🌻BAB 38🌻

3.6K 195 14
                                    


(LIYYAN - 8 TAHUN)

WAJAH nenek yang dipanggil Nek Melati itu menjadi sorotan mata Liyyan tanpa berkalih. Telinga memasang mendengar segala kata-kata yang sedang dituturkan oleh wanita yang sudah melepasi usia separuh abad. Setiap kata-kata itu seakan sebilah belati yang menikam jiwa kecilnya.

“Mama tak nak ambil Liy sebab Leyla masih perlukan rawatan. Liy kena tinggal dengan nenek lagi. Lepas ni mama baba Liy akan makin sibuk ke luar negara untuk rawatan Leyla. Mungkin akan lebih jarang melawat Liy kat sini. Liy jangan sedih ya, nenek akan sentiasa ada dengan Liy. Liy tak keseorangan tau walaupun mama baba Liy makin jarang pulang ke sini.” tutur Nek Melati, lembut sambil tangan yang sudah mulai berkedut dimamah usia itu mengusap rambut panjang Liyyan.

“Kenapa mama baba tak nak ambil Liy lagi? Dah berapa tahun Liy tinggal kat sini. Liy rindu abang Kasy. Liy rindu nak pergi shopping dengan mama.” tanya Liyyan petah. Matanya sudah digenangi dengan air mata. Terasa hati dengan perlakuan mama dan babanya.

“Kan nenek dah beritahu tadi. Mama baba Liy sibuk dengan rawatan Leyla. Nenek pun tak tahu sampai bila Liy akan tinggal kat sini dengan nenek sebab mama baba Liy tak beritahu nenek apa-apa. Mereka hanya tinggalkan duit untuk nenek jaga Liy. Liy jangan sedih, nenek kan ada. Liy tinggal je dengan nenek selamanya. Nenek masih kuat nak jaga Liy.” Nek Melati terus memujuk tanpa henti.

“Mana boleh mama baba lebihkan Leyla. Liy kakak!” marah Liyyan menghentak kaki. Air matanya sudah jatuh berjurai.

“Mama baba Liy ada anak perempuan lain, begitulah selalunya Liy. Liy kena mengalah. Lepas ni sampai ke dewasa pun Liy akan terus mengalah dengan Leyla. Kalau Liy nak tahu Liy dah dapat adik lagi tau. Makin bertambah sibuklah mama baba Liy nanti uruskan adik-adik Liy. Liy akan terus dibiarkan tinggal dengan nenek.”

“Tak adil! Liy kakak. Mana boleh mama baba lebihkan adik-adik Liy dari Liy. Mama baba Liy tak adil!” Liyyan sudah teresak-esak. Perasaannya sukar untuk dikawal. Segala barang-barang di atas meja terus Liyyan tepis dan lempar ke lantai.

Nek Melati hanya membiarkan dan melihat amukan Liyyan. Tidak lama kemudian, barulah tubuh kecil itu dibawa ke dalam pelukan dan memujuk.

“Liy tinggal dengan nenek ya. Liy kena biasakan diri hidup tanpa mama baba dan adik-beradik Liy yang lain. Liy kena hidup berdikari. Liy kena mengalah tau sebab Liy kakak. Kakak kena mengalah dengan adik-adik.”

“Mama baba tak sayang Liy. Liy benci mama baba!” Luah Liyyan dengan perasaan marah yang telah menguasi diri.

“Tak mengapa, nenek kan ada sayang Liy. Nenek takkan tinggalkan Liy macam baba mama Liy tinggal Liy. Nenek janji. Tinggal aje dengan nenek.” Nek Melati terus memujuk dengan senyuman. Tubuh anak kecil itu diusap hingga tenang.

“Liy benci mama! Liy benci baba! Liy benci!” Liyyan menghambur kata. Pelukan itu dirungkai dan terus berlari ke bilik. Pintu bilik dihempas sekuat hati.

Hatinya benar-benar terluka dan kecewa. Mama baba pulang tanpa menemuinya terlebih dahulu. Perasaan terujanya semakin hari semakin hilang. Akhirnya berasa tawar dan hilang rasa. Sebaliknya hatinya dipenuhi dengan perasaan dendam. Dia menjadi seorang semakin memberontak dan keras hati. Kerana perlahan-lahan jiwanya mulai mati.

***

(LIYYAN - 12 TAHUN)

“Mak tak berhak halang saya untuk bawa Liy pulang bersama kami. Sudah terlalu lama Liy di sini. Saya takkan dengar lagi cakap mak. Apa nak jadi, jadilah!” bantah Dato Kamal dengan nada keras. Bergema hingga ke bilik yang dihuni Liyyan yang sedang mengunci diri.

“Jangan bawa Liyyan. Jangan pisahkan mak dengan Liyyan, Kamal.” Suara Nek Melati merayu.

“Saya tak peduli!” tegas Dato Kamal menuju laju ke arah bilik Liyyan. Pintu anaknya diketuk berkali-kali.

“Buka pintu ni, Liyyan!” Dato Kamal mengarah tegas. Tiada kelembutan kerana sikap Liyyan yang suka melawan.

“Tak nak! Liy tak nak balik dengan baba. Liy nak tinggal kat sini!” balas Liyyan lantang. Tiada rasa mahu membuka pintu.

“Baba cakap buka!” Dato Kamal mengetuk Liyyan lebih kuat.

“Kamal, jangan bawa Liyyan.” Nek Melati masih merayu.

“Mak jangan masuk campur. Ini urusan saya anak-beranak. Mak tiada hak! Mak tu orang luar saja!” Dato Kamal benar-benar dikuasai amarah. Rayuan wanita itu sedikit pun tidak menyentuh hatinya.

“Liyyan, buka pintu ni sebelum baba pecahkan.” Dato Kamal memberi ugutan dengan ketukan pintu.

“Tak nak!” Liyyan berkeras.

“Baik!” Dato Kamal terus menendang pintu itu berkali-kali dan merempuh sehingga terpokah kuncinya.

Liyyan menggigil. Dia cuba menyorok di sisi almari namun sepantas kilat Dato Kamal menerpa dan mendukungnya ke atas bahu dan keluar dari bilik. Wajahnya bengis dan merah padam.

“Kamal! Jangan bawa cucu aku, Kamal. Aku merayu pada kau, Kamal.” Nek Melati menjerit sambil mengejar langkah laju Dato Kamal.

Dato Kamal tidak menoleh. Dia keraskan dan pekakkan telinga.

“Lepaskan Liy! Lepaskan Liy!” Liyyan memukul belakang tubuh Dato Kamal dengan keras.

“Leena, buka pintu kereta.” arah Dato Kamal.

Seperti yang disuruh Datin Leena membuka pintu kereta. Dato Kamal terus menyumbat Liyyan ke dalam dan dia turut masuk bersama. Memeluk anaknya yang mahu melepaskan diri. Begitu juga Datin Leena turut masuk ke dalam kereta.

“Pak Cik Samad, jalan sekarang.” arah Dato Kamal kepada pemandunya.

Tanpa menunggu lagi, kereta terus meninggalkan halaman rumah Nek Melati. Wanita itu terus mengejar kereta sehingga kereta mulai menjauh.

“Nenek! Nenek!” Liyyan menjerit sambil mengetuk cermin.

Setelah penat menjerit dan menangis, akhirnya Liyyan tersedu. Tetapi matanya mencerlung tajam ke arah Dato Kamal. Sepasang mata itu begitu membara dengan api kebencian.

“Liy benci baba!”

***

(KINI)

“Mama minta maaf. Mama terpaksa. Kamu dijadikan galang ganti kerana mama kahwin dengan baba jadi arwah tak puas hati dengan mama kerana kata arwah, mama ni anak angkat yang tak sedar diri. Bukan mama sengaja biarkan kamu tinggal dengan arwah bertahun tapi sebenarnya mama takut untuk kehilangan kamu.” bisik Datin Leena sedikit teresak. Teringat semula segala ugutan arwah ibu angkatnya itu.


🍠🍠🍠🍠🍠

06102021

Ku Pilih Dia (✓)Where stories live. Discover now