🌻BAB 24🌻

3.3K 202 44
                                    


DERAP kaki dibawa ke dapur sambil matanya melingas mencari sesuatu. Tetapi tidak pula kelihatan di segenap ruang yang dijelajahi. Agak mustahil jika gadis yang dicarinya itu sudah pulang pada waktu malam begini.

“Terhendap-hendap macam pencuri, apa yang kamu cari?” Puan Salima menegur hairan. Difikirkan siapa yang sedang menapak di belakangnya tanpa bunyi itu, rupanya anaknya sendiri.

“Cari... Tipah.” ujar Aariz lalu menayang barisan giginya. Tersengih lebar. Terasa lucu setiap kali dia memanggil Liyyan dengan nama Latipah yang diberikan oleh bapaknya dulu. Melekat sehingga sekarang.

Puan Salima hanya menggeleng kepala. Tangan yang basah terus dilap di kain bersih. Kaki dibawa ke kerusi dan berlabuh. Wajah anaknya dipandang. Dia mulai serius.

“Ummi nak tanya kamu ni,”

“Tanya apa?” Wajah Aariz turut berubah sebaik saja mendengar nada bicara ummi. Jarang umminya itu bersikap serius jika berbicara.

“Kamu dengan Liyyan tu tak ada apa-apa hubungan kan? Hanya kawan biasa kan?” tanya Puan Salima. Nama ganti Liyyan turut diganti bagi menandakan bicara seriusnya.

Dahi Aariz terus berkerut. Kakinya turut dibawa ke meja makan seraya berlabuh di kerusi. Penasaran pula dengan soalan yang diajukan oleh ummi. Apa yang telah ummi fikirkan tentang hubungannya dengan Liyyan?

“Hesy, ummi ni ke situ pula. Mestilah Riz tak ada apa-apa hubungan istimewa dengan Liyyan. Kami kawan je, ummi. Tak lebih dari tu pun. Ummi pun tahu kan, kami berkawan dari kecil lagi masa Liyyan dijaga oleh arwah Nek Melati kat sini dulu.” jawab Aariz pantas. Menafikan kata-kata ummi.

Tidak terfikir olehnya untuk berhubungan istimewa dengan gadis itu, teman sepermainannya ketika waktu kecil sehinggalah Liyyan pulang ke pangkuan keluarganya ketika berusia 12 tahun. Hubungan mereka tidaklah terlalu rapat kerana keluarganya juga berhijrah ke bandar dan hanya pulang ke kampung ini ketika waktu cuti penggal sekolah sahaja.

“Ummi ni risau je sebab Liyyan tu tunang orang. Ummi tak nak ada berita tak sedap pula didengarnya nanti.” akui Puan Salima gusar. Mana tidaknya, dia sering memerhati tingkah laku anaknya ini dengan Liyyan, begitu juga ketika di kebun petang tadi.

“Ummi jangan risau. InsyaAllah, tak ada apa-apa. Riz cuma kawan je dengan Liyyan tu. Tak pernah terfikir pun nak ada hati dekat Liyyan tu.” tutur Aariz perlahan lalu ketawa sendiri. Memang benar, dia tidak pernah mengimpikan ada rasa cinta yang terbit di antara mereka walaupun hakikatnya hati dan perasaannya pernah tersasar.

“Yelah tu. Ummi yang kandungkan kamu tau. Liyyan tu pun pernah juga membesar di depan mata ummi walaupun sekejap.” Puan Salima mencebik. Raut wajah anaknya ditatap dalam-dalam dengan senyuman nipis.

“Taklah, ummi. Riz tak nak berangan perkara yang tak sepatutnya. Enggang dengan pipit mana boleh terbang sekali kan, ummi.” tutur Aariz sambil membalas renungan umminya. Mahu menyakinkan Puan Salima bahawa di hatinya tiada nama Liyyan Lashira aka Latipah.

“Tak mengapa, bunga bukan sekuntum.” ujar Puan Salima. Sengaja mahu mengusik hati anak lelaki itu. Suka menyembunyikan perasaan sendiri.

“Dahlah, ummi ni tak percayakan Riz.” cantas Aariz seraya bangkit dari kerusi. Tangan ummi terus dicapai dan kucup hormat, lama dia tunduk. Dia kasihkan ummi. Dia tidak mahu palitkan sesuatu pada wajah ummi dan bapak.

“Ya, ummi percayakan kamu. Saja ummi nak usik.” tutur Puan Salima lembut. Kepala anaknya diusap dan tunduk menciumnya.

“Dah! Kata nak cari Liyyan tadi.”

“A’ah, mana dia?” Aariz mendongak memandang wajah itu.

“Ada kat belakang tu, atas pokok.” beritahu Puan Salima.

Ku Pilih Dia (✓)Where stories live. Discover now