Program Hari Guru di SMK Ibrahim Yaakub akhirnya tamat dengan jayanya.
Walaupun program Hari Guru pada tahun ini berlangsung lebih lama dari tahun-tahun sebelumnya, tiada seorang pun di kalangan pelajar dan guru mengadu atau tidak berpuas hati akannya. Kesemua daripada mereka berasa sangat gembira dengan penganjuran Hari Guru pada tahun ini.
Hari Guru tahun ini bukan sahaja dimeriahkan dengan kehadiran Mia Sofea, pelbagai aktiviti menarik dan persembahan juga turut diadakan di sekolah. Paling menarik ialah kemunculan dramatik Cikgu Amin yang secara tiba-tiba ketika namanya diumumkan sebagai pemenang Guru Paling Popular tahun ini. Sangat mengerujakan semua orang.
Kesemua hadirin akhirnya bergerak pulang. Dewan sekolah mula beransur lengang.
Namun masih ada pelajar dan guru tinggal di dalam dewan, berbual dan bergambar sesama mereka. Sebahagian daripada mereka cuba untuk mengambil gambar dengan Mia Sofea, malangnya Mia Sofea telah terlebih dahulu turun daripada pentas dan keluar daripada dewan diiringi oleh tuan pengetua Haji Kamarudin dan Puan Noraini sebentar tadi.
Di dalam dewan sekarang cuma tinggal beberapa orang guru, serta pelajar daripada persatuan pelajar dan pengawas sahaja yang bertugas mengemas kembali kerusi dan pentas dewan.
Amin turut ingin membantu mengemaskan dewan. Namun pelajar yang bertugas di situ tidak membenarkan Amin untuk membantu. Mereka ingin cikgunya itu berehat sahaja. Memahami kehendak pelajar mereka, Amin menurut. Dia kemudiannya duduk di sebuah sofa di tepi pentas sambil memerhatikan pelajarnya mengemaskan dewan.
Amin meninjau keadaan dewan yang semakin kosong itu. Perasaan melankolik mula menjentik. Dia kemudian menoleh ke arah pentas, teringat detik-detik dia berada bersama dengan Mia Sofea ketika di atas pentas tadi. Seakan tidak percaya dirinya bersama dengan Mia Sofea di hadapan orang ramai sebegitu.
Amin tersenyum sendirian.
Terasa lucu pula dengan pertemuan kali ini.
Amin menyandar kepalanya di sofa sambil memandang ke arah siling, memikirkan bila agaknya dirinya dapat bertemu dengan Mia Sofea lagi. Sedang Amin melayani fikiran, matanya terasa semakin berat dan berat...
Seketika kemudian, Amin terdengar dirinya dipanggil.
"Cikgu.."
"Cikgu Amin..."
"Cikgu...!"
Dengan perlahan Amin membuka matanya. Dia melihat Tengku Mikael berada di hadapannya.
"Hah? Ada apa ni?" dengan separuh mamai Amin bertanya kepada Tengku Mikael tersebut.
"Err..maaf cikgu. Kitorang dah siap kemas dewan ni. Nak kunci terus atau macammana cikgu?" Tengku Mikael bertanya.
"Eh? Dah siap? Laju betul?"
"Setengah jam lebih jugak cikgu."
"Setengah jam lebih?" Spontan Amin melihat jam tangannya. Sudah pukul tiga petang. Rupanya dah empat puluh minit berlalu. Amin tertidur dan tidak menyedari perkara ini.
"Aduh...saya tertidur rupanya. Tak apalah kamu kunci je dewan ni. Nanti kuncinya pass dekat pak guard depan," kata Amin selepas itu.
"Baik cikgu."
Amin kemudian keluar dari dewan untuk membolehkan pelajarnya mengunci kesemua pintu di dewan tersebut. Amin menuju ke surau sekolah untuk mengerjakan solat fardu Zohor.
Selesai sahaja mengerjakan solat, Amin termenung seketika. Dia masih lagi berasa amat letih dan mengantuk. Dia akhirnya mengambil keputusan untuk sambung tidur sahaja di surau tersebut. Sehelai sejadah diambil dan dilipat kemas menjadi bantal. Amin kemudiannya berbaring,meletakkan kepalanya di atas sejadah tersebut.
Dengan perlahan, Amin tenggelam dalam dunia tidurnya...
Pukul lima petang.
Amin terjaga. Terkejutnya dia bukan kepalang apabila melihat jam di dinding surau sudahpun menunjukkan pukul lima petang. Langsung tidak menyangka dirinya tidur selama itu. Fikirnya tadi lebih kurang setengah jam sahaja.
Tak apalah, Amin tidak mempedulikan hal itu. Yang penting badannya terasa segar sekarang. Amin kemudian menyeluk saku poketnya untuk mengambil telefon bimbit. Dia melihat skrin telefon bimbitnya...
