Bab 04

1.2K 104 5
                                    

"Kalau macam itu, Mak Jah tolong carikan untuk kamu. Ramai kawan-kawan Mak Jah yang teringin nak berkenalan dengan kamu, Nurin."

Mata Nurin terkelip-kelip memandang wajah bersemangat Mak Jah. Aduhai, dia nak jawab apa ini? Nak tolak, rasa kesian. Tapi kalau bersetuju, lain pula jadinya nanti.

"Err... saya..."

"Nurin, aku ada benda nak bincang dengan kau. Boleh tak kita bincang dekat luar dewan?" Irsyad laju memotong.

Nurin anggukkan kepala. Fuh, selamat! Dapat juga dia mengelak dari serangan bertubi-tubi Mak Jah. Selagi Mak Jah tak dapat dengar jawapan yang dia mahukan, selagi itulah dia akan terus mendesak dan bertanya.

Sebaik saja mereka berada di luar, mereka berdua berdiri kekok. Tak tahu nak cakap apa apabila mereka hanya berdua.

"Dato Isma sihat?" Irsyad memulakan perbualan.

Kepala Nurin anggukkan. Dia tak mahu menceritakan soal kesihatan Dato Isma yang sebenarnya makin merosot. Tak mahu susahkan orang lain. Dato Isma pun tak mahu Nurin bagitahu orang tentang keadaannya sekarang.

"Puan Mawar?"

"Macam biasa, sihat dan cergas. Minggu depan, Ibu nak balik kampung. Ibu nak buat tahlil untuk arwah Dahlia."

Irsyad memandang Nurin. Wanita itu hanya mengangguk diam. Dia tahu Nurin masih menyimpan perasaan bersalah kerana apa yang telah berlaku dulu tapi Irsyad sudah berkali-kali mengingatkan Nurin yang dia mahupun Puan Mawar tidak menyimpan dendam dan mereka dah lepaskan apa yang patut dilepaskan.

"Nurin..."

"Kalau saya tak sibuk, saya pun akan ziarah kubur arwah." Nurin bersuara.

Irsyad menganggukkan kepala. Tangan dimasukkan ke dalam poket seluar slack. Sungguh dia tak tahu nak kata apa selepas mematikan perbualan mereka dengan menyebut tentang arwah Dahlia.

Nurin juga hanya berdiri sambil meninjau suasana dalam dewan dari jauh. Irsyad mengambil kesempatan itu untuk menilik muka Nurin. Dua tahun berlalu semenjak mereka pertama kali berjumpa.

Dulu, Irsyad benci melihat raut wajah Nurin. Tak kiralah samada dia menangis mahupun gembira. Semuanya dia tak suka dan benci. Tapi selepas semua benda selesai, pertelingkahan antara dia dan Nurin telah menjumpa titik noktah yang sebenar.

Mata lelaki itu mula terbuka dan melihat sisi baik Nurin yang dia tak dapat lihat sebelum ini. Mata yang bersinar dan sejuk dipandang, hidung yang mancung, bibir berona merah jambu lembut. Sangat...

"Cantik."

Nurin menoleh. Irsyad kata apa?

"Pardon? Awak ada kata apa-apa ke?" Nurin jongketkan kening.

Lelaki itu segera berdehem sambil gelengkan kepala.

"Pelamin Azam... cantik." Irsyad berpeluk tubuh sambil melihat pelamin Azam yang jauh terletak di dalam dewan.

"Pelamin itu biasa-biasa saja tapi yang menyebabkan pelamin nampak cantik adalah pasangan pengantin. Orang kata, seri pengantin." Nurin komen.

Irsyad diam mendengar. Tatapan dia kini berbalik kepada Nurin.

Hatinya, jantung dia berdebar dan terasa lain daripada biasa. Dia tahu, apakah perasaan yang dia alami sekarang ini. Perasaan ini sama seperti perasaan yang dia rasa saat dia jatuh cinta dengan arwah Dahlia.

Maksudnya...

Dahlia, boleh ke saya bukakan hati untuk orang lain?

*****

Bunyi esakan dari hujung pintu almari baju membawa kaki gadis kecil menghampiri kawasan tersebut. Dengan rasa gementar, dia menutup pintu almari yang terbiar dibuka. Jantung gadis itu berdegup kencang melihat muka ibunya yang berdarah dan lebam.

