Peminat gila, atau crazy fan.
Suatu istilah yang sangat popular dalam dunia hiburan. Setiap artis yang popular semestinya akan ada peminat fanatik lagi menggila.
Itulah yang dianggap oleh Sara Sofea kepada Amin, seorang peminat Mia Sofea yang terlampau fanatik, hidup dalam imaginasi dia sendiri kononnya bertunang dengan Mia Sofea.
"Hahahahaha!"
Jade Lim, kawan kepada Sara Sofea ketawa besar apabila mendengar cerita lucu itu daripadanya.
"Betul-betul gila dia tu! Nak buat cerita biarlah logik sikit. Ada ke lelaki normal dan kebanyakan macam dia tu boleh bercinta dengan Mia Sofea?" kata Sara Sofea, berbual dengan Jade Lim dalam bahasa Inggeris.
Jade Lim adalah seorang pengurus salah sebuah agensi model di Kuala Lumpur. Mereka mula mengenali satu sama lain ketika acara pertunjukan fesyen di Perancis. Hubungan mereka menjadi rapat selepas mengetahui Jade Lim adalah berasal daripada Malaysia sama sepertinya. Apabila pulang ke Malaysia, Sara Sofea tidak akan melepaskan peluang untuk bertemu dan bertanya kkhabar dengan Jade Lim di samping menukar-nukar idea tentang perkembangan fesyen terkini.
Ketika itu, mereka bertemu di sebuah kelab malam elit di Bangsar, Kuala Lumpur.
"Saya dah terbayang, mesti bilik dia penuh dengan poster Mia Sofea kan?" Jade Lim membuat lawak.
"Euu! Jijik!"
"Hahahaha!"
Mereka terus berbual, termasuklah mengumpat Amin sehingga ke detik dua belas tengah malam.
Jade Lim sebenarnya ada mengajak Sara Sofea untuk terus keluar minum dan berhibur. Namun Sara Sofea menolaknya dengan baik kerana perlu bangun awal pagi nanti untuk menyertai program seterusnya esok.
Bukan itu sahaja. Sara Sofea juga takut, jika dirinya terus hanyut dalam kehidupan sosial sebegini.
Namun hakikatnya, Sara Sofea sudahpun hanyut. Dia sendiri menyedari perkara ini.
Memiliki ramai teman lelaki, pergaulan bebas di sana sini, menyertai parti-parti liar sehingga larut malam. Inilah yang dilalui oleh Sara Sofea pada setiap masa. Walaupun tidak lah seteruk sehingga mendekati dadah, tidak mustahil lama-kelamaan dia terjebak dengan perkara sebegitu.
Insiden yang berlaku kepada kawannya Hannah Summer betul-betul membuka matanya. Sara lebih bernasib baik kerana dirinya lebih disibukkan dengan dunia korporat. Kalaulah Sara lebih ke arah dunia glamour, tidak mustahil apa yang terjadi kepada Hannah Summer terjadi juga pada dirinya.
Kerana itu, seperti yang dikatakannya kepada Amin siang tadi, dia memerlukan seseorang yang boleh membuatkan dirinya lari dari dunia glamour dan sosial sebegini. Namun, dia tiada sesiapa. Bapanya tidak masuk campur dengan kehidupannya. Teman-teman lelakinya, mendekati Sara hanya untuk duit semata-mata bukannya cinta. Kawan-kawan Sara yang lain pula, ada yang lebih teruk daripadanya.
Ada kalanya, Sara terasa sangat kesunyian. Walaupun memiliki kehidupan yang sangat sibuk, dia tetap berasa sunyi.
Sebaik sahaja keluar dari bangunan kelab malam elit di Bangsar itu, Sara Sofea melihat ke arah langit.
Tiba-tiba, Sara terpandang sebuah billboard yang memaparkan gambar Mia Sofea. Sebuah poster mengenai drama terbaru lakonan Mia Sofea.
Sara mengakui, adiknya sekarang amat berjaya dan sangat popular.
Tak semena-mena wajah Sara berubah. Kerisauan mula menjengah hati Sara.
