MERCU tanda Bumi Hijau Holding yang tersergam gah membuatkan Liyyan terpegun seketika. Sedikit sebanyak hatinya merasa bangga dapat menjejakkan kaki di sini. Malahan, hasil kerjanya dipandang oleh syarikat gergasi itu dengan sebutir pujian. Satu penghargaan baginya.
“I bangga dengan you Liyyan Lashira.” ucap Liyyan sambil meletak tangan di dada. Sebagai tanda penghormatan kepada diri sendiri kerana telah berjaya hingga ke tahap ini.
Dengan langkah yang berkeyakinan dan senyuman yang mekar bergayut di bibir, Liyyan mengatur jalan dengan tertib. Dia disambut penuh hormat di hadapan pintu utama. Kembang sebentar hatinya.
Langkahnya terus dibawa ke bahagian penyambut tetamu dan menyatakan jemputan yang dia dapati. Hanya seketika dia disuruh menunggu sebelum dibawa ke aras sembilan bangunan tersebut.
“Cik Liyyan tunggu sebentar di sini. Nanti Tan Sri Zawawi akan datang. Cik nak minum apa?”
“Kopi.”
Tidak sampai lima minit menunggu, daun pintu bilik itu dikuak dari luar. Liyyan bingkas bangun tatkala menyedari gerangan yang menyapa ruang matanya. Seorang lelaki lebih separa abad yang masih tampak gagah.
“Assalamualaikum, Tan Sri.” Liyyan berucap. Tidak tahu sebenarnya apa yang harus dia katakan kerana berasa sangat kekok dan pegun.
“Waalaikumusalam. Silakan duduk.” balas Tan Sri Zawawi menjawab ramah. Malah, senyuman lebar turut diberikan.
“Terima kasih, Tan Sri.” Liyyan menunduk hormat. Senyuman turut menghiasi bibirnya. Dia kembali duduk setelah Tan Sri Zawawi melabuhkan punggung ke sofa.
“Rupanya muda lagi orangnya di sebalik LL Architect ni.” Tan Sri Zawawi memulakan bicara sambil mengangguk kepala. Liyyan di hadapannya dipandang sedikit kagum.
Liyyan tertunduk. Segan mendengar pujian ringkas itu. Tidak dinafikan setiap manusia sukakan pujian, dia juga tidak terkecuali.
“Tak adalah, Tan Sri... saya tak semuda seperti yang Tan Sri nampak pada luaran.” ujar Liyyan.
Tan Sri Zawawi tertawa kecil. Bicaranya terhenti sebentar ketika seorang wanita masuk dan menghidangkan air untuk mereka.
“Jemputlah minum dulu. Kita tak perlulah terlalu formal sebab saya nampak kamu pun seolah-olah gementar.” ujar Tan Sri Zawawi menyedari tingkah laku gadis muda itu. Begitu ketara di matanya.
Liyyan gigit bibir. Dia tertunduk dengan wajah yang berkerut. Begitu ketarakah gerak kekok tubuhnya?
“Saya minta maaf, Tan Sri. Jujur saya sedikit gementar sebab ini pertama kali saya datang ke sini, sebuah syarikat yang begitu gah dan membanggakan. Lagi-lagi saya bertemu dengan Tan Sri sendiri, semestinya saya lebih gementar dan gugup.” Tidak mampu Liyyan menyorok rasa hatinya. Jikalau tingkah lakunya akan diambil kira, dia akur saja. Akan menganggap, kali ini bukan rezekinya.
“Tak mengapa, saya faham. Dengan kerjaya kamu sebagai seorang arkitek bebas, semestinya ada perasaan gemuruh tu. Saya dulu pun pernah melalui perkara yang sama. Saya pun pernah muda juga.” tutur Tan Sri Zawawi tertawa pada perhujung bicaranya. Mungkin berasa lucu dengan kata-katanya sendiri. Siapa saja yang tidak pernah muda?
Sedikit terkedu Liyyan mendengar. Telahan awalnya, dia fikirkan Tan Sri Zawawi adalah seorang lelaki seperti diktator dan serius. Namun, sebaliknya pula dari apa yang dia tafsirkan. Jauhnya perbezaan. Ternyata Tan Sri Zawawi sangat ringan bicara.
“Maaf, Tan Sri... Cik Liyyan, saya terlewat sedikit. Tadi meeting lewat pula habisnya.” ungkap seorang lelaki yang kalut menapak masuk setelah menolak pintu.
![](https://img.wattpad.com/cover/284810434-288-k54271.jpg)
YOU ARE READING
Ku Pilih Dia (✓)
Random- KEKASIH IMPIAN - Mencari seorang hero untuk seorang gadis bernama Liyyan Lashira yang keras kepala, tidak menyabar dan suka bertindak sendiri. Entah siapa yang mampu bertahan dengan gadis seperti itu. Namun, dia sering merasakan dia seorang yang...