"Mama..."

Adel tersentak dan terus mengelap air mata yang mengalir. Apabila dia meraup wajahnya, rasa sakit mula terasa. Hujung bibirnya berdarah, hidungnya juga berdarah. Tangan terus mencapai Qaleesya yang pucat merenung mukanya.

"It is okay, sayang. Mama terjatuh tadi."

Qaleesya menangis di dalam dakapan hangat ibunya dan hanya menganggukkan kepala. Ubun-ubun Qaleesya dicium dengan hati yang sebak. Adel betul-betul tekad untuk bercerai dengan suaminya dan dia mahu menjaga kebajikan dan keselamatan anak perempuannya.

Sejam yang lalu, Hadi pulang ke rumah dalam keadaan marah. Habis seluruh ruang tamu dia sepahkan, konon mahu melepaskan amarah yang ada dalam hati sehingga dia sendiri tak sedar, tindakannya itu hanya akan memudaratkan orang lain.

Mereka bergaduh sehingga urat leher nak meletup. Dari bergaduh mulut, Hadi mula naik tangan. Apabila lelaki itu mula naik tangan, itu bermakna Adel akan kalah dengan Hadi. Hadi berterusan memukul Adel sehingga dia puas melihat isterinya itu lemah dan tak berdaya untuk melawannya lagi.

Bagi lelaki dayus itu, kelemahan wanita adalah kekuatannya. Itu adalah benda yang boleh membuatkan dia bangga. Di depan orang, mereka sekeluarga ibarat keluarga bahagia sedangkan realitinya...

Adel menghela nafas berat.

Dulu Hadi tak macam ini. Dia seorang lelaki yang baik dan berperwatakan sangat manis dan tak pernah meninggikan suara mahupun mengangkat tangan kepada Adel. Namun, sejak setahun yang lepas, Hadi mula berubah sehingga keluarga mertua Adel juga tak tahu nak buat apa lagi dengan anak mereka.

Bukan hanya keluarga mertua, keluarga Adel juga mati kutu untuk membantu Adel. Langkah paling selamat yang Adel boleh fikirkan sekarang hanyalah cerai. Tetapi bila dia berbincang dengan rakannya yang merupakan seorang peguam syariah, masalah lain boleh timbul selepas penceraian.

Hak penjagaan anak. Pembahagian harta sepencarian.

Tentang harta sepencarian, Adel tak ada masalah. Kalau Hadi mahu ambil semua harta mereka termasuk rumah yang mereka duduk saat ini, ambillah! Adel tak mahu walau sebesar saiz kuman.

Tetapi tentang hak penjagaan anak. Dia risau andai keputusan penjagaan anak akan jatuh ke pihak Hadi. Dia tak mahu Qaleesya menjadi mangsa Hadi pula. Lelaki itu sudah gila. Tak siuman.

"Papa dah keluar ke, sayang?"

Qaleesya anggukkan kepala. Sebelum Hadi keluar, lelaki itu sempat memujuk Qaleesya yang menangis di sofa ruang tamu.

"Papa minta maaf. Mama kamu itu degil sangat. Nanti bila Esya dah besar, jangan jadi macam mama okay?"

Lelaki itu tersenyum manis sambil mengelus pipi anak perempuannya sebelum dia keluar. Qaleesya diam, tak mengangguk mahupun menggelengkan kepala. Anak kecil itu masih tak faham dengan apa yang ibubapanya gaduhkan.

Adel mengambil peluang tersebut untuk menelefon ahli keluarganya dan mula mengemas baju-bajunya dan Qaleesya ke dalam satu bagasi besar. Cincin di jari manis ditanggalkan dan diletakkan di atas meja solek.

Telefon Adel berbunyi. Nama tertera di skrin membuatkan dia tarik nafas lega. Tangan Qaleesya dipegang erat.

"Abang dah nak sampai ke? Adel tunggu dekat luar."

Cukup sampai sini saja dia bertahan. Tak ada lagi peluang kedua, ketiga mahupun peluang ke-seratus akan diberikan kepada manusia tanpa hati itu. 

NURIN | 2 [c]Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang