DIAN mundar-mandir dihadapan Ammar, Izzati dan Iman. Wajahnya nampak geram dan bengang kerana sesuatu. Tudung bawal yang tadinya kemas terletak, bertukar serabut setelah disentuh banyak kali oleh Dian.
"Cuba kau cerita, apa sebenarnya yang dah jadi? Kalau kau kehulur dan kehilir begini, memang tak akan selesaikan apa-apa." Kata Ammar. Dia pun pening bercampur risau melihat wajah Dian. Gadis itu tidak ubah seperti seseorang yang bila-bila masa sahaja bakal meletup dan bertukar menjadi Hulk Hogan.
Bukannya Izzati tidak pernah cerita tentang sikap panas baran Dian. Kalau ada sesuatu yang tidak berjalan dengan sempurna, memang habis satu kelas dimaki-hamun. Boleh terdiam murid lelaki kelas 4 Jujur.
"Kau cuba bayangkan. Aku tengah relaks lepas jawab kertas Bahasa Melayu, tiba-tiba Cikgu Haslina datang dan marah-marah aku pasal preparation majlis Puan Latifah tu. Dia kata aku tak siapkan langsung doorgift." Rungut Dian.
"Bukankah kau kata, Adriana dan Farhah yang uruskan? Kenapa Cikgu Haslina cari kau lagi?" soal Izzati.
"Itulah apa yang aku tak faham. Sesiapa ada idea tentang apa yang dah jadi sekarang ni? Boleh tak korang bagi kronologi pada aku?" Pinta Dian.
Dia letih mundar-mandir didalam perpustaakan dan hanya memikirkan perkara yang sama sahaja. Kerusi yang berada disebelah Izzati ditarik dan dilabuhkan punggungnya.
Selepas selesai menjawab kertas Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, mereka semua bertekad untuk berkumpul di perpustakaan selepas diajak oleh Dian.
"Mungkin, mereka bagitahu cikgu yang kau bertanggungjawab untuk hiasan juga." Ujar Iman.
"Kalau betul mereka berdua tak nak uruskan hiasan, kenapa mesti canang nama aku dekat Cikgu Haslina? Siap cakap, aku yang bertugas untuk menghias hadiah. Musykil aku macam ni. Sejak dua menjak ni pun, makin kerap mereka kacau aku." Ujar Dian.
Ammar terdiam sambil tangan mengusap janggut halimunan pada dagu. Ammar sendiri pun keliru apa punca dan alasan perangai aneh kawan-kawan Sufi sebenarnya.
"Sufi ada kacau kau tak, Dian?" soal Ammar.
Dian menggeleng. Memang aneh bila nak difikirkan gadis yang paling Dian cemburukan itu, tidak bertindak apa-apa.
"Pelik. Daripada perangai kawan-kawan dia tu, kita semua dapat mengagak ada sesuatu yang Sufi dah bagitahu mereka." Kata Iman.
"Maksud kau, dia ada suruh kawan-kawan dia untuk kacau mental dan sabotaj Dian perlahan-lahan?" Tambah Izzati.
"Mungkin juga." Balas Iman.
Dian termenung sebelum bertanya, "Kalau betul pun dia adalah dalang dan berniat untuk jatuhkan aku, tapi kenapa?"
"Sebab Ammar." Jawab Iman, spontan. Jari telunjuknya tepat menunjukkan arah Ammar yang sedang berkerut kening memikirkan sesuatu. Apabila perasan dirinya menjadi perhatian, dia hanya menjungkitkan bahu.
"Sebab Ammar?" soal Izzati dan Dian serentak.
"Iyalah, wahai kawan-kawan perempuanku. Aku cuma andaikan sajelah. Jangan tuduh aku memfitnah pula. Macam ni, Ammar inikan hero malaya dalam sekolah kita. Setiap masa dan minit dapat surat daripada murid perempuan. Cuba tengok bawah meja dia, berlambak macam peti surat.
Pada akhir tahun lepas bersamaan dengan hari pertama Sufi disini, Ammar kelihatan sangat adore dengan Sufi. Lalu mereka berkawan baik. Tapi macam yang kita tahu, lelaki dan perempuan ni mana boleh berkawan. Sebab salah seorang mesti jatuh hati. Dan orang yang jatuh hati dulu adalah Abang Ammar kita." Jelas Iman, panjang.
