Amin berdiri tegak memerhatikan pelajar perempuannya yang sedang menjalani sesi latihan bola jaring di padang sekolah.
Beginilah rutin harian Amin sebagai penasihat sukan bola jaring sekolah. Walaupun tidak berperanan sebagai jurulatih, Amin tetap memastikan dirinya hadir pada setiap sesi latihan demi memotivasikan pelajarnya yang akan menghadapi pertandingan peringkat daerah tidak lama lagi.
Namun, walaupun matanya memandang ke arah pelajarnya, fikiran Amin jauh melayang entah ke mana.
Jauh sejauh jauhnya...
"Cikgu fikir apa tu cikgu?" kedengaran suara wanita matang tetapi lembut di sebelah Amin. Amin sedikit tersentak. Pemilik suara itu ialah Ustazah Husna yang merupakan jurulatih bagi pasukan bola jaring sekolah SMK Ibrahim Yaakub itu.
Walaupun berlatarkan pengajian agama, Ustazah Husna juga pernah mewakili negara dalam acara bola jaring di temasya Sukan SEA. Kerana itu dia dipilih untuk menjadi jurulatih pasukan bola jaring di sekolah itu.
Amin sedikit terkejut dengan kehadiran Ustazah Husna yang berumur sebaya dengannya disebelah. Terkejut, kerana rasanya tadi Ustazah berada di tepi court bola jaring bertentangan dengannya..
Ada ilmu lipat bumi ke apa Ustazah Husna ni boleh berpindah tempat sekelip mata?
Ah, sudah tentu tidak. Dirinya yang terlalu mengelamun sampai tak sedar Ustazah Husna berada di sebelahnya.
"Eh? Err.. Takdelah ustazah. Saya tengah tengok budak-budak ni lah hehehe.."
"Ala, cikgu. Yelah tu. Tak payahlah nak tipu saya. Cikgu fikir pasal girlfriend cikgu eh?" usik Ustazah Husna.
"G-g-girlfriend? Hahaha. Saya ni mana ada girlfriend lagi ustazah.." Amin tersengih-sengih.
"Cikgu Amin single lagi! Dia tak ada girlfriend!" kata Suzana sambil berlari melintasi Amin dan Ustazah Husna menuju ke arah kawasannya bagi membentuk bentang pertahanan.
Amin memandang tajam ke arah Suzana.
Sibuk betul budak ni, getus fikiran Amin.
"Eh, macammana Suzana boleh dengar apa yang kita cakap?" Ustazah Husna sedikit terkejut.
"Biasalah Ustazah. Telinga diorang ni telinga kelawar. Semua benda boleh dengar," jawab Amin berseloroh.
"Hahaha. Tak semua lah. Yang berkaitan dengan cikgu je diorang dengar hahaha!"
Amin tersenyum. Riang hatinya melihat gadis manis seperti Ustazah Husna ketawa.
Ustazah Husna sememangnya sangat cantik. Kulitnya putih dengan matanya yang besar, sekali pandang sama seperti anak patung. Penampilannya yang berhijab dengan gaya muslimah terkini juga membuatkan dirinya tidak kalah pada mana-mana model berhijab di luar sana.
Dan yang paling penting, ilmu agama yang dimiliki oleh Ustazah Husna. Itu sahaja sudah cukup untuk menjadikan Ustazah Husna sebagai wanita yang sempurna.
"Macammana dengan mereka ni semua ustazah? Tahun ni boleh menang?" Amin bertanya perihal pasukan bola jaring mereka pula.
"Ah, cikgu ni. Janganlah pressure kat saya pulak.." Ustazah Husna mencebik bibirnya.
"Eh, eh? Maaf. Saya tak ada niat pun.." Amin mula berasa bersalah.
"Hehehe. Tak adalah saja je usik cikgu. Cikgu Amin jangan risau. Pasukan bola jaring kita insyaAllah boleh pergi jauh pertandingan nanti. Kalau cikgu nak tahu, Suzana tu memang berbakat orangnya. Ada stamina, ada skill.. Dia boleh jadi key player untuk pasukan kita. Tapi, yelah apa-apa pun teamwork jugak..." jelas Ustazah Husna panjang lebar.
Amin tersenyum.
Terbit rasa bangga dalam dirinya apabila Ustazah Husna memuji Suzana yang pernah dikatakan sebagai pelajar perempuan paling bermasalah di SMK Ibrahim Yaakub pada suatu masa dahulu.
Kini segalanya sudah berubah.
