Ustazah Husna memerhatikan Amin dari tadi.
Jelas, mata Amin memandang ke arah Mia Sofea seolah-olah sang teruna memandang kekasih hatinya.
Dan, begitu juga dengan Mia Sofea. Dari tadinya Ustazah Husna melihat mata Mia Sofea mencuri-curi pandang ke arah Amin. Orang lain mungkin tidak perasan. Namun sebagai seseorang yang juga sedang jatuh hati kepada Amin, dia amat menyedari dan memahami perbuatan Mia Sofea itu.
Gerak hati Ustazah Husna seakan memberitahu sesuatu. Adakah Amin dan Mia Sofea saling menyukai dan sebenarnya bercinta?
Wajah Ustazah Husna berkerut sendirian memikirkan perkara yang agak mengelirukan ini.
Jika diikutkan gerak hatinya sebagai seorang wanita, begitulah. Tapi logik akal tidak semacam itu pula.
Bagi Ustazah Husna, jika Amin dan Mia Sofea sudah saling mengenali tak mungkin Amin sanggup pergi ke program Hari Guru peringkat negeri di Shah Alam tersebut. Dan sudah tentu Amin mengetahui dari awal lagi tentang kedatangan Mia Sofea ke sekolah ini.
Aish, pening memikirkannya..
Ustazah Husna tidak menjumpai jawapan untuk perkara ini. Namun jika dilihat dengan cara mereka memandang satu sama lain, tidak mustahil jika dikatakan mereka mempunyai hubungan.
Adalah Amin dan Mia Sofea saling jatuh cinta pandang pertama?
Atau kenalan dari sekolah yang sudah lama tidak bertemu?
Atau pasangan yang sedang bercinta jarak jauh secara rahsia?
Entah. Tapi bagi Ustazah Husna apa yang pasti, mata Amin itu tidak terarah atau tidak memandang ke arah dirinya.
Perasaan hiba mula menimpa diri Ustazah Husna. Segala perbuatannya selama ini yang cuba mendekati Amin ternyata tidak membuahkan sebarang hasil. Amin langsung tidak memandang ke arahnya.
Cubaannya untuk bersama dengan Amin ketika di program Hari Guru peringkat negeri di Shah Alam itu bukanlah cubaannya yang pertama. Sudah banyak kali dia merancang aktiviti di sekolahnya untuk membolehkan dirinya bersama dengan Amin. Ustazah Husna sanggup mengambil kursus kejurulatihan sukan bola jaring bagi melayakkan dirinya menjadi jurulatih pasukan bola jaring sekolah yang diuruskan oleh Amin itu. Ustazah Husna juga sanggup balik lambat dari sekolah pada setiap hari walaupun kelasnya sudah lama tamat, supaya dia sentiasa 'terserempak' dengan Amin di pintu pagar sekolah.
Semua ini dilakukan supaya Amin dapat menyedari kehadirannya. Bagi Ustazah Husna dia harus mendapatkan cinta Amin, kerana Amin adalah merupakan lelaki idaman yang diimpikan oleh Ustazah Husna selama ini.
Sebagai seseorang yang berlatarkan pendidikan agama, diri Ustazah Husna tidak lari dari mengimpikan seorang lelaki yang berlatarkan islamik juga untuk menjadi pasangan dirinya. Namun selepas sekian lama berjumpa dengan pelbagai 'lelaki islamik', Ustazah Husna akhirnya menyedari bahawa kesemua daripada mereka hanyalah kepuraan semata-mata.
Ketika belajar di sekolah menengah agama di pantai timur, Ustazah Husna pernah didekati oleh seorang pelajar lelaki yang dikatakan anak kepada seorang ulama yang terkenal. Ustazah Husna menerima cinta pelajar lelaki itu. Pada sangkaannya, cinta mereka akan berlangsung seperti cinta islamik seperti tiada berduaan, tiada berpegangan tangan dan sebagainya. Namun sangkaannya musnah apabila pelajar lelaki itu sering kali cuba mengajaknya keluar berduaan pada waktu malam. Ustazah Husna sangat curiga dengan perlakuan pelajar lelaki yang langsung tidak kena dengan imej itu. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk meninggalkan lelaki tersebut.
Perkara yang sama juga terjadi ketika dirinya belajar di matrikulasi dan di universiti. Ustazah Husna sering didekati oleh lelaki yang berimej islamik yang pada akhirnya semua itu hanyalah sekadar imej semata-mata. Pada luarannya kelihatan mereka seperti memakai kopiah, pergi ke surau dan sering menyertai program bertemakan islam. Namun hakikatnya apabila bercinta dengan mereka, mereka sama sahaja seperti lelaki yang lain. Mereka cuba mengajak dirinya keluar berduaan, cuba berpegangan tangan dan sering menelefonnya pada larut malam berbual perkara yang kosong tidak berfaedah.
