“BILA kamu nak balik sini?” tanya Encik Syakur sesudah Aariz menyalami tangannya. Kemudian tangan Puan Salima pula yang dikucup Aariz.“Secepat mungkin. Selesai je urusan, Riz terus balik.” ujar Aariz. Berat hatinya mahu meninggalkan Liyyan tetapi ketika ini kerjanya menuntut dia kembali seketika. Terpaksa dia meminjam kereta bapaknya untuk pulang ke pejabat.
“Baiklah. Hati-hati memandu tu.” pesan Encik Syakur. Bahu anaknya ditepuk-tepuk. Memberi sedikit semangat.
“Mama, saya minta maaf sebab terpaksa tinggalkan Liyyan sekejap.” ucap Aariz seraya menyalami tangan ibu mentuanya pula. Terselit rasa bersalah.
“Tak apa, kamu selesaikan dulu urusan kamu. Mama faham. Kami semua ada kat sini jaga Liyyan.” ungkap Datin Leena tenang.
“Terima kasih, mama.”
Setelah berpamitan, Aariz terus meninggalkan hospital dengan langkah yang berat. Sesekali rambutnya disebak ke belakang. Gusar dan sedikit serabut. Tiada semangat yang dirasa. Segalanya seakan menyusut hari demi hari. Namun, dia sedar dia masih mempunyai tanggungjawab lain.
Setelah beberapa jam memandu, dia tiba di bangunan yang menempatkan syarikat kecilnya yang diusaha dengan hasil titik peluhnya sendiri. Lif ditekan menuju ke aras syarikatnya diletak.
“Encik Aariz.” Pengawal keselamatan yang menjaga pintu masuk menegur kaget.
Aariz hanya melemparkan senyuman segaris.
“Apa khabar, Pak Rahman?” Aariz bertanya setelah berhenti di hadapan meja pengawal itu.
“Saya baik, alhamdulillah. Encik Aariz macam mana? Isteri encik dah sedar ke?” tanya Pak Rahman, prihatin. Khabar berita tentang isteri majikan mereka sudah diketahui di syarikat itu. Mereka semua tumpang simpati dengan ujian yang melanda majikan mereka ini.
“Alhamdulillah, saya sihat. Isteri saya macam tulah, masih belum sedar lagi.” balas Aariz sedikit tenang walaupun jiwanya berat untuk menutur.
“InsyaAllah, isteri Encik Aariz akan sedar. Esok hari jumaat, kami semua dah sepakat nak lakukan solat hajat untuk isteri Encik Aariz selepas solat jumaat.” beritahu Pak Rahman tentang perancangan mereka.
“Subhanallah, Pak Rahman... saya tak tahu nak cakap macam mana. Terima kasih je yang mampu saya ucap. Tak mampu untuk saya balas.” ucap Aariz, terharu dengan niat para pekerjanya.
“Tak perlu fikirkan macam mana nak balas tu, Encik Aariz sebab isteri encik sangat baik dengan semua pekerja kat sini. Setiap kali dia datang, mesti dia akan bawa makanan. Ada saja yang dia belikan untuk semua pekerja termasuk saya yang hanya security guard kat depan ni. Mungkin dengan cara ni kami dapat membalas segala kebaikan dia.” beritahu Pak Rahman tentang sikap pemurah isteri majikan itu. Biarpun nampak sedikit sosial tetapi murah hatinya.
Tersenyum Aariz mendengar. Dia terkesima seketika tadi kerana dia sama sekali tidak tahu menahu segala apa yang baru diceritakan oleh Pak Rahman.
“Terima kasih sekali lagi, Pak Rahman.” ucap Aariz benar-benar ikhlas dan terharu.
“Sama-sama, encik.”
“Saya masuk dalam dulu.” Aariz berpamitan dengan senyuman.
“Silakan.” Pak Rahman mengangguk.
Ketika dia melalui meja para pekerjanya, Aariz hanya tersenyum nipis saat ditegur sehinggalah tiba di depan meja setiausahanya, Fatin. Meja Fatin diketuk. Kelihatan gadis itu tampak leka dengan kerja.
“Encik Aariz! Bukan ke encik bercuti sampai minggu depan?” soal Fatin kaget dan serta-merta terus berdiri.
“Ada hal sikit jadi saya kena masuklah. Kerja apa yang tengah awak buat tu?” tanya Aariz sambil melihat kerja yang dilakukan Fatin.
YOU ARE READING
Ku Pilih Dia (✓)
Diversos- KEKASIH IMPIAN - Mencari seorang hero untuk seorang gadis bernama Liyyan Lashira yang keras kepala, tidak menyabar dan suka bertindak sendiri. Entah siapa yang mampu bertahan dengan gadis seperti itu. Namun, dia sering merasakan dia seorang yang...