Suzana kini menjadi pelajar yang lebih baik, rajin dan aktif dalam bidang kokurikulum di sekolah. Dan itu sangat-sangat membanggakan Amin.
Seorang pelajar lelaki kemudiannya datang menghampiri Amin dan Ustazah Husna sambil membawakan satu kotak minuman.
"Eh, Man? Datang dari mana pulak air satu kotak ni?" tanya Amin kepada pelajar lelaki bernama Man itu. Ustazah Husna turut hairan melihat air satu kotak tersebut.
"Ni pengetua bagi cikgu. Satu untuk team bola tampar saya, satu lagi untuk team bola jaring. Pengetua suruh saya pass kat cikgu sini.." jelas Man termengah-mengah. Boleh tahan berat jugak air satu kotak itu sebenarnya.
"Susahkan kamu je Man. Berat ni. Terima kasih banyak ya?" kata Ustazah Husna.
"Takde masalah ustazah hehehe," pelajar lelaki itu tersenyum. Gembira apabila ustazah cantik itu menegurnya. "Saya gerak dulu ya Cikgu Amin, ustazah?" katanya lagi.
"Ah, ya. Terima kasih man.." kata Amin. Pelajar lelaki itu kemudian berlari meninggalkan mereka dan menuju ke padang bola tampar bagi menyambung latihan.
Amin segera memanggil pelajarnya untuk berhenti berlatih dan minum dahulu.
"OK semua! Dah-dah. Jom datang sini! Pengetua ada belanja air ni!" Amin memanggil semua pelajar perempuan datang ke arahnya. Serentak mereka semua menghentikan latihan dan datang ke arah Amin.
"Air apa ni cikgu?" tanya Suhaina sambil mengesat peluhnya.
"Kejab cikgu bukak.." Amin menanggalkan balutan plastik dan pelekat pada kotak tersebut. Kotak itu dibuka dan kelihatan beberapa kotak kecil air di dalamnya.
"Eh? Ini air susu pisang Mia Sofea ni! Mahal air ni!" spontan Suzana bersuara.
Apa? Air apa?
Amin berpaling ke arah Suzana.
"Ke tepi cikgu! Ni air budak-budak perempuan je. Orang lelaki tak minum air ni!" Suhaina menolak Amin ke tepi. Suhaina kemudiannya mengambil satu daripadanya dan diberikan kepada Ustazah Husna. Sesaat kemudian, kesemua pelajar perempuan itu kemudian berebut-rebut mengambil air dari dalam kotak tersebut.
Amin masih termanggu-manggu. Air apa yang popular sangat ni? Air je pun?
"Err.. Ustazah, boleh saya tanya?" Amin menghampiri Ustazah Husna yang sedang menghirup minuman tersebut dengan menggunakan straw yng disediakan.
"Ya, cikgu? Ada apa?" kata Ustazah Husna sambil tersebut. Masih terasa lucu dengan gelagat pelajar-pelajar perempuan di hadapannya yang teruja dengan minuman itu.
"Air apa ni ustazah? Sampai macam ni sekali budak-budak ni semua?"
"Eh? Cikgu tak tahu ke? Ni lah air paling trend sekarang! Susu pisang Mia Sofea. Susah nak dapat air ni. Kalau kat kedai selalu habis," jelas Ustazah Husna.
"Air apa? Susu pisang Mia Sofea?"
"Ya. Tengok sini. Mia Sofea kan?" Ustazah Husna menunjukkan gambar Mia Sofea yang terpapar pada bungkusan minuman tersebut.
Amin terus ternganga.
Gambar perempuan bakal isterinya terpapar pada bungkusan minuman kotak!
"Sebab tu orang panggil ni susu pisang Mia Sofea. Limited edition ni. Cikgu nak rasa?" Ustazah Husna menawar kepada Amin.
"Eh, eh..tak apalah. Awak semua minum lah. Saya tak suka sangat minum manis macam ni hehe.." Amin menolak. Entah mengapa, dirinya terasa aneh kalau minum minuman tersebut.
Tekanan mula menyelubungi Amin. Dia tidak dapat membayangkan bagaimana hidupnya nanti jika mereka tahu yang Mia Sofea bakal menjadi isterinya nanti.
Air minuman sahaja dah cukup membuatkan mereka tergila-gila..
YOU ARE READING
Isteri Paling Popular!
RomanceCover by: Canva Model: IG @sema.henna Amin adalah seorang guru sekolah menengah yang sukakan kehidupan yang aman, normal dan biasa. Namun segalanya berubah apabila dia dijodohkan dengan Mia Sofea, seorang artis wanita paling popular dan ternama..