SEPERTI yang sudah Rayyan janji, lelaki itu muncul untuk bawa Dina keluar cari pakaian baru untuk majlis syarikat Farris nanti. Cuma, lelaki itu datang waktu yang tak tepat. Mengundang rasa jengkel.
Dia datang waktu makan tengah hari dan minta Ayah Man untuk izinkan dia bawa Dina keluar sampai malam. Sesuka hati tinggalkan waktu kerja. Rayyan, dah tentulah boleh buat sesuka hati keluar masuk pejabat bila-bila masa sebab company yang dia bekerja itu company bapak dia yang punya, tapi company bapak Dina pun dia nak buat sesuka hati.
"Boleh-boleh, nak bawa dia pergi sampai esok pun tak apa," seloroh Ayah Man.
Dina jeling bapa saudaranya. Salah orang Ayah Man ajak bergurau. Rayyan ni bukannya boleh orang seloroh sikit, nanti dia guna gurauan Ayah Man sebagai paksaan serius.
"Menurut perintah!" Balas Rayyan sambut gurauan Ayah Man.
Ayah Man balas dengan tawaan. "Hati-hati ya, have fun,"
"Baik Ayah Man, kami gerak dulu ya." Rayyan salam hormat tangan Ayah Man diikuti dengan Dina.
"Baiklah,"
Dua pasangan itu beransur pergi. Masuk sahaja ke dalam kereta suasana terus jadi sunyi.
"Rayyan,"
"Hm?"
"Kau dah ada girlfriend?"
Rayyan tidak segera jawab. Sejak dua menjak ni Dina suka tanya soalan yang pelik-pelik. Semalam tentang anak dan hari ni tentang kekasih. Hm.
"Ada,"
"Oo."
Rayyan pandang Dina sekilas. Lepastu? Itu aje? Motif?
Suasana kembali sunyi. Dina tak rasa dia mahu berbual tentang apa-apa lagi. Sebenarnya, bukan sengaja dia soalkan hal itu pada Rayyan. Kan dia dah cakap, sejak malam tadi dia tak berhenti terfikirkan soal anak. Ada satu benda yang kuat menekan kepalanya dan bila dia dengar jawapan Rayyan kurang dua minit lalu, dia jadi makin yakin dengan kehendak sendiri.
Tapi... dalam rasa yakin itu kenapa dia rasa kecewa?
Kepala ditolehkan ke kanan. Wajah bersahaja Rayyan yang leka memandu ditatap. Mustahil Rayyan tak ada wanita lain didalam hidup dia. Yang boleh beri dia cinta dan yang bertuah terima cinta dia. Rayyan ada disini bersama Dina pun jelas kerana amanah atas tanggungjawab sebagai suami. Dina faham tujuan Rayyan. Tak akan ada cinta dari Rayyan Haydeen buat Irsha Medina setelah apa yang Dina buat pada lelaki itu dan keluarganya dulu.
Mereka tak akan jadi lebih dari sebatas suami dan isteri tanpa cinta.
Malah Rayyan sudah janji, mereka akan berpisah sebaik Dina sembuh.
Dan lelaki itu akan berusaha untuk buat Dina sembuh.
Ada wanita lain didalam hidup Rayyan yang sedang menunggu Dina sembuh.
Jika bukan Qasya seperti yang Rayyan pernah beritahu... mungkin wanita lain.
Beruntung wanita itu.
Dina kembali tolehkan kepalanya ke hadapan.
Dia akan sendiri lagi lepas dia sembuh?
Rayyan akan pergi?
Kepala ditundukkan. Tiba-tiba dia rasa matanya berkaca.
Sakit:
"Kenapa tanya?" Soal Rayyan setelah agak lama.
Dina hanya gelengkan kepala dan kalihkan pandangan kepalanya luar tingkap. Nafas diatur supaya kembali tenang. Senak seperti ada tekanan yang sangat kuat menghimpit dada.