Bab 23

1.2K 28 0
                                    

Yayat terduduk selepas membaca pesanan whatsapp ringkas daripada Mia Sofea,

[Aku jadi kahwin]

Dia mengeluh, justeru memegang kepalanya terasa semakin berat. Yayat yakin, hanya dirinya sahaja yang mengetahui betapa seriusnya perkara ini.

Perkahwinan Mia Sofea si artis paling popular dengan seorang lelaki biasanya sememangnya akan menggemparkan negara selepas ini!

Yayat berdiri semula. Dia memeluk tubuh sambil kepalanya ligat mencari penyelesaian.

Sebagai kawan, sememangnya Yayat berasa gembira dengan berita ini. Namun sebagai pengurus, berita ini adalah satu tragedi. Kerjaya Mia Sofea sebagai pelakon akan terjejas. Berkahwin ketika di kemuncak kerjaya akan menjatuhkan 'saham' populariti seseorang artis. Kalau berkahwin sesama artis atau VIP tak apalah jugak. Tetapi ini berkahwin dengan lelaki biasa. Mesti ramai peminat lelaki Mia Sofea akan kecewa nanti dan tidak lagi menyokong kerjaya Mia Sofea selepas ini.

Namun, apa lagi yang boleh Yayat lakukan? Semuanya sudah terjadi dan bakal terjadi.

Berkahwin..

Sebagai seorang lelaki bujang, Yayat sebenarnya tidak pernah terfikir akan perkara ini. Mungkin kerana personalitinya sebagai lelaki lembut telah mematikan mindanya daripada memikirkan perkara ini.

Secara jujurnya, Yayat sendiri tidak tahu. Adakah dia ni bernafsu terhadap lelaki, ataupun terhadap perempuan?Ataupun tidak pada mana-mana?

Yayat teringat ketika dia mula-mula menceburi bidang hiburan sewaktu ketika dahulu. Dia bermula sebagai seorang make up artist. Suatu hari sebuah produksi menawarkan jawatan pengurus lokasi kepada Yayat kerana kebolehannya dari segi komunikasi dan membina hubungan dengan orang lain. Setelah menjadi pengurus lokasi di beberapa set, Yayat ditawarkan pula menjadi pengurus para pelakon extra. Dan selepas itu dia menjadi pengurus peribadi kepada Liyana Amin, seorang pelakon wanita paling popular pada ketika itu.

Setelah dipecat oleh Liyana Amin kerana dikatakan terlalu mengawal, Yayat akhirnya bertemu dengan Mia Sofea dan menjadi pengurusnya sehinggalah sekarang.

Sepanjang penglibatan Yayat dalam bidang hiburan itu, kebanyakan kenalannya adalah daripada kaum wanita. Dia lebih selesa untuk bergaul dan bermesra dengan golongan wanita berbanding dengan lelaki..

Yayat memejam matanya.

Dia akhirnya mula terfikir kerana dirinya banyak bergaul dengan wanita, mungkin nafsunya itu lebih cenderung meminati lelaki. Kerana itu dia tidak pernah terfikir tentang berkahwin ini..

Eh?

Yayat menepuk dahinya. Apa yang dia sedang fikir ni? Bukankah dirinya tengah fikir pasal Mia Sofea?

Fikiran Yayat semakin berserabut. Dia akhirnya mengambil keputusan untuk keluar sebentar daripada pangsapurinya.

Yayat baru sahaja berpindah di sebuah pangsapuri mewah di Kuala Lumpur. Sebenarnya dia bukan suka sangat tinggal di tempat sebegini, leceh terpaksa turun naik lif. Yayat lebih gemar tinggal di rumah atas tanah. Namun kerana pangsapuri ini mempunyai kedudukan strategik yang memudahkan dirinya bergerak ke pelbagai tempat, Yayat terpaksa juga tinggal di sini.

Setelah seminit menunggu, pintu lif terbuka. Agak terkejut Yayat apabila melihat seorang gadis bertudung labuh turut berada di dalam lif tersebut.

Kerana pergaulan dan persekitarannya, bertemu dengan seseorang yang berimejkan islamik sememangnya sangat jarang untuk Yayat.

Dengan perasaan sedikit malu, Yayat memasuki lif dan berdiri dalam keadaan jarak dengan gadis bertudung labuh tersebut.

Pintu lif ditutup perlahan dan lif mula bergerak perlahan ke bawah.

Yayat memerhatikan gadis bertudung labuh itu dengan ekor matanya. Dia kelihatan agak muda, mungkin masih lagi belajar di universiti. Gadis bertudung labuh itu agak cantik juga. Sangat sejuk mata memandang.

Yayat terasa ingin menegur gadis bertudung labuh tersebut,

"Nak pergi mana?"
"buat apa kat sini?"
"Belajar kat mana?"

Namun hati Yayat berbolak balik samada ingin menegur, atau tidak. Inilah kali pertama Yayat menghadapi perasaan ini. Kebiasaannya dengan mulutnya yang petah itu kalau dia ingin menegur seseorang, dia menegur saja tanpa sebarang masalah.

Tapi kali ini, agak aneh...

Ah, Yayat akhirnya mengambil keputusan memberanikan dirinya untuk menegur. Dia membuka mulut untuk berbicara dan..

Ding!

Lif akhirnya sampai ke tingkat bawah. Pintu dibuka. Yayat sudah terlepas peluang. Dia terasa sangat bodoh.

Dengan langkah perlahan, dia keluar daripada lif tersebut dan diikuti oleh si gadis bertudung labuh. Yayat pergi ke sebelah kiri untuk turun ke kawasan parking, manakala si gadis bertudung labuh pergi ke sebelah kanan untuk terus keluar ke pintu utama.

Yayat sempat menoleh ke belakang bagi melihat gadis bertudung labuh itu. Ternyata dalam masa sama gadis bertudung labuh itu juga sedang menoleh kepada Yayat. Cepat-cepat Yayat mengalihkan pandangan dan terus mempercepatkan langkahnya.

Hati Yayat berdebar-debar. Malu punya rasanya tadi.

Tapi entah mengapa, dia terasa sangat seronok. Hatinya berbunga-bunga. Yayat berharap supaya dapat bertemu lagi dengan gadis bertudung labuh itu selepas ini...

Isteri Paling Popular!Where stories live. Discover now