Biarkan saya menjadi penunggu di dalam gua cinta awak
Di dalam biliknya yang suram, Qayla duduk menghadap cermin solek yang usang. Diri yang sudah tidak terurus, tangannya menggenggam erat kerusi kayu di hadapannya. Matanya sembam, dikelilingi bayangan gelap akibat malam-malam tanpa tidur, semuanya disebabkan oleh kenyataan pahit yang diungkapkan Razil. Fikirannya seakan-akan terperangkap dalam putaran satu frasa yang sama berulang-ulang.
"Mungkin dia rasa kau bukan siapa-siapa, hanya penghalang untuk dia dapatkan Aeden."
Kata-kata itu bagai cakar tajam yang merobek setiap sisa kewarasan dalam dirinya. Air matanya sudah kering, yang tinggal hanyalah kemarahan yang membakar dari dalam. Dia mendengus kecil, memeluk lutut di hadapan cermin, dengan tubuh yang makin lemah kerana berhari-hari tidak makan dan keluar dari bilik. Pembantu rumahnya sudah berkali-kali mengetuk pintu, membawa makanan dan air, tapi semuanya ditolak tanpa rasa peduli. Baginya, dunia kini hanya ada satu tujuan, dia mahu segala yang dirampas darinya dikembalikan. Qayla, dalam ketidakwarasan, sudah tekad untuk merebut kembali lelaki yang pernah menjadi miliknya.
"Aku akan dapatkan balik semua yang diambil dari aku."
Di luar bilik, Edward Abdullah, ayahnya, berdiri bersama pembantu rumah, wajahnya sarat dengan kebimbangan yang jelas. Berkali-kali dia mengetuk pintu, memanggil nama anaknya dengan nada yang penuh kasih sayang, tetapi tiada jawapan. Dari hari pertama Qayla mengurung diri, dia sudah risau, tetapi kini kegusaran itu berubah menjadi ketakutan yang tidak dapat dijelaskan.
"Qayla! Qayla, buka pintu ini. Daddy nak masuk," suara Edward bergema di luar pintu. Dia mengetuk dengan lebih kuat, tetapi masih tiada balasan. Wajah pembantu rumah di sebelahnya kelihatan cemas, memandang Edward dengan pandangan penuh belas kasihan.
"Encik Edward, mungkin... mungkin kita perlu pecahkan pintu. Sudah terlalu lama Cik Qayla di dalam tanpa keluar. Kami tak tahu dia makan atau tidak," pembantu rumah berkata dengan suara serak.
Edward mengangguk, tekad untuk tidak menunggu lagi. Dia menandakan pada pembantu rumahnya, dan beberapa saat kemudian, dengan dorongan kuat, pintu berjaya didobrak. Bau udara yang bertakung, pengap dan gelap memenuhi ruangan. Edward melangkah masuk dengan jantung berdebar kencang, khuatir akan keadaan anaknya yang sudah lama tidak dilihat.
Namun, apa yang ditemuinya membuatkan dia tergamam. Di depan cermin solek, duduk seorang wanita yang kelihatan seperti Qayla, tapi ini bukan anak perempuannya yang biasa. Qayla yang dilihatnya ini berdandan dengan rapi, bibirnya dilapisi gincu merah pekat, wajahnya dihiasi anting-anting yang berkilauan. Dia sedang membetulkan rambutnya, senyuman kecil terukir di bibir yang merah, seolah-olah sedang bersiap untuk suatu majlis istimewa. Senyuman itu bagai suatu bayangan menyeramkan yang seolah-olah tidak nyata.
"Rose..." Edward memanggil perlahan, suaranya hampir berbisik. "Sayang... kenapa ni? Daddy risau, Rose... dah berhari-hari kamu kurung diri. What happened?"
YOU ARE READING
𝐒𝐘𝐄𝐃 𝐀𝐄𝐃𝐄𝐍 𝐅𝐀𝐘𝐘𝐀𝐃𝐇 [C]
Lãng mạnSYED AEDEN FAYYADH & SOPHEA NADINE "Siapa saya pada awak sebenarnya? Apa salah saya?" "kau bukan sesiapa dalam hidup aku, Sophea." Sophea Nadine, Dia hanya seorang remaja biasa yang sering ditimpa dugaan yang tidak putus-putus datang tanpa dijemput...