🌻BAB 4🌻

3.7K 239 34
                                    

SINAR cahaya yang menembusi melalui celahan tirai menggangu lena nyenyaknya. Tangan meraba mencari telefon pintar yang tersepit di celahan bantal. Dengan mata separa buka, jam dilihat. 10.30 pagi. Dia menggeliat kecil bagi merenggang sedikit segala urat sarafnya.

Dengan malas dia bangkit dan membersihkan diri sebelum turun ke bawah. Terasa haus tekaknya di pagi hari.

“Pagi lagi ke?” gumam Liyyan lalu tergelak sendiri. Ini bukan pagi tetapi lewat pagi. Jam di dinding sudah hampir angka 11.15 pagi.

“Bertuah punya anak! Baru bangun.” tegur Datin Leena dengan gelengan kepala. Tidak tahu apa lagi yang dia harus lakukan. Seringkali anaknya bangkit setelah matahari hampir terpacak di atas kepala.

Liyyan tayang sengih tanpa rasa bersalah. Sudah terbiasa dengan teguran mama. Jadi dia tidak terluak sedikitpun. Dengan bersahaja, dia meneguk minuman sambil berdiri.

“Ni lagi satu perangai. Apa nak jadi dengan kamu ni?” Jari Datin Leena melurus menunjuk atas hingga bawah dengan kelakuan Liyyan. Sungguh tidak sopan di pengamatan hati tuanya.

“Jadi apa?” tanya Liyyan pura-pura tidak mengerti sedangkan dia tahu benar makna disebalik teguran Datin Leena. Cuma dia rasa tidak mengambil endah. Malas mungkin.

“Kamu tu bakal jadi tunang orang. Ubahlah sikit perangai tu. Biar lebih sopan.” Datin Leena menegur untuk sekian kalinya. Tidak jemu menasihati sehingga anaknya benar-benar terbentuk dengan elok. Satu sikap anaknya yang sedikit dia merasa kesal.

“Kalau diorang ikhlas terima Liy, maksudnya diorang pun kena terima baik buruk Liy kan.” ujar Liyyan. Dia penat dengan istiadat kesopanan mama. Tidak bolehkah dia berbuat mengikut kehendaknya sendiri?

“Memang betul tapi kamu tu takkan la kamu nak terus berperangai macam sekarang ni? Tak sopan. Tak elok pergi rumah mentua macam ni nanti. Apa pula kata keluarga mentua kamu tu pada mama dengan baba?” Datin Leena terus membebel. Tidak berpuas hati dengan tingkah laku anaknya. Entah mengapa makin teruk pula gayanya.

“Bakal mentua, mama... bukan mentua lagi. Belum tentu jadi mentua Liy.” Laju Liyyan membetulkan kata. Dia belum memberi kata putus jadi tiada kata rasmi yang boleh digunakan.

“Samalah. Lambat-laun kamu dengan Danial akan berkahwin juga. Tetap mentua kamu.” tegas Datin Leena. Wajah anaknya ditatap sejenak dengan renungan kecewa.

Liyyan kelukan lidah. Tiada kata mahu membalas mahupun berdebat. Pastinya dia juga akan kalah. Tanpa sebarang suara, dia ke singki dan mencuci gelas yang diguna. Mengelak dari terus menjadi santapan mata Datin Leena.

“Mama baba hanya mahukan yang terbaik untuk kamu. Zaman sekarang ni mana ada lelaki yang boleh dipercayai. Lagi-lagi dengan sikap kamu tu, siapa aje yang tahan? Mama yakin hanya Danial saja yang mampu bertahan dengan kamu sebab dia tu penyabar orangnya.” tutur Datin Leeen tatkala tiada balasan dari Liyyan. Dia tahu apa yang terbaik untuk anak-anaknya. Malah, dia kenal benar tingkah laku anaknya terutama anak perempuan sulung mereka ini.

“Banyak je lelaki yang baik dan berguna. Tapi mama dengan baba je yang terlalu memilih. Semuanya memandang pangkat dan darjat.” balas Liyyan seraya berpaling. Suaranya sedikit kendur. Mungkin dia rasa kecewa dengan keputusan kedua ibu bapanya.

“Memilih demi kebaikan dan masa depan kamu. Lagipun kalau kamu kahwin dengan Danial, masa depan kamu akan cerah dan terjamin. Kamu takkan hidup susah. Masuk rumah baru pun cuci kaki aje.” Datin Leena menekan kata. Mahu anaknya benar-benar memahami niat hatinya. Mahu anaknya menikmati kesenangan hidup.

Lama kornea mata Liyyan menjamah wajah Datin Leena sebelum keluhan panjang dilepaskan. Berdebat dengan mama seringkali membuatkan dia mati kata. Dia tidak akan menemui kemenangan. Atau kemenangan takut padanya?

Ku Pilih Dia (✓)Where stories live. Discover now