Ah, rupa-rupanya telefon telah kehabisan bateri! Sejak bila telefonnya kehabisan bateri pun Amin tidak perasan. Patutlah dari tadi tak ada bunyi mesej atau call.
Apa-apalah..
Amin kemudiannya pergi mengambil wuduk untuk mengerjakan solat fardhu asar. Selesai solat, dia terus keluar daripada surau. Amin kini perlu memikirkan bagaimana cara untuk pulang ke rumahnya.
Motorsikalnya kehabisan minyak.
Telefonnya pula tiada bateri untuk meminta bantuan.
Pak guard!
Ya, Amin mengambil keputusan untuk meminta pertolongan daripada pengawal keselamatan sekolahnya. Dia kemudian bergegas pergi ke pondok pengawal yang terletak di pintu pagar utama sekolah itu.
Sepanjang berjalan menuju ke pondok pengawal keselamatan, Amin dapat melihat dan merasa suasana persekitaran sekolah yang tenang dan hening itu. Inilah kali pertama Amin merasa suasana sebegitu. Kebiasaannya pada waktu petang sebegini kawasan sekolah selalunya hiruk piruk dengan pelbagai aktiviti sukan dan unit beruniform.
Namun hari ini, kosong. Sunyi. Tiada orang, tiada pelajar. Hanya cahaya matahari petang sahaja dilihat melimpahi setiap sudut kawasan sekolah.
Entah mengapa, Amin berasa bertuah kerana dapat merasai suasana sebegini. Peluang untuk berada di dalam kawasan sekolah dalam suasana sebegini sebenarnya sangat jarang untuk didapati.
Amin terus melayani perasaan blues petangnya itu, sehinggalah dia tiba di pondok pengawal keselamatan sekolah.
"Assalamualaikum!"
Amin memberi salam. Namun salamnya tidak bersahut. Dengan perlahan, Amin menjenguk kepalanya melepasi pintu pondok untuk melihat ke dalam.
Kosong. Pondok pengawal keselamatan tiada orang.
Ah, sudah... Amin mula berasa bimbang. Harapan terakhirnya untuk pulang ke rumah mulai pudar. Amin sudahpun memikirkan kemungkinan dia akan menunggu sehingga malam untuk bertemu dengan pengawal keselamatan.
Amin termangu-mangu. Apa yang harus dia buat sekarang?
Daripada membazirkan masa sebegini, Amin akhirnya mengambil keputusan untuk berjalan-jalan di sekitar kawasan sekolah. Siapa tahu, mungkin dirinya akan terserempak dengan pengawal keselamatan yang sedang meronda?
Kaki Amin melangkah. Dia berjalan di segenap kawasan sekolah SMK Ibrahim Yaakub bermula dari bangunan pentadbiran yang menempatkan bilik guru, bilik mesyuarat dan pejabat pengetua, sehinggalah ke bangunan yang menempatkan kelas tingkatan lima dan makmal sekolah dan akhirnya kembali semula ke bangunan pentadbiran. Lengkap satu pusingan.
Malangnya, sebatang tubuh pun haram tak nampak!
Amin berasa agak kecewa. Langsung tak jumpa pengawal keselamatan di mana-mana. Dirinya kini sudah bersedia untuk menunggu pengawal keselamatan shif yang seterusnya untuk datang ke sekolah, walaupun mungkin sehingga menjengah malam.
Dengan langkah yang perlahan dan berat, Amin bergerak berjalan kembali ke pondok pengawal keselamatan.
Namun sebaik sahaja melintas di hadapan pejabat kaunseling, telinga Amin menangkap suatu bunyi seakan orang teresak-esak perlahan.
Ah, sudah..
Amin mula terasa seram. Dalam keadaan suasana sunyi petang menghampiri senja sebegini, siapa pula yang masih ada dalam kawasan sekolah ni?
Tiada pilihan, Amin terpaksa mencari di mana datangnya bunyi esakan yang perlahan itu. Ini juga merupakan tanggungjawabnya sebagai guru sekolah. Mana tahu, jika memang ada pelajar sekolah yang masih tinggal di sini dan mempunyai masalah peribadi atau apa. Sebagai seorang guru dia harus membantu.
Amin mula memasang telinga, mengenalpasti dari mana bunyi esakan perlahan datang.
Hmm...
Semakin Amin mendengar, semakin terasa ada sesuatu yang tidak kena. Sesuatu yang seperti dirinya pernah mengalami perkara ini sebelum ini...
YOU ARE READING
Isteri Paling Popular!
RomanceCover by: Canva Model: IG @sema.henna Amin adalah seorang guru sekolah menengah yang sukakan kehidupan yang aman, normal dan biasa. Namun segalanya berubah apabila dia dijodohkan dengan Mia Sofea, seorang artis wanita paling popular dan ternama..