Pada masa itu Ustazah Husna mula terfikir. Adakah wujud lelaki islamik yang sebenarnya? Atau mereka semua tu hipokrit, sekadar memegang imej islamik di luaran semata-mata?
Pertanyaan Ustazah Husna ini akhirnya terjawab apabila dia melihat bekas kekasihnya ketika di zaman sekolah dahulu menjadi penceramah jemputan untuk sebuah program televisyen. Pada masa itu bekas kekasihnya itu sedang berbicara tentang tajuk 'bahana cinta zaman remaja'.
Ustazah Husna mendengar dengan telinganya sendiri bagaimana bekas kekasihnya itu bercerita tentang keburukan bercinta zaman remaja, seolah-olah dia tak pernah bercinta sebelum ini.
Sangat hipokrit...
Yang paling melukakan hatinya adalah ketika mana bekas kekasihnya itu bercerita kononnya ada seorang perempuan berusaha untuk mengambil hatinya ketika di zaman sekolah. Dan dia dikatakan menolak cinta perempuan itu kerana tidak mahu bercinta.
Bagi Ustazah Husna ini adalah sangat-sangat hipokrit!
Bermula pada itu, Ustazah Husna tidak lagi mempercayai mana-mana lelaki. Ibubapanya pernah cuba untuk menjodohkan Ustazah Husna dengan seorang imam masjid muda berkelulusan Al-Azhar, anak kenalan bapanya, namun Ustazah Husna menolak mentah-mentah.
Ini kerana setiap kali dia melihat lelaki yang mempunyai perwatakan islamik, timbul rasa curiga dan fobia dalam hati Ustazah Husna. Namun apabila melihat lelaki berpakaian biasa, dia merasakan lelaki itu terlampau normal dan tidak memenuhi kehendaknya pula.
Atas sebab itu, hati Ustazah Husna tertutup untuk mana-mana lelaki buat beberapa tahun, sehinggalah dia mengenali Amin.
Kali pertama dia bertemu dengan Amin adalah ketika di kursus guru praktikal yang diadakan di Kuala Lumpur. Amin adalah salah seorang guru praktikal lelaki yang sama kumpulan dengannya. Pada ketika itu, Ustazah Husna memandang Amin sebagai lelaki yang biasa sahaja, tiada apa-apa keistimewaan. Namun selepas sekian lama Ustazah Husna bersama dengan Amin, dia mula menyedari kebaikan yang ada pada diri Amin.
Ini termasuklah menjaga solat, menjaga sentuhan dengan guru wanita lain, sering menelefon ibunya, melayan orang di sekelilingnya dengan baik dan sebagainya.
Pada saat itu, Ustazah Husna mula menyedari kesilapannya. Dia tidak seharusnya menilai seseorang lelaki berdasarkan pakaian dan keterampilan semata-mata. Ustazah Husna berasa sangat berterima kasih kepada Amin kerana menyedarkannya mengenai perkara ini.
Selesai sahaja kursus untuk guru praktikal tersebut, Ustazah Husna kemudiannya berpisah dengan Amin. Dia kembali bertemu dengan Amin beberapa bulan kemudian apabila mereka ditugaskan untuk mengajar di sekolah yang sama, iaitu SMK Ibrahim Yaakub ini.
Bermula daripada itu, Ustazah Husna terus memerhatikan Amin kerana kagum akan keperibadiannya walaupun Amin bukanlah seorang ustaz. Lama-kelamaan, rasa kagum itu bertukar menjadi cinta. Ustazah Husna akhirnya menaruh perasaan terhadap Amin.
Di dalam dewan SMK Ibrahim Yaakub yang dipenuhi dengan pelajar dan guru ini, Ustazah Husna melayani perasaannya sendiri.
Ustazah Husna menanyakan dirinya sendiri,
Apakah harus dirinya berhenti sahaja daripada mendapatkan cinta Amin?
YOU ARE READING
Isteri Paling Popular!
RomanceCover by: Canva Model: IG @sema.henna Amin adalah seorang guru sekolah menengah yang sukakan kehidupan yang aman, normal dan biasa. Namun segalanya berubah apabila dia dijodohkan dengan Mia Sofea, seorang artis wanita paling popular dan ternama..