SEDAR dari lena, telefon bimbit yang berada dibawah bantal terus dibuka. 9:28 pagi. Kepalanya sakit, mungkin sebab menangis semalaman. Hari ini, air matanya kembali kering dan dia akan tempuhi hariannya seperti sebelum-sebelum ini. Sama, tiada apa yang akan berubah.
Menangislah air mata darah sekalipun, nasibnya tetap sama. Dia masih sendiri.
Dina terus bangkit dan ke tandas. Kelas paginya bermula jam 11 nanti. Malas tak malas, dia tetap kena pergi. Hampir 15 minit menyegarkan diri, dia terus bersiap dan keluar.
Tangga dituruni tenang sehinggalah matanya bertembung dengan dua buah bagasi besar yang tersusun dihadapan tangga ruang tamu rumah. Wajah berkerut. Ada satu rasa tajam mula menyakitkan dada bila dia mula mengagak beg siapa dan apa tujuan beg itu berada di ruang tamu rumah.
"Kak Sara," panggil Dina saat pembantu rumah melintasinya.
"Ya Dina?"
"Siapa punya luggage ni?"
"Mama dan papa,"
Mendatar sahaja wajah Dina mendengar ujaran Kak Sara, hatinya serta merta dihambat rasa sakit. Seperti yang dia sudah agak.
Dibuang betul dia ya sehinggakan orang tuanya nak ke mana dengan baju banyak-banyak dia tak tahu? Pagi-pagi dah kena hadap rasa ini.
"Mama dengan papa nak pergi mana?" soal Dina.
'Papa dengan mama akan ke Indonesia dalam tempoh masa yang lama," belum sempat pembantu rumah itu balas, suara papanya sudah terlebih dahulu memecah kesunyian rumah sambil menuruni anak tangga.
"Apa?" soal Dina keras. Wajahnya semakin berkerut seribu. Pakaian papanya dipandang dari atas sehingga ke bawah. Seperti hari sebelum-sebelumnya, tampak berkarisma dengan berkod serba hitamnya.
"Kenapa tak beritahu Dina pun? Papa memang dah tak anggap Dina ni anak papa ke?"
"Apa cakap macam tu... cuba Dina beritahu papa bila je kita jumpa? Bila papa ada dekat rumah Dina tak ada, bila Dina ada mama dengan papa pula sibuk," ujar Encik Nizam tenang.
Sesungguhnya, tegas bukanlah sikap dia lagi-lagi bila dengan puteri tunggal kesayangan. Entah macam mana semalam dia boleh terlepas laku bila dikuasai rasa marah dan risau saat Sara menelefon dia dan memberitahu ke mana Dina mahu pergi malam tadi.
Mujur ada Rayyan. Lelaki itu sentiasa jadi harapannya bila dia dalam kesusahan.
"Jadi salah Dina ke semua tu?"
"Bukan itu yang papa maksudkan. Papa cuma tak sempat beritahu Dina,"
"Jadi papa memang nak tinggalkan Dina dekat sini sorang-soranglah?" soal Dina mula mengubah topik. Kalau dibicarakan soal tiada waktu untuk beritahu itu sampai sudah perbicaraan ini akan terus tegang. Dia tetap akan kalah dan dipersalahkan.
"Papa tak nak pun tinggalkan Dina tapi Dina kena faham papa ke sana atas urusan kerja,"
"Habis Dina macam mana?"
"Dina tinggal dekat rumah Mama Rina untuk enam bulan ni ya?"
Terbuntang mata Dina mendengarnya. Jadi selama itulah papa dan mamanya akan menetap di Indonesia? Dan selama itu juga dia harus tinggal di rumah kakak sulung kepada papanya itu? Mengarut. Sudahlah dia dengan anak kedua Mama Rina tak pernah sebulu.
"Jangan mengarutlah papa. Papa tahu kan Dina dengan Puteri macam mana? Daripada duduk dengan Mama Rina, Dina lebih rela tinggal dekat rumah ni."
"Okey, duduk rumah tapi make sure jangan balik lewat sangat, jaga diri, papa tak boleh terlalu harapkan maid tanpa toleransi dari Dina sendiri... jangan buat papa risau ya," pesan Encik Nizam. Wajahnya mula jatuh. Sebenarnya, sejak dia diputuskan untuk ke Indonesia untuk enam bulan hatinya langsung tak senang dan asyik memikirkan puteri tunggalnya yang satu itu.