Selepas hampir setengah jam berbual di kantin sekolah itu, Yayat akhirnya mengambil keputusan untuk pulang.
Sebagai kata-kata terakhir Amin memberitahu Yayat,
"Yat, kalau kau tak setuju aku kahwin dengan Mia aku tak marah pun sebenar ya. Aku faham kedudukan kau sebagai manager Mia. Kau perlu jaga populariti dia, reputasi dia. Cumanya aku harap kau carilah calon suami yang betul-betul baik untuk Mia. Yang boleh jaga Mia..kalau-kalau makcik Hamidah dah tak ada lepas ni.."
Yayat mengangguk perlahan.
"Yalah... Tengok lah macammana..." jawab Yayat ringkas. Dia kemudiannya mengundurkan diri dari situ meninggalkan Amin.
Ketika berjalan pulang, banyak perkara yang sedang bermain di fikiran Yayat. Tentang sakit kanser makcik Hamidah, tentang perkahwinan Mia yang nampaknya tidak boleh dielak, bagaimana kehidupan Mia selepas ini, calon suami yang sempurna untuk Mia dan sebagainya...
Calon suami sempurna...
Yayat mula terfikir. Adakah patut dia mencari calon suami yang lain untuk Mia Sofea? Kalau dah alang-alang Mia Sofea tetap akan berkahwin, lebih baik Mia berkahwin dengan orang lain. Seseorang yang bukan sahaja lebih baik, malahan sama padan dan sama popular demi mengekalkan reputasi Mia Sofea sebagai artis paling popular.
Bukan orang biasa dan kebanyakan seperti Amin itu.
Ada beberapa individu yang terlintas di fikiran Yayat yang boleh menjadi suami kepada Mia Sofea. Seperti Ustaz Syed Hadhari, penceramah kacak yang sedang popular di youtube dan TikTok sekarang. Atau Daie Hanif Hanafi, pemenang program realiti keagamaan tahun lepas. Tuan Zarief Mikael, dermawan muda anak kepada Dato Tuan Haikal pemilik empayar Maju Holdings. Ataupun Bro Yazeed, pengasas NGO Tenaga Muda yang juga terkenal dengan kerja-kerja kemanusiaan di Palestin.
Mungkin Hamidah tidak bersetuju dengan keputusannya untuk mencari calon suami yang lain untuk Mia Sofea. Namun, Yayat berazam untuk berbincang baik-baik dengan Hamidah tentang perkara ini. Kerana ini adalah demi kebaikan Mia Sofea juga.
Dada Yayat berasa sebak lagi sebaik sahaja dia teringatkan Hamidah.
Di sebalik sifat suka bergurau dan suka mengusik yang ditunjukkan oleh Hamidah, Yayat sama sekali tidak menyangka bahawa Hamidah sedang ditimpa sakit kanser.
Bagi Yayat, Hamidah bukan setakat novelis yang digemari, atau bukan setakat ibu kepada Mia Sofea sahaja. Malahan, lebih daripada itu. Sebagai seseorang yang membesar tanpa kasih sayang seorang ibu ataupun bapa, Yayat seringkali menganggap Hamidah sebagai ibunya sendiri..
*****
"Mak, kenalkan. Inilah pengurus Mia.." Mia Sofea memperkenalkan Yayat kepada Hamidah buat kali pertama ketika perjumpaan mereka di sebuah restoren.
"Aih? Pengurus? Baru berlakon sikit dah ada pengurus?" Hamidah berseloroh. Yayat pula kelihatan malu-malu.
"Of course...I kan diva.." Mia Sofea membalas. Mereka sama-sama ketawa selepas itu.
Hamidah memandang ke arah Yayat.
"Ini, namanya siapa?" tanya Hamidah sambil tersenyum.
"S-saya Yayat. Panggil je Yayat.." jawab Yayat. Sedikit gugup.
"Nama kau Yayat?"
"Nama panggilan saya makcik.."
"Ish. Tak manis perkenalkan diri dengan nama panggilan. Bagitau la nama sebenar.." Hamidah menegur, namun masih dengan nada yang lembut.
"Err... Hidayat. Nama saya Muhammad Hidayat. Panggil Yayat.." Yayat memberitahu.
"Haa...macam tulah. Kena bangga dengan nama sendiri. Kan mak ayah yang bagi nama tu. Betul tak?" Hamidah tersenyum.
"Haha. Tak tahu saya makcik.. Yayat ni dari kecik yatim piatu. Tak tahu la kalau mak ayah yayat yang bagi nama tu hehehe," Yayat cuba berseloroh dengan niat menceriakan suasana seperti yang dilakukan Mia Sofea dan Hamidah tadi. Namun, lain pula jadinya apabila Hamidah dan Mia Sofea menunjukkan riak wajah yang sedih.
Hamidah dan Mia Sofea saling berpandangan. Manakala Yayat sedikit keliru -kenapa mereka tiba-tiba sedih ni?
"Yayat tak ada mak ayah ke?" Hamidah sekali lagi bertanya. Sesekali dia memandang ke arah Mia Sofea. Kelihatannya Mia Sofea turut pertama kali mengetahui perkara ini.
