"Dengan ini, Cik Nurin Ardina dilantik menjadi ketua pegawai eksekutif bagi syarikat utama Isma Holding Berhad dan mula berkuatkuasa pada hari ini."
Itu acara yang berlaku dua hari yang lepas dan kini Nurin sibuk dengan dokumen dan pelan tanah dari beberapa anak syarikat yang memerlukan pantauan dan pengesahan daripadanya. Aidil setia di sisi wanita tersebut atas arahan Dato Isma.
Daripada terkial-kial tak tahu apa-apa, kini Nurin dengan mudah dapat mengesan kesalahan yang ada di dalam laporan dan dokumen yang dihantarkan kepadanya.
"Cik Nurin, petang ini Cik kena melawat tapak di Klang."
Nurin angguk saja mendengar jadualnya dibaca. Dalam kepalanya, dia masih teringat layanan yang diterima ketika majlis itu berlangsung. Tak ada tepukan mahupun ucapan tahniah diberikan kepadanya setelah dia bergelar CEO Isma Holding. Layanan yang diterima sangat dingin dan kurang ajar di mata Nurin.
Hanya Aidil dan beberapa staf yang bekerja di tingkat yang sama dengan pejabat Nurin menyapa Nurin dengan mesra. Dato Isma pernah memberitahu Nurin, pekerja yang berpihak dengannya adalah staf di tingkat enam yakni pejabat Dato Isma sendiri.
Dan kerana insiden itu, Nurin membuat keputusan untuk menjadi Nurin yang mereka semua fikirkan. Nurin yang sombong, kurang ajar dan tak berhati perut. Senang untuk dia buat kerjanya. Lagipun ini semua hanya untuk sementara waktu.
"Cik Nurin, saya harap Cik bersabar dengan kerenah ahli BOD. Sepanjang saya bekerja dengan Dato Isma dulu, saya tak pernah tengok diorang buat perangai macam ini." Aidil cuba menaikkan semangat Nurin.
Wanita itu hanya tersenyum nipis. Dokumen terakhir yang sudah disahkan diserahkan kepada Aidil.
"Saya dah biasa. Awak tak payah risau. Lambat-laun diorang akan sedar dan menyesal atas apa yang diorang buat sekarang ini."
Aidil anggukkan kepala. Dia percaya dengan kredibiliti Nurin kerana bakat dan karakter Nurin hampir sama seperti Dato Isma.
Mereka takkan mengalah walaupun cabaran yang diterima sangat mencabar tahap kesabaran masing-masing. Mereka kekal tenang dan fokus dengan kerja dan tanggungjawab mereka sebagai ketua pegawai eksekutif syarikat. Berkat usaha Dato Isma juga, syarikat Isma Holding boleh berdiri teguh sehingga sekarang.
"Aidil, selain dari lawatan tapak, saya ada janji temu dengan sesiapa ke?"
"Tak ada, Cik."
Jari runcing Nurin mengetuk ringan permukaan meja kerjanya. Muka-muka pengkhianat yang hadir di acara tadi terlintas di kepala Nurin. Kata-kata mereka masih segar di minda Nurin.
"Pertama kali dalam sejarah syarikat Isma Holding, perempuan tak cukup umur dilantik menjadi ketua syarikat. Hish, aku tak faham betul dengan si Isma itu! Kot ya pun sayangkan anak, tak perlu sampai buat kerja gila macam ini." Dato Irman berdecit.
Sungguh dia tak suka dengan keputusan ini. Kalau Nurin yang menjadi ketua, itu bermakna dia perlu mendengar arahan daripada seorang wanita yang lebih muda daripadanya. Hah, memalukan!
"Dalam masa sebulan... Dalam masa sebulan, syarikat ini akan lingkup sepenuhnya! Nurin itu bukannya ada pengalaman, ilmu dalam bahagian kerja ini pun belum tentu dia ada." Dato Hattan pula menambah arang di dalam api yang marak.
"Nurin itu mesti ingat orang akan dengar dan turutkan apa yang dia kata. Tapi dia tak sedar, kita semua tak suka dengan dia." Dato Irman ketawa.
"Aku yakin, dia cuma fikirkan tentang apa yang akan dia pakai setiap hari bila datang bekerja. Perempuan kan..." Dato Zaki pula menuang minyak supaya api perbualan mereka semakin marak dan rancak.
YOU ARE READING
NURIN | 2 [c]
Short StoryNurin - Tak perlu diceritakan lagi tentang dirinya. Pada mata orang luar, mereka mencemburui kehidupan Nurin yang serba mewah tetapi itu semua hanyalah taktik untuk mengaburi orang luar. Selepas Datin Salina dipenjarakan, kehidupan Nurin menjadi b...