Bagaimana, jika adiknya yang sedang berada di puncak populariti itu bakal atau sedang mengalami perkara yang sama seperti dirinya? Hanyut dengan arus populariti sehingga mengalami tekanan perasaan?
Ah! Sara enggan meneka dan membuat kesimpulan sendiri lagi. Dia tidak mahu melihat apa yang berlaku ke atas Hannah Summer berlaku ke atas adiknya sendiri. Sara berazam untuk bertemu dengan adiknya Mia sebelum dirinya berangkat pulang ke London nanti.
Tapi, bagaimana kah caranya untuk dia berhubung dengan Mia? Kali terakhir mereka berhubungan adalah kira-kira sepuluh tahun yang lalu. Jika diikutkan, mereka boleh dianggap sebagai orang asing sesama mereka sekarang walaupun memiliki pertalian darah yang sama.
Kereta grab yang dipesan oleh Sara akhirnya tiba. Sara menaiki kereta grabnya itu dan pulang ke pangsapuri yang disediakan oleh syarikat.
Pada waktu tengah malam itu, jalan-jalan di Kuala Lumpur masih lagi sesak dan sibuk. Namun Sara tidak tertarik untuk menyertai kesibukan tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. Dia lebih memikirkan bagaimana caranya untuk dia menghubungi Mia Sofea.
Sara Sofea menggelengkan kepalanya. Adiknya sendiri, tapi susah untuk dihubungi. Sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku..
Sara cuba untuk menjejaki aktiviti Mia Sofea menerusi ruangan Facebook, Instagram dan TikTok milik adiknya itu. Namun, tidak banyak yang diperolehi. Maklumat yang ada begitu terhad, tidak memberitahu di manakah aktiviti terkini Mia Sofea sekarang.
Adakah dia perlu menghantar temujanji rasmi dengan pengurus Mia Sofea? Nombor pengurus Mia, Muhammad Hidayat ada terpapar di ruang profil Instagram ini.
Tapi, ah! Semacam pelik dan janggal pulak jika kakak menghantar temujanji rasmi kepada adik sendiri!
Sara Sofea menjadi sedikit buntu.
Kereta grab Sara bergerak melalui Universiti Putra.
Sara terpandang kawasan Universiti Putra. Teringat pula kejadian tidak disangka dengan seorang lelaki melayu bernama Amin pada petang tadi.
Lelaki aneh itu mendakwa Mia Sofea adalah tunangnya. Ini betul-betul gila. Hanya peminat gila dan fanatik sahaja yang boleh bercakap sehingga pada tahap sedemikian. Seperti yang dikatakan oleh Jade Lim, lelaki itu semestinya memiliki ribuan poster Mia Sofea di dalam biliknya, telefonnya dipenuhi gambar Mia Sofea, mengintip segala aktiviti Mia Sofea..
Ah, jijik sekali!
Nanti..
Sara Sofea mula terfikir sesuatu. Sebagai peminat gila dan fanatik Mia Sofea, semestinya lelaki itu mempunyai maklumat lengkap mengenai keberadaan Mia Sofea, kan?
"Yes!"
Sara Sofea menjerit kegembiraan sehingga mengejutkan pemandu grab.
Sara Sofea mula melihat sinar harapan. Esok, selepas selesai aktivitinya dia akan cuba untuk mencari lelaki bernama Amin itu lagi. Dia akan meminta maklumat daripada Amin tentang Mia, dan mencari Mia Sofea daripada situ.
Inilah satu-satunya jalan terbaik sekarang. Walaupun terasa jijik terpaksa berhadapan dengan lelaki fanatik Mia Sofea itu lagi, Sara tidak kisah. Dia sanggup berbuat apa sahaja demi bertemu kembali dengan adiknya.
Mudah-mudahan, dia dapat bertemu dengan Amin esok...
YOU ARE READING
Isteri Paling Popular!
RomanceCover by: Canva Model: IG @sema.henna Amin adalah seorang guru sekolah menengah yang sukakan kehidupan yang aman, normal dan biasa. Namun segalanya berubah apabila dia dijodohkan dengan Mia Sofea, seorang artis wanita paling popular dan ternama..