"Ha'ah. Tak ada. Yayat dari kecik tinggal dengan atok nenek. Siapa mak ayah Yayat pun Yayat tak tahu.." jawab Yayat sambil mengangkat dagunya.
Sekali lagi Hamidah dan Mia Sofea berasa sedih.
"Ala, makcik dengan Mia tak payah la sedih-sedih. Tak ada apa pun. Lagipun atok dengan nenek Yayat ada lagi. Sihat lagi kat kampung..." Yayat memberitahu. Dirinya berasa sedikit serba salah kerana membuatkan Hamidah dan Mia Sofea bersedih dengan latar belakang hidupnya.
"Alhamdulillah.." Hamidah tersenyum. "Sekarang ni Yayat dah jadi pengurus Mia, dah jadi orang yang dekat dengan Mia, Yayat anggaplah makcik ni macam ahli keluarga sendiri ya? Kalau ada apa-apa masalah bagitau je makcik ya Yat?" kata Hamidah lagi.
Seakan ada sesuatu yang menusuk hati Yayat dengan kata-kata Hamidah itu. Mungkin kerana ini adalah kali pertama Yayat menerima perhatian daripada seseorang yang berpangkat ibu.
Air mata Yayat sedikit bergenang.
"Baiklah makcik..terima kasih.." Yayat tersenyum. Dia kemudiannya mengelap matanya yang mula bertakung air mata dengan jarinya.
Hamidah dan Mia Sofea melihat Yayat sambil tersenyum.
****
Yayat mengimbas kembali pertemuan kali pertamanya dengan Hamidah. Ya, baru pertama kali bertemu Hamidah sudahpun menerima Yayat sebagai keluarganya.
Kerana itu, jauh di sudut hati Yayat dia berasa sedikit kecewa sebenarnya. Kenapa Hamidah tidak memberitahu tentang sakit kanser itu kepada dirinya sendiri? Kenapa hanya diberitahu kepada Amin?
Sejauh mana kepercayaan Hamidah kepada Amin sebenarnya? Sehingga membuatkan Hamidah bukan sahaja memilih Amin menjadi menantu, malahan memberitahunya tentang sakit kanser itu.
Yayat berhenti berjalan.
Dia berpaling ke belakang, ke arah kantin sekolah tempat pertemuannya dengan Amin tadi. Nampaknya Amin masih berada di situ. Dia dikelilingi oleh pelajarnya. Mereka kelihatan sedang seronok bersembang dan ketawa bersama.
Terdetik di hati Yayat. Nampaknya Amin ni seorang guru yang baik. Kerana itu Amin masih lagi ditegur dan bersembang dengan para pelajarnya, walaupun di luar waktu persekolahan.
Bukan itu sahaja. Bila difikirkan kembali, Amin juga sanggup berkorban untuk tidak berkahwin dengan Mia Sofea demi kebaikan kerjaya Mia. Kalau lelaki biasa, mati-mati mereka nak jugak kahwin dengan Mia Sofea walau apa jua keadaan. Mesti punya!
Minda Yayat kosong seketika...
Dia memerhatikan suasana hening di dalam sekolah pada ketika itu. Kebanyakan pelajar sudahpun pulang ke rumah masing-masing. Hanya kelihatan beberapa kerat sahaja pelajar yang masih berjalan ke sana dan kemari. Ada juga yang sedang bersembang di koridor, bergelak ketawa sesama mereka selepas penat menghadapi sesi persekolahan untuk hari ini.
Suasana aman dan tenang mula terasa. Ditambah lagi dengan angin petang lembut yang meniup menyejukkan badan yang panas dari bahang matahari. Yayat mula terkenang zaman persekolahannya. Zaman tersebut sebenarnya sangat indah bila difikirkan. Ramai kawan-kawan dan guru-guru melayani dirinya dengan baik sekali pada masa itu. Itu juga antara faktor kenapa Yayat tidak mempunyai masalah dalam kehidupannya walaupun dia membesar tanpa ibu dan bapa.
Melihat bagaimana Amin disukai dan digemari oleh pelajarnya, Yayat percaya Amin juga sememangnya mempunyai ciri-ciri seorang guru yang baik, yang tahu mendidik, mengawal dan menjaga para pelajarnya.
Memang..memang sangat sesuai jika dipadankan dengan Mia Sofea yang bersifat seakan-akan tomboy dan kasar itu. Hanya orang yang ada sifat sabar dan tahu mendidik sahaja yang boleh menghadapi sikap Mia yang seumpama itu.
Huh... Yayat menyedari, dia telah membuat kesilapan. Dia tidak seharusnya memikirkan reputasi dan kerjaya Mia Sofea sahaja. Dia juga harus memikirkan hidup Mia, atau lebih tepat kebahagiaan hidup Mia Sofea secara keseluruhan..
Hamidah membuat keputusan yang baik.
Bagi Yayat, Amin sememangnya layak untuk menjadi suami kepada Mia Sofea.
YOU ARE READING
Isteri Paling Popular!
RomanceCover by: Canva Model: IG @sema.henna Amin adalah seorang guru sekolah menengah yang sukakan kehidupan yang aman, normal dan biasa. Namun segalanya berubah apabila dia dijodohkan dengan Mia Sofea, seorang artis wanita paling popular dan ternama..