🌻BAB 26🌻

3.1K 242 42
                                    


“MASIH ingat rupanya jalan balik ke rumah ni.”

Derap kaki yang sedang diatur untuk ke tangga terus berhenti. Tak perlu dia menoleh, dia sudah tahu suara siapa yang menegurnya dengan sinis.

“Kamu pergi mana tak balik rumah beberapa hari ni?” tanya Dato Kamal dengan suara yang mendatar. Sisi wajah anaknya dipandang tanpa berkalih.

“Liy ada kerja kat luar.” jawab Liyyan ringkas seraya menoleh ke arah renungan Dato Kamal. Agak tajam renungan yang sedang dihala ke arahnya.

“Kerja apa sampai off phone? Semua call kamu reject.” Dato Kamal terus menerus menyoal. Kakinya mulai menapak mendekati si anak.

“Liy tak suka diganggu.” akui Liyyan tanpa rasa bersalah. Memang benar itu yang dirasa. Dia tidak mahu masa ‘cuti’ yang diambilnya dikacau oleh orang lain. Dia juga perlukan masa untuk menenangkan diri dan minda yang berserabut.

“Bukan mahu melarikan diri ke selepas apa yang kamu dah buat?” Dato Kamal menduga jawapan jujur dari anaknya itu.

“Liy cuma perbetulkan keadaan dan Liy tak rasa benda tu salah.” jawab Liyyan cuba berlagak tenang. Sedangkan degup jantung sudah mulai berdetak kuat. Agak gerun mendengar suara tenang Dato Kamal.

“Tak salah? Dengan membelakangkan keluarga kamu masih merasa perkara tu bukan satu kesalahan?” Dato Kamal bertanya lagi. Kali ini benar-benar di hadapan anak gadisnya. Tangannya memeluk tubuh sambil mempamer wajah serius.

“Tak.”

Pang!

Deras satu tamparan dilayangkan ke pipi mulus Liyyan sehingga tangan Liyyan terus menekup telinga dan memejam rapat matanya. Telinganya terasa berdesing. Dia tertunduk seketika dengan tangan menggigil. Pipinya berasa kebas.

“Anak kurang ajar!” ungkap Dato Kamal dalam nada tertahan. Tahap sabar yang ditahan beberapa hari ini sudah meletus. Tidak mampu dikawalnya lagi.

Liyyan tergelak, sinis. Liurnya ditelan. Nafas dihela dengan agak kuat sebelum kepalanya diangkat dan menentang renungan tajam Dato Kamal.

“Anak kurang ajar ni yang tak pernah dapat didikan daripada mama dan baba. Segalanya diserahkan bulat-bulat kepada orang lain. Bila dah besar digunakan pula untuk kepentingan diri sendiri. Dari situ datangnya kurang ajar, Dato Kamal.” tutur Liyyan tanpa sebarang nada dan perasaan. Jiwanya sudah lama mati. Hatinya juga sudah lama tawar. Dia hilang deria rasa kasih dan sayang.

“Kamu salahkan baba?” Anak mata Dato Kamal terus menikam mata Liyyan dengan lebih dalam dan tepat. Mahu melihat sejauh mana kebencian yang terbias di dalam sepasang mata itu.

“Ya, memang salah baba dengan mama!” Suara Liyyan berubah tegas sekaligus menarik perhatian Datin Leena yang berada di dalam bilik.

“Salahnya...” Liyyan berjeda. Liur ditelan. Kedua belah tangannya digenggam kuat. Air matanya sudah mulai bergenang di tubir mata.

“Baba dengan mama lupa siapa Liyyan Lashira yang juga anak kandung mama baba sama macam Kasyaf, Leyla dan Khairan.”

Air mata di hujung mata terus dikesat. Tidak mahu air jernih itu jatuh terkena pipinya yang masih berasa perit.

“Baba mama hantar kamu tinggal dengan arwah Nek Melati sebab Leyla lebih perlukan perhatian daripada kamu. Mama dengan baba tak mampu uruskan kamu dengan Leyla dalam satu masa dengan jarak usia kamu dengan adik kamu tu hanyalah setahun saja.” tegas Dato Kamal bersama nafas yang sudah turun naik. Anaknya yang seorang ini benar-benar mencabar dirinya.

Jawapan Dato Kamal meledakkan tawa Liyyan tanpa diduga. Tangannya menepuk-nepuk beberapa kali. Geli hatinya mendengar jawapan babanya sendiri. Leyla lebih perlukan perhatian darinya. Itu yang sering diulang dan diberitahu oleh kedua ibu bapanya ini. Habis tu dia tidak memerlukan perhatiankah?

