Mesej yang diterima dari Haris membuatkan Nurin kelam-kabut menyiapkan kerjanya. Pelan tanah yang masih belum disemak dia letak ke tepi. Dadanya terasa sesak dan berat selagi dia tak melihat keadaan Irsyad sekarang ini.
"Aidil, teman saya pergi hospital. Kawan saya masuk hospital."
Aidil terus bangkit dari kerusinya dan mengemas semua barang-barangnya. Tiga bulan bekerja dengan Nurin, dia sudah faham dengan etika bekerja yang Nurin amalkan. Setiausaha perlu lebih tangkas dan bersedia daripada ketuanya.
"Kamu nak ke mana, Nurin?" Dato Ishak bertanya.
Langkah Nurin dan Aidil terhenti. Laluan mereka dihalang oleh Dato Ishak dan beberapa staf.
"Boleh ke tepi tak? Saya tengah sibuk sekarang ini." Nurin bercekak pinggang. Dia tak ada masa nak berperang mulut dengan bapa saudaranya sekarang ini.
Dato Ishak ketawa. Dia masih tegak berdiri, menghalang laluan Nurin. Ada nampak dia kisah ke dengan urusan penting Nurin? Tangan disilangkan ke dada sambil mata tak berhenti memandang wajah Nurin.
"Kamu betul-betul sibuk atau kamu nak serbu anak syarikat yang lain macam kamu buat dekat anak syarikat Ismacode semalam?"
Nurin ketawa sinis. Tangan menguak rambut panjangnya ke belakang. Tujuan Dato Ishak datang ke sini untuk mengetahui tentang apa yang berlaku kepada rakan seangkatan dia rupanya.
Jam tangan dipandang sekilas. "Saya tak ada masa. So, please excuse us."
"Jangan ingat kau dah pegang pangkat tinggi, kau boleh kurang ajar dengan aku, Nurin. After all, aku masih bapa saudara kau. Kalau kau tak boleh hormat aku sebagai ahli BOD dalam syarikat, kau perlu hormat aku sebagai ahli keluarga kau." Dingin Dato Ishak berkata.
Helaan nafas dilepaskan. Here we go again...
Nampaknya dia tak dapat melawat Irsyad untuk hari ini. Nurin menelefon Haris di depan Dato Ishak sendiri supaya lelaki itu tahu yang dia memang ada urusan di luar dan urusan tersebut tak ada kaitan dengan syarikat.
"Saya tak boleh pergi hari ini. If anything happens, call me."
Panggilan dimatikan. Nurin ikut berpeluk tubuh memandang Dato Ishak. Dia mengarahkan Aidil untuk mengambil beberapa fail untuk dibawa masuk ke dalam pejabatnya. Nurin masuk semula ke dalam pejabat dan meninggalkan Dato Ishak sendirian di luar.
"Cik Nurin, tak apa ke kita biarkan dia dekat luar?" Aidil risau.
Dia takut dengan Dato Ishak tapi dia lebih gerun melihat Nurin dalam mood tak baik dan dingin. Sudahnya dia tersepit di antara dua manusia yang mempunyai ego paling tinggi dalam syarikat.
"Dia akan masuk bila dia nak masuk. Awak sambung kerja awak macam biasa." arah Nurin.
Saat Aidil keluar, Dato Ishak meluru masuk ke dalam bilik dengan muka marah. Sepanjang dia hidup, tak pernah lagi dia dimalukan di depan orang ramai begini. Nurin langsung tak menghormati dia sebagai bapa saudara dan ahli BOD dalam syarikat sedangkan wanita itu sendiri tahu siapa sebenarnya yang lebih berkuasa dalam syarikat ini.
Nurin masih selamat memegang jawatan ini kerana Dato Isma masih menjadi pemegang saham terbesar dalam syarikat. Walaupun ahli BOD syarikat bersepakat untuk memecat Nurin tapi semua itu masih bergantung kepada pilihan Dato Isma sendiri.
Tiga bulan Nurin mengendalikan syarikat ini, sudah empat orang ahli BOD menarik diri kerana Nurin. Wanita itu bijak merancang dan menyelidik setiap aktiviti haram yang dilakukan oleh rakan-rakan Dato Ishak. Daripada dua belas orang, kini tinggal tujuh orang ahli BOD sahaja.
YOU ARE READING
NURIN | 2 [c]
Short StoryNurin - Tak perlu diceritakan lagi tentang dirinya. Pada mata orang luar, mereka mencemburui kehidupan Nurin yang serba mewah tetapi itu semua hanyalah taktik untuk mengaburi orang luar. Selepas Datin Salina dipenjarakan, kehidupan Nurin menjadi b...