16 Mei
Hari GuruAmin bersiap-siap keluar dari rumahnya untuk pergi ke Dewan Shah Alam sempena sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Selangor.
"Bawak balik anugerah lagi ke tahun ni?" Rugayyah mengusik Amin yang sedang memakai kasutnya itu. Rugayyah merujuk kepada anugerah guru popular yang sering dimenangi oleh Amin setiap tahun.
"Ish. Tak tahulah ma. Amin ni pun sebenarnya tak pergi sekolah mak. Amin pergi Shah Alam. Sambut hari guru kat sana.." jawab Amin, berdiri selepas selesai menyarungkan kasut.
"Hari Guru apa pulak kat sana?"
"Hari Guru peringkat negeri. Setiap sekolah sekurang-kurangnya dua wakil..."
"Amin yang pergi sana?"
"Dah tak ada cikgu lain sanggup nak pergi ma. Jadi Amin la yang pergi."
"Tapi, kalau Amin menang anugerah lagi tahun ni siapa yang ambik?"
Amin tersentak sekejab. Eh, sama pulak soalan mama ni dengan Haji Kamarudin?
"Anugerah tu biasanya buat tengahari ma. Yang kat Shah Alam ni pagi je insyaAllah Amin sempat la balik.." jelas Amin.
"Tapi hairan jugak eh. Sampai takde cikgu yang sanggup nak pergi. Sampai Amin pulak yang kena pergi..."
"Entah lah ma. Takpelah tu..." Amin kemudian menghulurkan tangan bersalam dengan Rugayyah. Dia kemudiannya bergerak menuju ke motorsikalnya.
"Pakai motor ke min? Tak pakai kereta?" tanya Rugayyah.
"Motor je mak. Senang sikit nak gerak balik nanti. Pakai kereta takut payah nak keluar nanti. Mesti parking sesak hari ni," jawab Amin.
Rugayyah mengangguk faham. Setelah memesan Amin supaya berhati-hati, Rugayyah kemudian kembali masuk ke dalam rumah.
Sementara menunggu enjin motorsikalnya panas, barulah Amin mula terfikir kata-kata ibunya tadi,
Kenapa sampai tak ada cikgu lain nak pergi sambutan Hari Guru peringkat Negeri tu? Padahal ada je yang tinggal berdekatan? Kenapa semuanya nak sambut di sekolah? Apa yang istimewanya Hari Guru di sekolah tahun ni?
Kesibukan Amin sepanjang minggu di sekolah membuatkan Amin terlepas pandang daripada memikirkan perkara ini. Bahkan, Amin juga tidak mengetahui siapakah guru seorang lagi yang bersamanya nanti menyambut Hari Guru Peringkat Negeri di Shah Alam.
Ah, Amin enggan memikirkannya lagi. Dia terus membonceng motosikalnya dan bergerak keluar dari rumah menuju ke Shah Alam.
*******
"Aku tak percaya betul kau ni Mia. Dalam banyak-banyak sekolah yang jemput kau pergi Hari Guru, kau pergi sekolah biasa apa nama tu SMK Ibrahim Yaakub? Full day pulak tu?" Yayat meluahkan rasa tak puas hatinya.
Ketika ini Mia Sofea dan Yayat dalam perjalanan pergi ke SMK Ibrahim Yaakub bagi menghadiri jemputan Hari Guru di sana untuk sepanjang hari. Kak Mastura juga ada bersama sebagai pemandu dan bodyguard tetap.
"Kenapa? Ada masalah?" tanya Mia tersenyum sinis.
"Takde lah... Yelah yang jemput kau tahun ni ada sekolah elit, sekolah antarabangsa, segala sekolah sains bagai tu alih-alih kau pilih nak pergi sekolah harian SMK Ibrahim Yaakub ni. Full day. Kalau setakat sejam dua lepas tu gilir-gilir pegi sekolah lain tak apa la jugak.." kata Yayat.
"Sukahati aku laa..." jawab Mia Sofea bersahaja sambil mengalihkan pandangannya ke luar tingkap.
Yayat mendengus kegeraman. Dia yakin Mia Sofea menyembunyikan sesuatu daripadanya. Enggan melayani Mia Sofea lagi, Yayat mengeluarkan telefon dan terus bermain dengan telefonnya.
Manakala Mia Sofea terus memandang ke arah luar tingkap. Melayani perasaannya sendiri. Ketika itu kenderaan vellfire mereka berhenti di lampu isyarat merah di simpang empat.
Sedang asyik memandang ke luar tingkap, sebuah motorsikal tiba-tiba datang dan berhenti betul-betul di sebelah tingkap Mia Sofea.
Eh?
Mia Sofea terkejut!
Penunggang motorsikal itu adalah Amin!
Mia Sofea berpaling ke arah Yayat. Kelihatan Yayat sedang asyik bermain dengan telefonnya tidak menyedari apa yang berlaku. Begitu juga dengan Kak Mastura yang sedang fokus melihat pada lampu isyarat.
Mia Sofea tiba-tiba cemas. Fikirannya tidak menentu. Dia berada dalam dunianya sendiri. Mia Sofea tahu Amin tidak dapat melihatnya kerana cermin gelap. Mia Sofea membuka mulut, terasa ingin memanggil Amin namun sesaat kemudian, lampu isyarat bertukar hijau dan Amin terus membawa motorsikalnya berlalu dari situ.
Mia Sofea hanya mampu memandang. Dia melihat Amin menunggang motosikal terus ke hadapan. Dia kemudiannya menyandar ke kerusi dan melepaskan keluhan berat. Terasa seperti baru sahaja terlepas suatu peluang keemasan.
"Kenapa Mia?" Yayat berpaling dan menegur Mia Sofea.
"Tak ada apa..." jawab Mia Sofea ringkas.
Memikirkan mereka juga akan pergi ke arah yang sama, Mia Sofea enggan memikirkan perkara itu lagi.
Yayat menganggukkan kepalanya, sambung bermain telefon.
Kenderaan vellfire yang dipandu oleh Kak Mastura itu secara tiba-tiba bergerak masuk ke simpang sebelah kanan. Mia Sofea menjadi hairan. Eh? Ini arah yang berbeza dengan Amin tadi? Amin tadinya bukan ke bergerak terus ke depan?
"Err, Kak Mas. Sekolah SMK Ibrahim Yaakub tu betul ke sini?" Mia Sofea bertanyakan Kak Mastura meminta kepastian.
"Hmm? Kalau ikutkan maps betul la sini cik Mia?" jawab Kak Mastura, hairan dengan soalan tersebut. Jari telunjuknya menunjuk ke arah aplikasi google maps di skrin tablet kenderaan.
"Oh, okey la..." Mia Sofea tersenyum. Fikirannya keliru. Sangkaan awalnya tadi Amin turut bergerak pergi ke sekolah. Adakah Amin pergi ke tempat lain? Atau dirinya yang tersilap sekolah?
YOU ARE READING
Isteri Paling Popular!
RomanceCover by: Canva Model: IG @sema.henna Amin adalah seorang guru sekolah menengah yang sukakan kehidupan yang aman, normal dan biasa. Namun segalanya berubah apabila dia dijodohkan dengan Mia Sofea, seorang artis wanita paling popular dan ternama..