Bab 17

1K 99 0
                                    

Tepat pukul sepuluh malam, Nurin tiba di rumah Dato Isma. Hari ini merupakan hari yang sangat memenatkan bagi Nurin. Dia perlu hadir tiga mesyuarat yang memakan masa selama dua jam setiap satu. Batang leher diurut perlahan.

"Nurin." Dato Isma memanggil dari meja makan.

Wajah keletihan anak perempuannya dipandang. Dia menghulurkan secawan air teh panas untuk Nurin. Sebenarnya Dato Isma ingin meluahkan pelbagai benda kepada Nurin tapi dia masih tak menjumpai masa yang sesuai.

Setiap pagi, Nurin akan keluar ke pejabat. Balik pula tak menentu. Ada masa Nurin akan balik ke rumahnya terus dan ada masa Nurin akan balik ke rumah ini.

"Macam mana dengan kerja? Semuanya okay?"

Nurin hanya termenung melihat cawan kaca itu. Jarinya mengusap cawan yang masih panas. Ikutkan hati, Nurin tak nak teruskan rancangan ayahnya. Dia sudah cukup letih dengan semua ini.

Tapi bila dia teringat semula perjanjian Dato Isma kepadanya, dia tabahkan juga hati. Lagi cepat rancangan mereka selesai, lagi cepat Nurin boleh keluar dari masalah ayahnya.

"Nurin baru sedar, Nurin tak sesuai bekerja dalam bidang ini. Setiap hari, ada saja benda yang tak kena." Nurin mula buka mulut.

"Orang yang ada dalam syarikat macam lalang. Sekejap diorang berpihak dengan Nurin, sekejap lagi diorang berpaling tadah pula."

Dato Isma tenang mendengar. Itu baru beberapa bulan berada dalam syarikat, cuba bayangkan Nurin berada di tempatnya yang sudah bekerja selama lebih dua puluh tahun di syarikat itu?

Kalau bukan kerana minatnya, dia pun akan berhenti macam Nurin tapi kerana minat dan sayang pada syarikatnya, dia tak boleh berhenti begitu saja dan biarkan syarikat itu dikendalikan oleh orang yang hanya tahu cakap besar saja.

"Sampai bila lagi Nurin kena bertahan, ayah? Dato Ishak makin menjadi-jadi sekarang ini. Disebabkan dia, ramai orang tak nak bekerjasama dengan syarikat ini. Ada saja benda yang tak kena di mata dia. Kalau bukan sebab dia itu ayah saudara, dah lama Nurin..."

Nurin menguak rambutnya ke belakang. Dia tertekan dengan perangai ular sawa Dato Ishak. Pantang Nurin leka sikit, lelaki itu mesti akan buat sesuatu di belakangnya. Baru-baru ini Dato Ishak sengaja menghentikan staf dari cawangan Sentol daripada memeriksa kawasan tapak baru. Haru-biru jadinya mereka di pejabat apabila pihak penganjur bertanya tentang tapak itu.

"Sikit lagi, Nurin. Ayah minta kamu bersabar. Kita kena biarkan taring dia keluar sepenuhnya dan bila masa itu tiba, ayah sendiri akan cabut taring itu daripada dia."

Nurin anggukkan kepala. Dia bergerak masuk ke bilik dan terus menghempaskan badan ke atas katil. Ugh, letih!

Sambil memandang siling bilik, otaknya ligat berfikir tentang rancangan Dato Isma yang sebenar. Lelaki itu tak pernah menikam belakang sesiapa dan sangat arif dalam membuat sesuatu.

Persoalannya, kenapa Dato Isma nak jatuhkan Dato Ishak sedangkan mereka berdua adalah adik-beradik? Kenapa Dato Ishak tak sukakan Dato Isma? Ada benda yang Nurin masih tak tahu dan hanya dua lelaki itu saja tahu.

Nurin mengimbau semula perbincangan bersama Dato Isma tiga bulan lepas. Ayahnya nampak sangat serius dalam membentangkan rancangan tanpa lakaran pada malam itu.

"You have to be my bullet, Nurin Ardina."

Bullet? Nurin terdiam sekejap.

Apa maksud ayah dia dengan Nurin menjadi pelurunya? Nurin tak pernah tahu yang Dato Isma bermusuh dengan sesiapa. Selalunya, musuh Dato Isma ramai tapi dia tak pula mempunyai musuh untuk dijatuhkan.

NURIN | 2 [c]Where stories live. Discover now