“Kasyaf boleh pula mama baba handle dia sedangkan masa tu Kasyaf baru lebih kurang umur empat tahun. Tapi Liy pula yang diserahkan kepada Nek Melati ketika berusia genap dua tahun semata-mata untuk beri perhatian pada Leyla. Ya, Liy faham Leyla sakit dan lebih perlukan perhatian dari mama dengan baba tapi perlu ke serahkan Liy pada arwah nenek sehingga bertahun-tahun? Jenguk Liy pun beberapa bulan sekali je. Sangat jarang mama dengan baba call arwah nenek tanya keadaan Liy macam mana. Liy sakit ke, demam ke, rindu ke... mama baba tak balik pun jenguk Liy.” Liyyan mengungkit. Senyumnya tawar. Perit dirasa sukar untuk ditanggung. Segala perhatian dicurahkan seratus peratus kepada adiknya, Leyla. Kerana Leyla sakit, dia abaikan. Patutkah begitu?

“Liyyan...” Datin Leena cuba menyentuh bahu Liyyan, namun dengan pantas anaknya itu menepis dan menapak langkah ke belakang. Menjauh diri darinya.

Liyyan menggeleng kepala dan tangannya diangkat. Dia tidak mahu disentuh atau dipujuk di saat ini. Dia tidak perlukan. Sudah lama dia tidak memerlukannya. Hatinya tidak lagi mengharap sebuah pujukan mahupun pelukan hangat.

“Masa raya, setiap tahun Liy tunggu sambut hari raya pertama dengan mama, baba dan adik-beradik lain. Tapi tak pernah hari raya pertama kita sambut bersama sebab mama balik kampung baba. Liy dengan arwah nenek sentiasa tunggu depan pintu... tunggu mama baba balik.” Suara Liyyan sedikit bergetar. Air matanya turut dikesat lagi. Helaan nafas kasar dilepaskan.

“Liyyan, mama...”

“Masa Liy umur 12 tahun Liy merayu pada mama sebab nak stay dengan arwah nenek, Liy tak nak balik sini lagi sebab tak nak tinggalkan arwah nenek sorang diri. Tapi baba paksa, heret Liy balik dan masukkan Liy ke asrama. Setiap kali Liy nak balik jumpa arwah nenek, baba tak izinkan sebab suruh fokus study sampai arwah pergi dan hampir dikebumikan baru baba izinkan Liy balik. Tapi, sayangnya arwah nenek dah tak bernyawa.” Kali ini Liyyan membiarkan air matanya jatuh. Mahu melepaskan sesak yang dirasai saat ini. Tangisan yang telah lama dia pendamkan. Biarlah kali ini ia mengalir.

Kesalnya tiada kesudahan. Rasa terkilannya dibawa hingga ke hari ini. Dia tak dapat berbual dan memeluk sekujur tubuh arwah Nek Melati ketika masih ditaruhkan nyawa. Yang dapat dia rasai hanyalah ketika tubuh itu sudah kaku dan sejuk. Yang sudah diselimuti dengan kain kafan dan kain batik lepas. Hanya wajah yang dibiarkan untuk tatapan kali terakhir.

Kelihatan Dato Kamal terkunci dari bicara. Malahan, berpaling ke arah bertentangan. Wajah itu sedikitpun tidak berubah dari raut wajah serius.

“Kenapa sekarang mama baba perlukan Liy? Kenapa mama baba tak kahwinkan Leyla dengan Danial? Kenapa mesti Liy?” Liyyan menyoal. Sudah lama soalan itu ingin ditanya tetapi dia menyabarkan hati. Namun, sekarang tidak lagi mampu dibendung kerana dia merasa tidak adil pada dirinya. Leyla begitu ditatang bagaikan puteri raja dan dia dipergunakan. Itu yang dirasa.

“Kenapa mesti Liy? Kenapa bukan Leyla anak kesayangan mama dengan baba? Kenapa Liy yang ditekan, dipaksa... ditendang. Kenapa Liy, mama?” Liyyan terus menyoal, lirih. Wajah Datin Leena direnung dengan sepasang mata yang kabur.

Lihatlah sampai sekarang, Leyla masih diberi kebebasan. Memilih sesuatu yang diinginkan. Mama dan baba tidak pernah menghalang, sebaliknya memberi kata-kata semangat serta dorongan. Tetapi dia?

Sebaliknya.

Adilkah?

“Liy...” Datin Leena masih cuba memujuk. Cuba meraih tangan anaknya itu. Namun, dengan pantas Liyyan mengelak dan  menjauhkan diri lebih jauh.

“Liy sayang mama dengan baba, tapi Liy benci!” usai kata, Liyyan terus melangkah laju naik ke atas. Hatinya hancur berkecai. Air mata yang masih mengalir dikesat kasar.

Datin Leena menelan liur dan hanya memandang kelibat anaknya yang kian hilang dari pandangan. Kemudian, wajah suaminya pula dipandang. Keluhan berat dilepaskan.

🍋🍋🍋🍋🍋

Fuh, rasa susah nak siapkan bab ni. Terima kasih semua yg masih sudi support✨

29092021

Ku Pilih Dia (✓)Where stories live. Discover now