SELESAI menghantar Ines kembali ke universiti untuk mengambil kereta gadis itu, Dina terus pulang ke rumah Mama Rina. Syukur bila semua manusia yang sentiasa buat dia rasa tak nyaman tak ada di rumah meskipun waktu sudah memasuki senja.
"Dina, kalau nak makan... makan lah dulu," ujar Mama Rina yang kebetulan berada di ruang tamu rumah itu sedang menyelak-nyelak laman TikToknya.
"Tak apa, Dina dah makan dengan kawan kat luar."
Tanpa menunggu balasan Mama Rina, Dina terus panjat tangga dan masuk ke dalam biliknya. Tubuh dihempaskan diatas katil dan mata dipejam.
Tidak begitu lama, dia buka matanya kembali.
Fikirannya kosong, dia bosan. Nak tidur, waktu tak mengizinkan. Nak keluar, tubuh terasa penat pula. Mana taknya, hari ini dia sibuk dengan kelas, lepas itu dia ke kubur pula, bermandi hujan lagi. Macam-macam juga dia tempuh hari ini.
Mengenangkan penemannya hari ini, Dina tersenyum sendiri.
Dia tak sangka, entah dah berapa lama selesa tak berkawan... hari ini hatinya mudah menerima kawan baru dan orangnya adalah Inessa. Tidaklah kawan baru tapi untuk lebih terbuka seperti hari ini, ya itu baru.
Dina bangkit dari katil dan telefon yang berada didalam beg tangan diambil. Ada satu mesej dari Ines dan Dina buka mesej itu.
+ Vlog aku dah cecah 1M dekat YouTube!
Bersama satu pesanan itu, Ines mengantar satu pautan dari YouTube. Pasti itu video yang diedit Ines beberapa bulan lalu saat dia ke Verona. Laju jari Dina menekan pautan itu sebelum dia dibawa ke aplikasi YouTube dan video Ines bermain ditelefon bimbitnya.
Video berdurasi 36 minit itu dilihat tanpa sedikit pun matanya beralih ke tempat lain sehinggalah habis. Memang memegunkan setiap lokasi yang Ines pergi.
Verona, Dina akan masukkan nama negara itu ke dalam wishlist hujung tahunnya. Dia harus kesana tak kiralah jika dia akan kesana seorang diri sekalipun.
- Congrats Ines! You deserve it! Video kau best sangat
Balas Dina dengan senyuman. Ines memang kreatif, lihatlah betapa hebatnya editing video yang dia lihat tadi. Tak pelik jika video itu mendapat tontonan yang tinggi sebab memang menarik.
Tiba-tiba Dina teringat kata-kata Ines saat Dina melihat video separuh siap itu beberapa minggu lalu. Romeo & Juliet.
Dina tak sukakan filem berganre cinta, tapi disebabkan Verona kini menjadi negara yang paling dia ingin pergi dan Ines menyarankan dia untuk tonton filem berganre roman tragedi itu dahulu baru rasanya 'boom!', Dina jadi ingin tahu apa isi didalam filem itu yang boom sangat.
Komputer ribanya yang masih berada didalam beg dikeluarkan dan dibuka. Nama filem itu terus dicari di laman berbayar dan ditonton dengan tenang.
Sesekali dia menguap, sesekali wajahnya berkerut-kerut menonton filem yang mengambil masa kurang dua jam itu.
Sebaik cerita berakhir dengan kematian kedua-dua watak utama, Dina melepaskan nafas berat. Jadi, inilah sebabnya Ines suruh dia tonton filem asal negara inggeris itu? Untuk melihat dua manusia itu tamatkan riwayat hidup mereka sendiri?
Erm, Dina mula memandang ke langit.
Cuba membuat konklusi melalui rasa tidak puas hati.
Cinta yang membataskan segalanya. Kerana cinta pasangan yang telah hanyut dengan perasaan itu putuskan untuk akhiri nyawa sendiri. Jujur, Dina tak boleh terima pengakhiran cerita itu. Begitukah kesan cinta kepada seorang manusia? Pertemuan seorang Romeo dan Juliet tidaklah lama mana tapi lihatlah betapa utuhnya rasa itu beri kepada mereka sehingga mereka sanggup ubah takdir hidup sendiri.