama secara tiba-tiba dilahirkan semula sebagai seekor naga yang boleh bertukar bentuk mengikut mangsa hidupan yang dimakannya...