Bab 23

1.3K 99 2
                                    

Malam itu, Nurin dan Yana menetap di rumah Azam. Sejak petang tadi, Azam mencari dan menyelidik setiap seorang kenalan Irsyad dan arwah Dahlia ketika mereka masih belajar di universiti tapi tak ada seorang pun yang bernama Hakim.

"Kau cuba tengokkan profil Hakim. Adel kata, nama abang dia Hakim."

Itu yang Nurin katakan ketika mereka bercakap dalam telefon. Hampir dua jam dia menghadap laptop, dia masih tak berhasil mencari maklumat tentang lelaki itu.

Mia datang sambil membawa dulang berisi cookies dan satu jug air Milo panas untuk adik-adiknya. Yana kelam-kabut membantu kakak iparnya yang sedang berbadan dua sekarang ini.

"Kak Mia, tak payah susah-susah hidang semua ini. Kalau Yana lapar, Yana pergi ambil makanan dekat dapur. Kak Mia kan tengah mengandung sekarang ini."

"Ala, baru tiga bulan. Belum sembilan bulan lagi, Yana. Setakat angkat dulang ini, apalah sangat." Mia duduk di sofa.

Yana tarik muncung. "Tiga bulan ke sembilan bulan ke, sama je kak. Orang mengandung tak boleh buat kerja berat-berat. Ini kalau mak tahu, bernanah telinga Kak Mia dengar mak membebel."

Azam diam-diam menarik telinga adik perempuannya.

"Sebab itulah, kau kena tutup mulut kau. Jangan bagitahu mak. Abang dah berbuih mulut melarang tapi dia degil juga nak buat."

Yana mengusap telinganya yang terasa panas. Mesti dah merah telinga ini. Hish, abang ini!

Mereka kembali dalam mod serius apabila melihat Nurin tak berganjak sedikit pun dari laptop Azam. Dia tak puas hati, kenapa nama lelaki itu tak ada dalam senarai pelajar yang mendaftar kursus yang sama dengan Irsyad dan Dahlia.

"Abang saya pernah belajar dengan Encik Irsyad. Kursus yang sama dan tahun yang sama. Nama dia, Hakim. Saya tahu, Encik Irsyad mesti kenal dia kalau Cik Nurin sebut nama itu."

Sayangnya... dia tak sempat tanya Irsyad tentang Hakim.

Ini semua kerana video insiden itu!

"Pasal video itu?" Nurin tanya kepada Azam. Lelaki itu pakar dalam bidang menggodam ini. Mana tahu, dia dapat jejak apa-apa melalui video tersebut atau seangkatan dengannya.

Azam gelengkan kepala. Nurin hampa. Dia nak tahu, dari mana orang ini dapat video insiden itu?

"Nurin, kau ingat tak? Masa kita kena soal siasat dulu, pegawai itu sendiri kata yang dia tak jumpa apa-apa bukti melainkan pelanggaran kereta. Tak ada rakaman CCTV, tak ada saksi. Diorang tak pula sebut pasal dashcam. Kereta kau ada dashcam?"

Nurin mengerahkan otaknya supaya mengingati semula ruangan dalam kereta lamanya. Kepala digelengkan.

"Seingat aku, aku tak pasang dashcam."

Azam termenung. Hm, maknanya betullah video itu dirakam dari dashcam milik arwah Dahlia tapi kenapa polis tak jumpa kamera itu sedangkan benda itu sangat penting dalam membantu siasatan mereka?

Yana menggaru batang lehernya mendengar Nurin dan Azam berbincang. Dia tak suka berada dalam keadaan yang serius. Jadi dia fokus melihat background arwah Dahlia dan Irsyad.

"Aku ada dua andaian. Pertama, ada orang datang ke tempat kejadian itu sebelum pihak polis sampai. Kedua, ada orang menyamar jadi polis dan masuk dalam balai, ambil dashcam itu sebelum pihak polis sempat ambil." Azam menerangkan pendapatnya.

Andaian pertama itu mungkin betul. Semasa kejadian itu berlaku, ambulans sampai terlebih dahulu sebelum pihak polis tiba. Dia, Azam dan arwah Dahlia dibawa terus ke hospital. Mungkin masa itu, ada orang datang dan mengambil dashcam itu.

NURIN | 2 [c]Where stories live. Discover now