"KAU apa khabar?" Soal Ines dengan senyuman besar. Wajah cantik Dina tak lepas dipandang. Dina masih macam dulu, cantik. Wajahnya masih tak murah dengan senyuman. Itu yang Ines rindukan.
"Baik. Kau pula, macam mana? Minta maaf aku tak dapat datang majlis kahwin kau." Masih ada tersisa rasa bersalah kerana tidak menghadiri majlis perkahwinan Ines lebih tiga tahun dulu.
Untuk orang yang sentiasa ada dengan dia waktu dia ada di titik paling rendah dalam hidupnya, tak layak untuk dia ketepikan Ines hanya disebabkan kepentingan sendiri.
"Aku okey je, tak payah minta maaf. Aku faham situasi kau. Aku dapat jumpa kau lagi hari ni pun dah bersyukur sangat, Dina," balas Ines dengan senyuman.
Dina balas senyuman itu. Matanya yang tadi membalas panahan mata Ines bertukar kearah perut wanita itu. Perut Ines sudah meninggi. Dina letakkan telapak tangannya diatas perut Ines.
"Bila due?"
"Tunggu masa,"
"Maksudnya, aku dapatlah tengok baby kedua kau membesar ya?"
Ines tersenyum lebar seraya mengangguk laju. "Boleh kau ambil ilmu jaga baby dari aku,"
Dina kerutkan wajah. Entah bila ilmu itu akan dimanfaatkan pun dia tak tahu. Nak bayangkan dirinya ada anak sendiri pun tak terbayang.
"Aku happy sangat kau akhirnya balik juga Dina. Tujuh tahun, kau langsung tak balik kan? Apa yang kau dah jumpa dekat Singapore tu hah?"
Dina tersenyum senget. "Mana ada aku jumpa apa-apa. Aku cuma tak jumpa tujuan untuk balik."
Senyuman di wajah Ines perlahan-lahan hilang.
"Dina, aku nak tanya sikit boleh?"
Dina anggukkan kepala.
"Apa plan kau? Tentang hubungan kau dan Rayyan,"
Senyuman di wajah Dina pula mati. Seketika, dia tundukkan pandangan dan gelengkan kepala. Sebelum dia pulang, banyak yang dia dah fikirkan. Semakin hari berlalu, semakin dia sedar betapa dia terlalu banyak menyusahkan Rayyan. Mungkin, mereka sudah berjauhan dalam jangka masa yang lama namun status mereka tak pernah berhenti dari memberi beban kepada Rayyan.
"Sampai bila, Dina? Kau kena ingat status kau dengan dia masih sah. Tujuh tahun bukan waktu yang singkat,"
"Aku ingat... aku nak minta cerai je dari dia,"
Ines anggukkan kepala. Lebih baik begitu dari masih ada ikatan suami isteri tetapi ibarat digantung tak bertali. Atau lebih tepat, Dina sendiri yang menggantung dirinya.
"Kau dah jumpa orang lain ke dekat Singapura?"
Dina geleng kepala. Dia tak pernah fokus untuk mencari lelaki didalam hidupnya. Hubungan dia dengan Rayyan pun dah jadi masalah besar buat dia inikan pula nak cari lelaki lain.
Selagi masalah dengan Rayyan tak selesai, selagi itu dia tak akan meneruskan hidup seperti wanita lain.
"Kau tahu kan Uncle Zaqri dah meninggal?"
Jeda.
Terhenti sejenak kefungsian fikiran Dina. Wajah Ines dipandang dengan pandangan tidak percaya. Seluruh tubuhnya terasa menghangat buat sekilas lalu. Tak mungkin.
"U... uncle Zaqri... ayah Rayyan?"
Ines anggukkan kepala.
"Bila? A... aku tak tahu. Sumpah aku tak tahu," suara Dina mula berubah. Tiba-tiba dadanya terasa sebu dan sebak. Air mata mula bertakung di tubir mata. Uncle Zaqri, lelaki yang jaga dan anggap dia tak ubah seperti seorang anak itu?