Negatif. Sifar. Tiada sebarang perubahan. Projek tak berjalan seperti biasa. Pelan tanah yang sepatutnya diberikan kepada pihak pengurusan bertukar tangan pada saat-saat akhir.
"Macam mana, Cik Nurin? Graf untuk dua bulan berturut-turut negatif dan semakin merudum." Encik Malik bertanya.
Ahli BOD yang melihat graf di skrin putih hanya mampu menggelengkan kepala, mengeluh kasar dan berbisik mengutuk cara Nurin mengendalikan syarikat. Antara ramai-ramai manusia di dalam bilik mesyuarat, hanya seorang saja yang seronok melihat kegagalan Nurin.
Bila dia menoleh ke arah Nurin, gadis itu tayang muka polos dan tenang. Langsung tak terkejut mahupun menggelabah. Pen di tangan runcing itu berpusing-pusing tanpa henti.
"Apa yang nak dirisaukan? Kalau tak dapat pelan tanah dari syarikat A, rebutlah peluang di syarikat B pula. Dari apa yang saya nampak, kamu selalu fokus pada satu benda dan bila kamu tak dapat apa yang kamu nak, kamu terus putus asa."
Nurin jawab dengan tenang. Encik Malik menundukkan kepalanya. Dia tahu salahnya di mana tapi ini semua atas arahan majikan dia juga, Dato Hattan.
"Cik Nurin, untuk dapatkan satu pelan tanah, makan masa yang lama. Pekerja saya ini bukannya-"
"Then, make it short." Nurin memotong. Dia tak mahu mendengar alasan yang tak masuk akal dan membazirkan waktunya.
Dato Hattan menahan geram. Kalau bukan kerana ada Dato Isma sekarang ini, dah lama dia tampar mulut tak beradab itu.
"Malik, saya tahu awak berbakat dan bagus dalam bekerja. Kalau disebabkan satu masalah kecil macam ini pun awak tak boleh atasi, macam mana awak nak bekerja di HQ nanti?"
Suasana bilik mesyuarat menjadi sunyi. Encik Malik hilang kata-kata apabila mendengar soalan Nurin. Bekerja di HQ, itu adalah salah satu impiannya. Dia mahu lari daripada cengkaman Dato Hattan yang hanya tahu mengarah dia buat segala kerja di pejabat.
"Kejap. Bila masa pula Malik akan pindah ke HQ? Cik Nurin tak bagi apa-apa notis tentang pemindahan tempat kerja untuk pekerja saya." Dato Hattan bangun.
Nurin pandang Dato Hattan dengan muka tak percaya. Pekerja saya? Nurin ketawa sendirian sambil diperhatikan oleh ahli-ahli BOD yang hadir.
"Apa dia? Pekerja Dato? Jangan buat lawak depan saya, Dato."
Ketawa senada Nurin kemudian mati. Mukanya berubah serius memandang ke arah lelaki itu.
Dato Hattan, lelaki yang sentiasa menyokong dan berpihak dengan Dato Ishak. Dia baru saja bercerai dengan isteri tua dan kemudian berkahwin pula dengan isteri muda yang kini tengah mengandung enam bulan.
Persoalannya, kenapa dia beria-ria menyokong Dato Ishak? Dia pun sama macam Dato Irman juga? Atau dia ada buat sesuatu yang hanya Malik tahu?
"Semua staf yang bekerja dalam anak syarikat dan HQ Isma Holding adalah pekerja saya. Dah lupa ke?"
Bang! Dato Hattan menampar meja mesyuarat dengan kuat.
"Kurang ajar! Kau itu baru pegang jawatan ini, bila-bila masa je kau boleh dipecat, Nurin! Jangan pandang rendah dengan kuasa yang kami ada." Dato Hattan bengang.
"Kamu kena tahu, Nurin. Kalau kami bersepakat untuk pecat kamu dari jawatan ini, kamu tak akan diberikan peluang kedua dan perlu angkat kaki daripada sini." Dato Ishak menambah.
Sinis dia memandang Nurin. Wanita itu masih tenang.
"Sepanjang kamu menjadi CEO, pencapaian bulanan syarikat bukan makin meningkat tapi sebaliknya menurun. Pelabur dari syarikat lain pun teragak-agak nak melabur di syarikat kita kerana saham syarikat makin menurun. Tapi apa yang kamu buat? Sibuk pilih baju lawa-lawa nak datang bekerja?"
YOU ARE READING
NURIN | 2 [c]
Short StoryNurin - Tak perlu diceritakan lagi tentang dirinya. Pada mata orang luar, mereka mencemburui kehidupan Nurin yang serba mewah tetapi itu semua hanyalah taktik untuk mengaburi orang luar. Selepas Datin Salina dipenjarakan, kehidupan Nurin menjadi b...