Suasana di dalam bilik mesyuarat sunyi sepi selepas Dato Isma memberitahu barisan BOD tentang hasratnya. Di antara dua belas orang ahli BOD Isma Holding yang ada di depannya, seorang lelaki bertubuh gagah menampar meja mesyuarat sehingga membuatkan orang lain terkejut dan tak berani bertentang mata.
"Mana boleh kau sesuka hati saja lepaskan jawatan kau dekat Nurin?! Lepas itu, apa gunanya ahli-ahli BOD ini kalau kau nak ikut kepala kau saja?!"
Tak hanya menengking, dokumen yang ada di depannya juga dicampak ke lantai. Dia ingin tunjukkan kepada Isma yang dia tak bersetuju dengan cadangan lelaki itu untuk menyerahkan tugas dan tanggungjawab besar kepada seorang wanita muda yang tak ada pengalaman dalam bekerja di bahagian mereka.
"Jangan kerana dia itu anak kau, kau nak berat sebelah. Isma Berhad ini berjaya disebabkan kerahan tenaga kita bersama, Isma. Kau, aku, semua ahli BOD dan staf Isma Berhad!"
"Aku faham apa yang kau cuba katakan, Is..."
"Kau tak faham! Kau lebih pentingkan anak kau daripada syarikat ini. Kau tahu tak, anak kau itu tak ada pengalaman dalam bidang ini. Aku berani kerat jari aku yang syarikat ini akan lingkup sebaik saja Nurin ambil alih!"
Dengan penuh yakin, lelaki itu berkata. Ahli-ahli BOD yang lain turut termakan dengan kata-kata yang mereka dengar.
Mereka semua tahu tentang Nurin. Karakter wanita itu, sikap dia dengan orang dan cerita lama antara dia dan Datin Salina. Tak ada rahsia yang tak tersebar di dalam syarikat megah ini. Tapi mereka ambil keputusan untuk kunci mulut dan fokus dengan kerja masing-masing.
Dato Isma diam. Ya, dia tahu Nurin itu tak punya pengalaman mahupun ilmu untuk mengendalikan syarikat hebat seperti Isma Holding. Apa yang Nurin tahu adalah menguruskan kafe kecil di bandar saja.
Hm... Dato Isma mengurut dagunya perlahan.
Niat dia hanya mahu mengemukakan cadangan saja kepada ahli-ahli BOD. Dia tak kata Nurin akan terus mengambil alih jawatannya dalam masa yang terdekat. Tak sangka pula mereka menentang cadangannya habis-habisan.
"Bertenang, semua. Apa yang saya kemukakan ini hanyalah cadangan pada masa akan datang. Siapa tahu, tiba-tiba saya mati mengejut? Kuasa Allah ini tiada siapa boleh lawan. Betul tak?" Sinis Dato Isma bertanya.
Air liur ditelan kelat. Pandangan tajam Dato Isma membuatkan perut mereka memulas. Lepas habis mesyuarat ini, mesti ramai yang akan singgah ke tandas dulu.
"Buat masa sekarang, saya masih mengendalikan syarikat ini."
Mereka menarik nafas lega.
"Tapi..."
Jantung bagai terhenti dari mengepam darah apabila mendengar perkataan itu keluar dari mulut Dato Isma.
"Cadangan saya tak akan berubah. Saya akan turunkan jawatan saya kepada Nurin, cepat atau lambat."
Dato Isma bersandar di kerusinya untuk melihat dan menganalisis reaksi setiap ahli BOD. Rata-rata mereka masih tak berpuas hati tapi tetap menguncikan mulut daripada terus-terusan menentang idea tersebut.
Hanya seorang sahaja ahli BOD yang menatap wajahnya dengan pandangan tajam dan bibir terketap geram. Mesyuarat yang berlangsung selama dua jam ditamatkan dan para ahli BOD mula menyusur keluar.
"Isma."
Dato Isma mendongak. Lelaki itu masih ada di tempatnya sambil jari telunjuknya mengetuk meja. Dato Isma tenang apabila lelaki itu menoleh ke arahnya.
"Kau tahu tak, apa yang kau buat sekarang ini?"
"Tahu. Aku percayakan kredibiliti Nurin untuk meneruskan kelangsungan syarikat ini. Kau pun tahu anak saudara kau itu bukan calang-calang orangnya, Ishak."
YOU ARE READING
NURIN | 2 [c]
Short StoryNurin - Tak perlu diceritakan lagi tentang dirinya. Pada mata orang luar, mereka mencemburui kehidupan Nurin yang serba mewah tetapi itu semua hanyalah taktik untuk mengaburi orang luar. Selepas Datin Salina dipenjarakan, kehidupan Nurin menjadi b...