DINA BUKA MATA dengan drastik apabila muncul wajah papa sedang tersenyum memandang dia. Mimpi.
Sekeliling sudah bertukar gelap. Agak lama dia tidur memandangkan dia tiba di rumah ini tadi sebelum waktu asar. Sekarang, waktu sudah berganjak ke malam.
Dina bangkit dari sofa dengan laju. Tangannya meraba-raba sofa tempat dia tertidur tadi untuk mencari telefon. Tiada. Makin sukar pencarian bila suasana sangat gelap.
Jantungnya juga berdegup laju dengan keadaan itu. Dia mula teringatkan memori rumah ini pernah dipecah masuk oleh pencuri. Sudahlah dia sendirian.
Prakkk!
Entah mana silapnya, kaki Dina tersadung membuatkan tubuhnya terlanggar pasu perhiasan berdekatan. Pasu itu terjatuh ke lantai. Bunyi kaca pecah memenuhi setiap pelusuk rumah sebelum kedua-dua belah tangannya pula mendarat di tempat yang sama.
"Ah!"
Tangannya serta merta terasa kebas dan terasa seperti tertusuk sesuatu yang tajam. "Aduh!!!"
Digagahkan diri untuk bangkit juga, tangannya meraba-raba ke hadapan mencari suis lampu.
Tap!
Rumah jadi terang benderang. Pandangan Dina terus jatuh pada tangan sendiri, membulat matanya bila telapak tangannya sudah dipenuhi darah dan serpihan besar dari pasu yang dia terlanggar tadi sudah tertanam didalam tangannya.
Tangan kanan menggenggam tangan kirinya yang sudah mula berdenyut. Matanya dipejam erat bila tangannya mula rasa berbisa. Air matanya jatuh.
Dengan kelam kabut dia kembali menuju kearah beg tangan yang berada diatas sofa. Kunci kereta dicari sebelum dia keluar dari rumah.
Kereta dipandu cermat menggunakan sebelah tangan sementara sebelah lagi diletakkan diatas riba. Rancak nafasnya menahan kesakitan. Wajah sudah berkerut-kerut. Sekali sekala, tangannya mengesat air mata yang mengaburkan pandangan. Tiba sahaja di klinik 24jam, dia terus menonong masuk.
Selepas lebih dua jam dirawat, Dina kembali keluar dan melabuhkan duduk disalah sebuah kerusi ruang menunggu bahagian farmasi. Tangannya yang sudah berbalut bandage dipandang. Digenggam hujung jemari tangan kanan menggunakan tangan kirinya — sejuk.
"Irsha Medina,"
Dina bangkit dan berjalan kearah kaunter dan mendengar setiap satu butir penerangan ubat yang diberitahu pekerja farmasi.
Selesai itu, dia kembali keluar dari klinik dan terus masuk ke dalam kereta. Telefon yang berada didalam beg tangan dikeluarkan. Ada satu pesanan WhatsApp dari Ines lebih lima jam lalu memberitahu yang dia sudah selamat sampai ke rumah.
Dina balas mesej itu kembali menyimpan telefon. Kereta dipandu, sambil itu matanya meliar ke kiri dan kanan mencari kedai makan. Lorong drive-thru dimasuki dan makanan ringan dipesan.
Tiba sahaja kembali di kawasan rumah, enjin kereta dimatikan dan dia masuk ke ruang tamu.
Sofa tempat dia tertidur tadi kembali dia duduki. Matanya jatuh pada tangan yang berbalut. Sakit. Diusap-usap bandage yang membalut tangan.
Makanannya kemudian dibuka. Dina menikmati makan malam itu tanpa memikirkan apa-apa. Hanya makan dalam senyap sunyi. Cukup tiga suapan, dia berhenti. Kenyang.
Tubuhnya disandarkan. Tangan yang berbalut diletakkan diatas riba, sebelah lagi tangan mengusap permukaan pembalut dan dia kembali tertidur.
•••
WAJAH Dina berkerut tatkala ada satu bunyian asing memecah ruang pendengarannya. Mata dibuka drastik. Rasa berdenyut di tangan buat keningnya berkerut sebelum pandangan dijatuhkan pada telapak tangan sendiri. Makin sakit. Pergelangan tangannya digenggam.