"LEPASKAN AKU, RAYYAN!" Sambil menjerit kuat tangan yang menggenggam tangannya ditepis kasar.
Rayyan lepaskan tangan Dina sebaik mereka sudah berada didalam bilik Rayyan.
Dina usap jemari sendiri. Jari diantara jari manisnya berbekas dek cincin yang sudah tersarung rapi di jari manis bila Rayyan genggam tangan dia dengan kuat.
"Tolonglah jangan provok mama,"
"Bila masa aku provok mama kau? Dia yang bersuara, kau ada dengar aku balas bila dia hina-hina aku ke?"
Rayyan terdiam. Matanya jatuh pada tangan Dina yang masih mengusap jari sendiri. Terus tangan kanan gadis itu dicapai dan jari Dina diusap-usap. "Aku minta maaf,"
"Tak payahlah!" tangannya ditarik kasar dari genggaman Rayyan.
Mata Rayyan kekal jatuh pada cincin belah rotan yang dibelikan semalam. Ya, mereka sudah sah bergelar suami isteri kurang 10 jam lalu. Hanya berlangsung di pejabat agama dan bersaksikan papa.
Cincin milik Dina itu, dia hanya capai yang mana sempat. Tangkap muat. Nasib baik Dina muat. Wajah Dina dipandang, walaupun perkahwinan ini atas dasar terpaksa, dia tetap mahu berikan sesuatu buat Dina. Cincin itu, hadiahnya.
Sibuk mereka sepanjang dua hari ini. Lagi susah urusan bila Dina langsung tak mahu beri kerjasama. Mahu tak mahu, Rayyan terpaksa guna kekerasan untuk memaksa Dina.
"Esok aku nak balik rumah aku. Aku tak suka duduk sini,"
"Kita pergi sama-sama,"
"Tak payah. Nanti mama kau kata aku nak ambil kau dari dia pula,"
"Janganlah cakap macam tu," ujar Rayyan perlahan.
"Apa-apa ajelah, Rayyan. Aku nak mandi. Pinjamkan satu tuala dan satu berus gigi,"
Tak banyak bunyi, Rayyan terus ambil barang yang Dina mahu dan diserahkan pada gadis itu. Tidak begitu lama, Dina hilang disebalik pintu tandas.
Rayyan berjalan ke balkoni. Kepala didongakkan ke langit dan mata dipejamkan. Nafas ditarik sedalam yang mungkin dan dihela perlahan-lahan. Banyak sangat yang menyesak fikirannya beberapa hari ini.
Bukan sahaja fikiran, tubuhnya juga terasa tekanannya. Dia letih. Sangat letih.
Mama.
Qasya.
Dina.
Mata kembali dibuka. Tangan kanannya diangkat dan cincin yang tersarung di jari manis ditatap. Cincin ini akan jadi saksi dia ambil sepenuhnya amanah Uncle Nizam. Mungkin jalan yang dia ambil ini berat. Dia dah lukakan banyak hati terutama sekali hati mama dan Qasya. Sampai sekarang, mama langsung tak mahu bercakap dengan dia. Tapi, dia tak akan kesali keputusannya. Tak akan sesekali.
Kenapa dia susah nak tinggalkan Dina? Walaupun dia sendiri sudah jelas yang Dina sudah cukup dewasa untuk uruskan hidup sendiri.
Dah macam-macam yang Dina dah buat, tapi onar yang paling besar pun tak mampu buat dia marah apatah lagi benci pada Dina.
Apa yang jadi di bilik hotel malam tempoh hari, memang keterlaluan. Dia kecewa namun perasaan dia hanya sebatas itu pada Dina. Dia rasa dikhianati. Dia cuba untuk marah, tapi dia tak mampu.
Rasa benci, tak akan wujud buat Dina.
Sedang sibuk dia termenung, figura seseorang yang muncul di taman menarik perhatiannya. Mama.
Laju dia kembali masuk ke dalam bilik dari balkoni dan terus keluar dari bilik itu. Tangga dituruni laju dan dia terus ke taman.
"Mama..."