🌻BAB 9🌻

2.9K 197 105
                                    


SETELAH bersiap ringkas, purse dan telefon pintarnya dicapai seraya mengatur jalan keluar bilik. Perlahan-lahan dia turun ke bawah sambil telinga menangkap bebelan dari ruang keluarga di bawah.

“Malu juga saya siang tadi. Liyyan tu tak reti nak menjaga tingkah laku di depan keluarga Danial. Langsung tak dilayannya. Apa yang dia sibukkan kawan-kawan dia tu pun tak tahulah.” bebelan Datin Leena bergema. Tidak berpuas hati dengan perangai anaknya. Dirasakan sungguh memalukan.

“Kenapa awak tak pesan saja pada Liyyan supaya jangan jemput kawan-kawan dia tu? Hanya rosakkan majlis.” balas Dato Kamal turut merasa kesal dengan kelakuan anak mereka.

“Liy bersetuju pun dah satu rahmat untuk mama dengan baba. Kawan-kawan Liy tak ganggu pun majlis tadi tu.” Liyyan menyampuk sambil langkahnya diatur ke ruangan itu. Sedikit berdesing telinganya menangkap topik perbualan mama dengan babanya.

“Tak menganggu apanya? Kamu tu asyik sibuk layan kawan-kawan kamu tu sampai keluarga Danial pun kamu tak layan. Malu tahu tak muka mama dengan baba ni dengan perangai kamu tu.” Datin Leena menayang muka ketat ke arah Liyyan. Sakit hati dengan ulah si anak.

“Kan Liy dah cakap, Liy tak nak. Ni semua bukan keputusan Liy tapi Danial seorang. Liy bersetuju pun sebab kawan-kawan Liy yang suruh Liy jaga maruah keluarga. Kalau ikut hati ni Liy dah lari.” tutur Liyyan mendatar. Dia turut berpeluk tubuh.

“Kamu lebih mendengar kata-kata kawan kamu berbanding kami mama baba kamu sendiri?” Dato Kamal mencelah, garang. Wajah anaknya dipandang tepat.

“Lebih kurang macam tulah.” ujar Liyyan. Terasa malas mahu membalas. Gusar sikapnya akan terlepas dengan lebih melampau.

“Kamu ni sejak berkawan dengan mereka tu makin tak beradab dengan keluarga kamu sendiri. Lebih mementingkan orang luar berbanding mama baba kamu. Memang betul telahan baba selama ni. Kawan-kawan tu hanya bawa pengaruh negatif ke dalam diri kamu sehingga kamu hilang hormat pada kami.” getus Dato Kamal yang sudah duduk menegak di sofa. Malahan, jari telunjuk itu lurus menunding ke arah Liyyan.

“Bukan mereka yang pengaruhi Liy tapi mama baba yang jadikan Liy berubah macam sekarang ni. Liy tak mampu menipu diri sendiri dengan bersikap pura-pura sebab ia sangat menyakitkan dan beban. Bukan salah mereka tapi mama dengan baba. Jangan tunding jari pada orang lain.” balas Liyyan sambil memandang wajah Dato Kamal. Sedikit kecewa hatinya dengan tuduhan yang dilemparkan.

“Huh, bela sangatlah orang luar. Kelak kawan-kawan yang kamu banggakan sangat itulah yang akan makan kamu kembali. Baru kamu tahu betapa pentingnya keluarga kamu sekarang ni.” kata Dato Kamal sinis.

“Sekurangnya mereka sentiasa ada dengan Liy dari dulu berbanding keluarga sendiri yang pernah buang Liy. Mereka selalu sokong Liy. Jadi bahu Liy.” kata Liyyan lalu tersenyum. Usai kata itu, dia terus berlalu. Sakit mahu teruskan berdebat. Tidak mahu mengimbas kenangan lalu.

Dato Kamal menelan liur. Pandangannya terus dipalingkan.

“Kamu nak ke mana pula tu?” Datin Leena menyoal tika melihat langkah anaknya dibawa ke pintu.

“Keluar.”

“Dengan siapa?” tanya Datin Leena lagi. Dari duduk, dia terus bangun mengekori langkah si anak.

“Suami Liy.” jawab Liyyan bersahaja.

“Apa kamu cakap? Suami? Kamu tu tunang orang! Jangan buat perangai.” marah Datin Leena benar-benar meluap. Mula hilang sabar tatkala mendengar kata-kata anaknya.

“Ya, mama... Aariz Nazran suami Liy.” jawab Liyyan seraya berpaling. Sengihan lebar dia berikan kepada Datin Leena, menandakan dia tidak bergurau.

“Mama serius ni! Kamu jangan main-main. Benda ni bukannya benda yang boleh kamu buat gurauan.” Kemarahan Datin Leena kian meletus kali ini. Tangan mula mencekak pinggang sambil dadanya turun naik.

Ku Pilih Dia (✓)Where stories live. Discover now