Ammar terpana dan terasa malu apabila Iman bercerita perkara tersebut. Nampak sangat ke yang dia jatuh hati dengan Sufi dulu? Haish, malunya!
"Apa kaitannya dengan masalah sekarang ni?" soal Dian, kurang faham.
"Sabar, aku tak habis cerita lagi."
"Hah, teruskan. Teruskan." Gesa Izzati.
"Entah macam mana pada suatu hari yang Indah, Ammar tiba-tiba macam orang nyanyuk dan amnesia. Dia asyik tengok kalendar dalam kelas. Senyap sepanjang hari. Malah, Sufi pun dia abaikan. Kalau dia abaikan Sufi kerana dia memang tak sihat, masih boleh diterima alasan tu.
Tetapi, Ammar tiba-tiba berpindah pihak. Dia tiba-tiba rapat dengan kau, Dian. Dia makin renggang dengan Sufi hari demi hari. Mungkin tu adalah penyebab kenapa Sufi bertindak macam ni. Dia cemburu. Kemudian, dia gunakan kuasa dia sebagai bekas pelajar MRSM untuk dapatkan kepercayaan semua orang. Termasuklah Farhah, Adriana dan Dalilah.
Tak mustahil dia ada lagi kawan-kawan yang dia tengah standby untuk serang kau lagi. Macam dalam game." Ujar Iman.
"Ada kemungkinan tak yang dia boleh buat lebih bahaya lagi? Maksud aku macam membunuh ke?" soal Dian, kecut perut.
"Aku tak rasa dia boleh bunuh orang dengan berani. Lagipun, dia ada wawasan. Dia nak sambung belajar, nak berjaya. Tak mungkin dia nak rosakkan hidup dia dengan membunuh. Tambahan pula, ibu dia bukan calang-calang orang.
Ibu dia adalah orang penting dalam organisasi PIBG dan seorang pegawai undang-undang di Mahkamah Putrajaya. Dia takkan berani nak rosakkan imej ibu dia sendiri." Jelas Ammar.
"Betul." Iman menyampuk.
"Selagi dia tak buat benda bahaya, aku tak perlu risau. Sekarang ni, aku kena betulkan balik apa yang dah jadi. Aku tak boleh biarkan Cikgu Haslina terus pandang aku buruk." Ujar Dian.
"Kita cuma ada satu cara saje untuk ajar Adriana." Ujar Ammar.
"Cara apa?" soal Dian.
"Kau ingat tak, aku pernah bagitahu kau yang Adriana selalu lari daripada perjumpaan kumpulan kita dengan alasan yang dia ada masalah dekat rumah. Ingat tak?" soal Ammar.
"Ingat."
"Kita kena cari tahu apa yang dia buat hampir setiap hari lepas balik dari sekolah. Ambil gambar dan rekodkan masa dia duduk disitu daripada petugas perpustakaan depan sekolah ini." Ujar Ammar, memberi idea. Bergeliga betul otak dia.
"Memanglah boleh, tapi siapa yang nak pergi?" soal Izzati selepas lama berdiam diri.
"Mestilah orang yang dah keluar dan masuk dari perpustakaan tu." Kata Iman.
"Dan orang tu adalah kau, Ammar." Kata Dian.
"Aku? Kenapa aku?" soal Ammar.
"Sebab kau saje yang selalu nampak dia dimerata-rata tempat. Dan kau juga adalah orang yang ada kamera paling canggih antara kita bertempat iaitu iPhone 3G. Senang sikit nak buat kerja." Kata Dian.
"Amboi, jadi FBI pula aku." Kata Ammar.
"Bolehlah, Ammar. Nanti aku belanja kau mi sup dekat medan depan sekolah. Okey?" Pelawa Dian.
Ammar hanya mengangguk acuh tidak acuh. Risau juga dia kalau terkantoi dengan Adriana sebab asyik mengintip dia.
▪︎▪︎▪︎
YOU ARE READING
Parallel ✔
FantasyTale No. 1 : Parallel mengisahkan tentang Ammar seorang jejaka berusia 27 tahun yang sombong dan memang tidak suka untuk ambil tahu hal sekeliling. Menjadikan hidupnya huru-hara dek kerana sikapnya yang pentingkan diri. Gambar seorang gadis yang dit...