MEDINA hanya terdiam kaku duduk disebelah mamanya yang asyik berbual dengan Aunty Safa. Sikit pun senyuman tidak terlakar diwajahnya walaupun sudah berkali-kali dijegil mata garang si ibu.
"Dina memang minat business lah ya?" Soal Aunty Safa. Buat kesekian kalinya, Dina tiada hati untuk balas. Protes. Ya, dia memang kurang ajar.
"Dina, aunty tanya tu kan?" Pandangan sang ibu dibalas sebelum dia pula menjelingkan mata.
"Nope" balas Dina jujur. Kalau nak dia berhujah tentang paksaan mamanya untuk dia ambil kursus perniagaan di universiti juga tiada masalah tapi buang masa. Dia tetap kena hadap kursus itu.
"Dina!"
"I'm sorry, I need to go now" balas Dina sebelum bangkit dan keluar dari restoran tanpa sedikit pun toleh ke belakang. Bukan sekali dua dia buat benda gila macam ni, dah banyak kali. Dia yakin yang Aunty Safa juga dah lali dengan perangainya.
Pasti mamanya akan mengamuk lagi balik nanti. Itulah benda yang selalu dia terima. Amarah. Mengenangkan hal ini sahaja, air mata Dina menitik. Dia tahu dia sangat tak matang bila gunakan cara bodoh begini untuk mendapatkan perhatian orang tuanya.
Tapi tak ada cara lain. Apa sahaja yang dia tak buat? Dia dah lakukan macam-macam. Dia anak yang kekurangan kasih sayang. Dek sibuk kejarkan harta dunia dia diabaikan dua pasang suami isteri yang dikenali sebagai pasangan bahagia dimata dunia bisnesnya. Siapa yang lihat pasangan ini, pasti cemburu.
Bukan itu sahaja, mereka juga adalah ibu bapa yang sangat baik dihadapan mata rakan mereka. Siapa yang lihat, turut cemburu dengan kehidupan Dina. Serba lengkap dan mewah dari hujung rambut ke hujung kaki.
Namun yang ada disebaliknya? Dina tiada apa-apa. Hidup dia kosong. Dia sendirian.
Dia bencikan semua ini. Apa gunanya ada banyak harta tapi tiada sedikit pun waktu untuk bersama? Apa guna ada hidup yang serba mewah dan lengkap tapi hidupnya sendiri. Dina sendiri lupa bagaimana rasanya waktu bila ada keluarga.
Seketika, air mata dikesat dan tangan digagaukan ke dalam beg untuk mencari telefon bimbit. Telefon diletakkan di telinga.
Sementara menunggu pemandu keluarganya menjawab panggilan, Dina melilaukan mata kearah pintu masuk restoran. Lihatlah, dia pergi pun mamanya tak peduli. Masih kekal didalam sana.
"Abang Yusuf, ambil Dina sekarang" arah Dina. Selepas itu, panggilan dimatikan dan lokasi dikirimkan kepada Abang Yusuf.
•••
Sembilan jam berlalu, Dina bangkit dari duduknya dan bergerak ke muka pintu. Masih menanti dan mengharapkan mamanya pulang dan memarahi dia. Telefonnya juga sunyi dari tadi, tiada mesej atau panggilan dari kedua orang tuanya. Dina tersenyum sinis, sibuk sangat nampaknya.
"Dina, kenapa tak makan lagi ni?" Soal Kak Sara, pembantu rumah.
"Dina tunggu papa dengan mama. Kenapa tak balik lagi?" Soal Dina. Mengharapkan jawapan berbeza dari jawapan-jawapan sebelum ini.
"Oh... papa bagitahu tadi, malam ni mungkin diaorang tak balik. Ada event nak kena pergi. Papa pesan lagi supaya pastikan Dina makan"
Kecewa.
Dina mengeluh berat mendengar jawapan itu. Benci. Jadi, apa yang dia tunggukan dari tadi sebenarnya?
"Makan jom?" Ajak Kak Sara.
"Tak ada selera" tanpa menunggu lama, dia terus panjat tangga dan masuk ke biliknya.
Telefon bimbit dicampakkan keatas katil sebelum dirinya pula direbahkan. Jantungnya berdegup laju. Ada dua perasaan yang sedang berperang sesama sendiri – amarah dan sedih.
Makin lama, satunya semakin berkuasa dan berkuasa. Amarah. Rahangnya diketap dan mata dipejamkan erat.