Rumput yang mencanak tinggi menutupi laluan Nurin untuk ke kubur arwah ibunya. Segulung tikar kecil dihamparkan bersebelahan kubur dan botol air berisi air bunga diletakkan di tepi.
"Assalamualaikum, mak. Nurin datang jenguk mak."
Surah al-Fatihah disedekahkan kepada arwah wanita yang bertarung nyawa menjaga dan melindunginya sejak dia berada di dalam perutnya. Tangan Nurin terus mencabut rumput-rumput yang ada di kubur arwah ibunya.
Hati ini sebak setiap kali dia singgah ke sini. Setiap kali Nurin terasa lelah dengan dunia, dia datang mengadu kepada arwah ibunya. Walaupun tak dapat mendengar suara wanita itu memberi nasihat dan memujuk hati yang duka, Nurin tetap mengadu dan menceritakan hari-harinya.
Dia rindukan ibunya. Sangat-sangat rindu.
Bila dia melihat Yana bermanja dengan Mak Jah, kadang-kadang dia terbayangkan suasana ceria kalau arwah ibunya masih hidup dan ada bersamanya. Mereka boleh memasak bersama, berkebun bersama dan membeli barang dapur bersama.
Tapi itu semua hanya angan-angan yang tak boleh dicapai. Dia hanya mampu berangan dan terus berangan untuk lakukan semua aktiviti itu dengan arwah ibunya. Dia rindukan belaian kasih sayang ibunya, dia rindukan pelukan hangat ibunya.
"Mak... Nurin rindu mak."
Air mata bergenang. Selesai mencabut rumput, dia membersihkan pula batu nisan yang kotor dan berhabuk.
"Nurin dah lama tak jenguk mak. Mak baik-baik dekat sana? Nurin dekat sini sihat walafiat." Nurin bercakap sendirian.
Lama dia berteleku memandang tanah kering itu. Dia teringat kenangan lama bersama dengan ibunya. Senyuman manis, bahu kecil yang menjadi tempat Nurin melabuhkan kepala, tangan kasar yang sentiasa mengelus rambut panjangnya.
Air bunga dituang perlahan-lahan dengan tangan yang terketar-ketar.
"Mak, Nurin balik dulu. Nanti Nurin datang lagi."
Tikar digulung semula. Buat kali terakhir, dia menoleh jauh ke arah kubur arwah ibunya. Antara kubur yang ada di tanah perkuburan itu, kubur arwah ibunya yang paling bersih dan cerah di mata Nurin. Air mata diseka perlahan. Nurin tarik nafas dalam-dalam.
Assalamualaikum, mak.
******
Nur Dahlia. 14 Jun 1992 - 29 Januari 2019.
Batu nisan yang tertulis nama arwah Dahlia dibaca sekilas. Dengan tangan yang basah, Nurin mencuci kotoran dari batu nisan tersebut. Dua tahun telah berlalu, perasaan bersalah masih menghantui Nurin. Peristiwa lalu sentiasa menjengah fikirannya apabila dia bersendirian.
"Jam... apa yang kita nak buat?" Nurin ketakutan.
Tangannya berlumuran darah saat memeriksa keadaan Dahlia yang tak sedarkan diri di bahagian pemandu. Kedudukan gadis itu juga dihimpit dengan badan belakang kereta menyebabkan Azam mahupun Nurin tak berani membantu Dahlia.
"Suspek bernama Muhamad Azam akan ditahan reman buat masa sekarang untuk bantu siasatan pihak polis."
"Dia ini yang langgar Dahlia! Kenapa pula lelaki itu yang korang reman?! Perempuan ini yang langgar Dahlia! Dia yang langgar tunang aku sampai dia..."
Nurin menangis sendirian di tepi kubur Dahlia. Memori pahit itu tak dapat dia lupakan walaupun dia berusaha untuk lupakan dan lepaskan perkara yang sudah berlaku.
"Puas hati kau sekarang? Orang yang tak ada kena-mengena dengan kau dah mati dan kau senang-senang boleh terlepas dari hukuman dunia kan? Kau terlepas daripada hukuman dunia tapi kau kena ingat. Kau takkan terlepas di akhirat nanti. Pembunuh!"
Wajah Irsyad yang serabai dan tak terurus, suara tingginya, mata lelaki itu yang lesu dan merah kerana meratap pemergian orang tersayang.
Ini semua salah aku. Aku terlampau ikutkan emosi sendiri sampai orang lain yang menjadi mangsa.
"Dahlia, maafkan saya. Saya cuba untuk lupakan apa yang terjadi tapi saya masih tersekat dan tenggelam dalam memori ngeri itu. Saya harap awak maafkan saya. Perasaan bersalah sampai ke hari ini masih ada di dalam hati saya. Setiap kali saya solat, saya sentiasa berdoa agar awak ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Saya..."
Air mata jatuh berguguran.
"Saya tak layak teruskan kehidupan saya, Dahlia. Kalau semua ini tak terjadi, awak dan Irsyad dah bahagia sekarang. Saya betul-betul minta maaf, Dahlia."
Baki dari air bunga yang dia siram di kubur ibunya, disiram pula di kubur Dahlia. Nurin cuba tenangkan dirinya semula dan bangun. Dia perlu teruskan kehidupannya walaupun dia benci hidup sebagai wanita bernama Nurin Ardina.
Nyawa yang diberikan hanya sekali dan dia tak mahu sia-siakan peluang untuk hidup kerana dia tahu, ada lagi manusia yang mempunyai sejarah hitam dan kehidupan lebih susah daripadanya.
Tak ada sesiapa di dalam dunia mahukan kematian. Manusia pilih kematian bukan kerana mereka sendiri nak mati tapi... mereka cuma mahu tamatkan keperitan yang tak dapat ditanggung.
Telefon Nurin berbunyi ketika dia termenung di dalam kereta. Nama yang tertera di skrin membuatkan Nurin menghela nafas panjang.
"Hello."
Dia masih ada urusan yang perlu diselesaikan. Perjanjian antara dia dan Dato Isma yang masih tersimpan rapi daripada orang ramai.
'You have to be my bullet, Nurin Ardina.'
Perjanjian dimana nyawa Nurin menjadi taruhan bapanya sendiri.
![](https://img.wattpad.com/cover/255448478-288-k53200.jpg)
YOU ARE READING
NURIN | 2 [c]
Short StoryNurin - Tak perlu diceritakan lagi tentang dirinya. Pada mata orang luar, mereka mencemburui kehidupan Nurin yang serba mewah tetapi itu semua hanyalah taktik untuk mengaburi orang luar. Selepas Datin Salina dipenjarakan, kehidupan Nurin menjadi b...