BILIK wad bertempatkan Dina dimasuki. Bilik itu sunyi, hanya bunyi monitor yang menyerikan suasana.
Ines berdiri dekat dengan Dina, wajah polos Dina dipandang. Wajah Dina nampak kusam, figura Dina nampak susut berbanding dua bulan lalu. Jika Dina sedar, Dina tak seperti Dina yang dia pernah kenal sebelum dua bulan terakhir ini.
Dia yang sedang terbaring kaku ini, dengan Dina yang dia kenal di kampus seperti dua manusia yang berbeza.
Dina yang dulu, lantang. Macam dunia ini dia yang punya tapi Dina yang sekarang, seperti sudah tiada semangat untuk hidup. Dia seperti mengasingkan diri dari dunia.
"Aku dah janji yang aku tak akan biarkan kau rasa kau sendiri, Dina." Pipi Dina Ines usap. Sedih hatinya melihat keadaan Dina. Bertimpa-timpa ujian menekan Dina.
"Aku janji, aku akan cari tahu siapa yang sebarkan cerita tentang kau dengan lelaki jahanam tu dan lempang muka dia," janji Ines.
"Tapi... kau kena janji satu benda dengan aku dulu... bangun dan jadi Dina yang dulu. Dina yang kuat dan suka bergaduh. Dina yang tak hiraukan semua kejahatan yang pernah datang pada dia. Sebab kali ini, aku janji aku akan jadi back-up terbesar kau,"
"Aku tak ada kawan lain selain kau, Dina."
Ines tersenyum kecil. Dia sayangkan Dina.
"Bangun tau, aku tunggu."
Kemudian, kain separa basah yang ada diatas meja diambil lalu dilapkan ke lengan Dina.
Sepanjang dia membersihkan Dina, bibirnya membebel itu dan ini. Sehinggalah waktu sudah masuk senja. Dia harus pulang memandangkan ibu bapanya ada malam ini untuk makan malam bersama selepas seminggu ke Australia.
"Aku balik dulu tau, esok pagi aku datang balik." Dahi Dina dicium dan dia beredar. Keluar sahaja dari bilik, dia lihat Rayyan sedang berjalan menghampirinya. Lelaki itu menyandang bagpack bersama. Mungkin, Rayyan akan bermalam di hospital malam ini.
"Balik dah?" soal Rayyan.
Ines angguk kepala. "Aku ada hal malam ni. Kau stay sini ke malam ni?"
Giliran Rayyan pula anggukkan kepala.
"Okaylah, aku gerak dulu. Kalau ada apa-apa call aku tau,"
"Okay, drive safe Ines."
Ines balas dengan senyuman dan beransur pergi.
Rayyan masuk ke dalam wad bertempatkan Dina dan terus letakkan beg di bahagian sofa. Dina didekati. "Malam ni aku teman kau dekat sini,"
Suasana sunyi.
Rayyan tersenyum kecil, kalau Dina sedar pasti dia sudah dimaki Dina. Pasti Dina suruh dia balik dan jangan ambil tahu soal gadis itu.
Masih diluar kepercayaannya yang Dina terlantar di sini kerana dia cuba bunuh diri. Apa yang menekan Dina sehingga dia sanggup bertindak begini?
"Kuat Dina, aku janji aku akan jaga kau. Aku tak akan biarkan kau sendiri. Papa dan mama kau mesti sedih tengok keadaan kau macam ni..." ujar Rayyan cukup perlahan. Rambut Dina diusap ke tepi.
"Mana Dina yang aku kenal dulu? Yang asyik nak bergaduh dengan aku? Yang tak suka menangis dan paling benci dengan manusia yang lembik. Aku rindu dia, Dina. Aku rindu kau yang dulu..."
"Malam ni aku teman kau. Jadi, cepat-cepat sedar supaya esok kau boleh marah aku sebab menyemak depan mata kau." Tamat bicara, Rayyan tersenyum kecil dan dia bangkit.
Selimut yang membaluti tubuh Dina dibetulkan dan dia kembali ke bahagian sofa.
Baru dia mahu mengeluarkan buku nota sendiri, modul nota ringkas yang dia minta dari budak kelas Dina untuk Dina terlebih dahulu terjatuh dari dalam beg. Dia capai modul itu dan diselak satu per satu muka surat. Highlighter dan sticky note dikeluarkan. Setiap subtopic diasingkan menggunakan sticky note dan bahagian-bahagian penting ditanda menggunakan highlighter. Senang Dina nak rujuk atau buat ulangkaji nanti.