Amin meletakkan telefon.
Baru sahaja tadi Yayat telah menelefonnya, mengajak untuk berbincang tentang gosip yang berlaku sekarang ke atas Mia Sofea.
Amin sebenarnya agak terkejut, melalui perbualannya dengan Yayat tadi ternyata bahawa Yayat juga tidak mengetahui akan isu perkahwinan Mia dengan Dato' Azman.
Bukan sahaja Yayat, bahkan ibunya Rugayyah juga tidak mengetahui akan hal ini. Rugayyah telahpun cuba untuk menelefon Hamidah namun panggilannya juga tidak diangkat.
Ingin juga Amin ingin cuba sendiri menelefon Mia Sofea, akan tetapi entah mengapa terasa seperti terhalang oleh sesuatu. Mungkin dirinya masih belum kuat untuk berhubung terus dengan Mia Sofea..
"Cikgu!"
Kedengaran suara Suzana menegur Amin dari belakang.
"Hah, Suzana? Dah nak balik dah? Sorang je ke? Mana Suhaina?" tanya Amin, memandang ke kiri kanan mencari Suhaina.
"Suhaina ada perjumpaan PBSM cikgu," jawab Suzana sambil memperbetulkan beg sekolah yang digalasnya.
"Oh, yalah. Abis tu kamu tak ikut? Bukan kamu pun PBSM jugak?"
"Saya ada kerja sikit cikgu hehehe."
"Aih? Kerja apa pulak ni? Kerja sekolah pun jarang buat ini kan pulak ada kerja?"
"Ala, cikgu ni! Ada lah kerja sikit. Saya pun nak cari makan jugak!" Suzana mencebik.
Amin ketawa besar kerana dapat mengusik anak muridnya itu. Suzana pun turut tersenyum selepas itu, memahami cikgunya itu hanya mengusik.
"Ibu kamu sekarang macammana?" tanya Amin selepas itu.
"Ibu saya sihat cikgu. Tapi cikgu tahulah, lepas accident tu ibu saya belum boleh jalan betul-betul lagi. Sekarang bertongkat lagi cikgu..." jawab Suzana.
"InsyaAllah. Bagi masa sikit lagi. Sekurang-kurangnya dah bertambah baik. Dulu kan langsung tak boleh jalan?"
"Yelah. InsyaAllah. Tapi itulah kadang-kadang bila sakit tu datang ibu langsung tak boleh gerak. Duduk je. Itu yang nasi lemak pun kadang-kadang jual, kadang-kadang tak..." Suzana menundukkan wajahnya. Kedengaran nadanya yang sedikit hiba.
Amin hanya terdiam. Memahami apa yang terbuku di hati anak muridnya itu.
"Ah, tapi tak apa cikgu!" Suzana kembali ceria. "Saya punya kerja yang sekarang ni pun sebenarnya dah cukup dah tampung keluarga saya hehehe," sambungnya lagi.
"Alhamdulillah. Kalau kamu perlukan apa-apa bantuan kamu bagitau je cikgu, OK?" kata Amin.
"Err... cikgu?"
"Apa?"
"Cikgu tak nak tahu ke apa kerja saya sebenarnya?"
"Alah. Itu hari kan saya dah tanya, tapi kamu tak mau jawab? Kenapa? Dah sedia nak bagitau cikgu?"
"Eh, tak adalah cikgu hehehe. Saya tak sedia lagi lah nak bagitau. Tapi cikgu jangan risau! Saya tak buat kerja haram cikgu. Ni memang kerja halal punya!"
Amin tersenyum.
"Suzana, jangan bimbang. Cikgu percayakan kamu. Cikgu tahu kamu tak kan buat kerja-kerja buruk kat luar sana. Kamu mesti ada sebab kenapa tak nak bagitau cikgu pasal kerja kamu. Tapi tak apa, cikgu bagi ruang kat kamu. Cikgu yakin mesti kamu bagitau jugak nanti kat cikgu, kan?"
Suzana mengangguk sambil tersenyum.
"Mesti cikgu! Suatu hari nanti saya bila saya dah sedia saya akan bagitau kat cikgu apa kerja saya buat!"
"InsyaAllah..." Amin tersenyum.
"InsyaAllah, cikgu...!" Suzana membalas senyuman Amin.
******
Suzana akhirnya tiba di rumahnya dari sekolah dengan berbasikal. Basikalnya itu diletakkan berhampiran dengan tangga rumahnya.
Rumah Suzana kecil sahaja. Ia adalah rumah kayu bertiang yang diwarisi daripada arwah datuk dan neneknya. Jelas sekali apabila dipandang itu adalah rumah yang lama tanpa sebarang pembaharuan cat atau renovasi dilakukan.
Ibu Suzana hanyalah berkerja sendiri dengan membuat nasi lemak dan menghantarnya ke warung-warung sekitar kampung. Ayahnya pula hilang entah ke mana tanpa sebarang berita sejak lima tahun yang lalu. Kononnya ingin mencari kerja di bandar, tapi akhirnya menghilangkan diri dengan semua pakaiannya sekali termasuklah rantai emas milik keluarga turun temurun ibunya.
Suzana malas untuk mengambil tahu akan hidup mati ayahnya. Ayahnya itu memang terkenal dengan gelaran biawak hidup sewaktu ketika dahulu. Hanya tahu duduk sahaja di rumah langsung tidak bekerja. Kerana sikap ayahnya itulah yang menjadikan keluarga Suzana porak peranda yang akhirnya mendorong Suzana menjadi seorang pelajar yang nakal.
Mujurlah Suzana dipertemukan dengan Amin. Amin sebagai guru kelasnya itu telah membantu dan membawa Suzana kembali ke jalan yang sebenarnya. Amin juga banyak memberi sumbangan peribadi kepada Suzana demi persekolahannya, termasuklah sebuah komputer riba yang kini digunakan oleh Suzana untuk membuat kerja sambilannya sebagai wartawan hiburan.
Suzana membuka komputer riba pemberian Amin tersebut dan menekan suis ON. Sementara menunggu komputer ribanya itu terpasang sepenuhnya, Suzana memandang ke arah luar tingkap biliknya yang kelihatan padanya sepohon pokok bunga ros yang ditanamnya sejak dari kecil lagi.
Seperti ibunya, Suzana juga suka akan penanaman pokok bunga. Segala jenis pokok bunga telah ditanam di sekitar rumahnya. Ada pokok bunga kertas, ada pokok bunga jejarum, pokok bunga kenanga dan kegemaran Suzana, pokok bunga ros.
Atas dasar itulah, Suzana memilih nama "Si Gadis Bunga" sebagai nama penanya dalam bidang kewartawanan hiburan ini. Tanpa disangka, nama tersebut semakin dikenali dan dikenali sehinggalah Suzana atau "Si Gadis Bunga" ini dikenali sebagai wartawan hiburan nombor 1 di Malaysia.
YOU ARE READING
Isteri Paling Popular!
RomanceCover by: Canva Model: IG @sema.henna Amin adalah seorang guru sekolah menengah yang sukakan kehidupan yang aman, normal dan biasa. Namun segalanya berubah apabila dia dijodohkan dengan Mia Sofea, seorang artis wanita paling popular dan ternama..