Bab 10

1.1K 101 1
                                    

Hari Jumaat yang barakah ini menjadi hari paling bersejarah di dalam hidup Adel yang kini sah berstatus janda. Bahu yang selama ini berat ditimpa masalah, sekarang terasa ringan. Dada yang sesak, terasa lapang.

Alhamdulillah, sijil cerai selamat berada di tangannya. Qaleesya pula berada di rumah ibu bapanya.

Alhamdulillah, syukur ya Allah!

Dengan langkah ceria, Adel mendekati peguamnya yang menunggu di luar pejabat agama. Lelaki itu tersenyum senang apabila Adel memanggil namanya.

"Terima kasih banyak-banyak kerana sudi tolong saya, Encik Irsyad!"

"Welcome. Saya cuma lakukan kerja saya sebagai peguam, selebihnya atas keberanian puan dalam menegakkan keadilan buat kehidupan puan sendiri, Puan Adelin."

Adel ketawa senang. Inilah kali pertama dia rasa selesa berbual dengan lelaki lain. Dia tak perlu lagi berwaspada dengan mata tajam Hadi. Dia tak perlu lagi takut dengan tindakan yang Hadi akan lakukan kepadanya apabila mereka tiba di rumah.

Dia menjadi dirinya yang dahulu. Diri Adelin yang tak diikat seperti lembu.

"Encik Irsyad datang dengan Sofia tadi kan? Mana Sofia?"

"Dia kena balik ke pejabat, ada kerja." Irsyad jawab.

Jam di tangan dilihat sekilas. Sepatutnya Haris dah sampai sekarang ini. Tempat kerja Haris dengan pejabat agama ini hanya makan lima belas minit kalau dicampur dengan sesakan lalulintas.

Ah... maksudnya Encik Irsyad ini tak ada kereta lah? Inilah peluang aku untuk balas balik jasa baik dia.

"Saya bawa kereta ayah saya hari ini. Saya boleh tolong hantarkan Encik Irsyad kalau Encik Irsyad tak kisah." Adel pelawa.

Lelaki itu nampak terkejut. Tak pernah lagi ada klien seperti Adel, tiba-tiba nak tumpangkan dia balik ke pejabat. Nanti apa pula orang kata bila tengok peguam tumpang kereta klien?

"Tak apa, saya dah telefon kawan saya. Kejap lagi dia sampai." Sopan Irsyad menolak.

"Adel!" Hadi memanggil dengan garang.

Dada lelaki itu berombak menahan baran dan cemburu apabila melihat bekas isterinya berbual dengan lelaki lain di depan matanya sendiri. Baru cerai dengan aku, kau dah mula tayang ekor dekat jantan lain!

Buku lima dikepal. Dia mara ke arah Adel dan peguamnya.

Lelaki inilah punca rumahtangga mereka berantakan. Disebabkan dia, Adel mati-matian mahukan penceraian sehingga sanggup mengambil Qaleesya daripada Hadi.

Melampau! Penumbuk dilayangkan.

Tangan Irsyad terus menangkap buku lima yang sepatutnya mendarat di tulang pipinya. Dia tenung muka Hadi, lelaki itu bagai dirasuk jin. Matanya merah, dahi berpeluh-peluh, nafas dihembus kasar.

Tak mahu memberi peluang kedua buat Hadi, Irsyad pantas menewaskan lelaki itu dengan teknik head lock yang dia selalu lihat di dalam rancangan WWE. Muka Hadi terus merah macam cili apabila kepalanya dikunci dengan lengan sasa Irsyad.

"Tolong! Tolong!" Adel menjerit. Dia berlari masuk ke dalam pejabat agama semula untuk meminta tolong dari staf di dalam.

Haris yang kebetulan baru sampai terkejut melihat rakannya sedang buat aksi WWE di depan pejabat agama. Apahal dia bergusti dekat pejabat agama ini?!

"Irsyad! Lepaskan dia. Kau gila ke apa?!"

"Bukan aku yang gila tapi dia ini yang dah naik gila." Irsyad jawab dengan tenang. Dia juga ikut berpeluh dan mula letih apabila Hadi tak berhenti dari meronta dan mencuba untuk boloskan diri.

"Disebabkan kau, Adel cerai dengan aku! Disebabkan kau, peguam tak guna!"

Hadi cuba bangkit tapi dia hanya membazirkan tenaga saja.

Bukan hanya dia merasai peritnya bila kepala dikunci, dia juga dapat pengalaman dimana tangannya dipusingkan ke belakang dan peguam itu berada di atasnya macam polis yang berjaya menangkap penjenayah.

"Sebelum kau tundingkan jari telunjuk kau dekat orang lain, kau kena ingat. Ada empat jari yang ditundingkan ke arah kau tanpa kau sedar." Irsyad jawab dengan ayat kiasan.

Haris garu kepala. Sudahnya pergaduhan mereka dileraikan oleh staf pejabat agama. Adel diminta balik terlebih dahulu, kemudian Irsyad dan Haris pula beredar dan barulah Hadi dibenarkan pulang.

"Peguam memang selalu bergaduh ke dengan musuh klien dia?" Haris tanya, sekadar memecahkan suasana sunyi dalam kereta.

"Walaupun jarang tapi benda itu biasa berlaku. Bila klien tak puas hati dengan keputusan mahkamah, diorang tak boleh marah hakim depan-depan. Sebab itu, peguam yang akan jadi mangsa."

Irsyad jawab sambil membelek lengannya yang mula terasa lenguh.

"Lelaki tadi tak ada peguam. Semua bukti yang bekas isteri dia kumpulkan menunjukkan kezaliman dia. Dia tak dapat bela diri dia dan hakim buat keputusan berdasarkan bukti dan saksi yang hadir. Lelaki itu tak puas hati dan kemudian dia... poof! Meletup." Irsyad terangkan.

Kepala diangguk dengan mulut bertukar huruf O. Sekarang baru Haris faham, kenapa Irsyad bergusti di depan pejabat agama tadi.

Kes cemburu buta lah ini. Cerai secara fasakh ini tak ada istilah rujuk antara suami isteri dan kalau lelaki tadi mahu rujuk semula dengan wanita itu, dia perlu melalui akad nikah yang baru.

Dan Haris dapat rasakan, perkara itu tak akan terjadi walaupun mereka mati dan hidup semula. Dia sendiri sempat melihat betapa bencinya wanita itu dengan lelaki tadi dan wanita itu langsung tak berpaling semula ke arah bekas suaminya.

Itulah wanita.

Bila dia sayang, sayang sepenuhnya. Bila dia disakiti oleh orang tersayang, hati terluka itu tak akan lupakan rasa sakit itu. 

NURIN | 2 [c]Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang