TERGESA-GESA langkah kaki Adzriel diatur menuju ke wad yang menempatkan Hana. Sejak kes di hospital ini tempoh hari, suspek tidak lagi jejakkan kaki di sini. Mungkin kerana menyedari kehadirannya dijejaki oleh pihak lain.
Siapa lagi kalau bukan si topi kelabu yang masih kekal misteri?
Memang benar kini selain daripada suspek berhud hitam itu, suspek bertopi kelabu juga sedang dijejaki pihak polis. Masih menjadi misteri siapa mereka berdua, dan identiti gadis berhud hitam juga masih tidak dapat ditemui jejaknya.
Namun buat masa kini, pandangan saksi lebih penting.
Aqlan sekadar mengikuti jejak langkah Adzriel dari belakang. Telefon bimbit diseluk kembali ke dalam poket seluarnya di bahagian belakang. Sebuah fail nipis di dalam genggaman digenggam erat. Sudah tentu fail tentang kes ini.
Adzriel menguak perlahan pintu wad Hana. Apabila dapat panggilan daripada Raziq yang mengatakan bahawa saksi sudah sedar, terus dia dan Aqlan bergegas ke sini. Satu-satunya waktu yang ditunggu akhirnya tiba. Mereka harus mendapatkan maklumat lanjut tentang kes ini.
Seorang pegawai polis perempuan yang siap beruniform biru tua itu terus mengangkat tabik hormat kepada mereka berdua, diikuti dengan Raziq di sebelah. Salam hormat terhadap kedua-dua inspektor yang berpangkat tinggi daripada mereka. Hal biasa dalam unit polis.
"Tuan," sapa Raziq dan pegawai polis perempuan itu serentak. Nada tegas.
Adzriel dan Aqlan melemparkan senyuman seraya mengangguk sekali, menyapa tabik mereka. Aqlan berdiri di sisi katil Hana yang kelihatan masih termenung seolah-olah tidak menyedari kehadiran mereka. Dibiarkan saja kerusi di sisi katil Hana itu kosong. Sengaja biar Adzriel saja yang duduk.
Namun melihat Adzriel yang masih berdiri di sebelahnya, Aqlan hairan.
"Kenapa kau tak duduk?" Aqlan berbisik perlahan, tepat di telinga Adzriel. Fail di dalam pegangan diletakkan di atas meja di sisi katil.
Adzriel menoleh. Dia melukis senyuman sebelum menggeleng perlahan.
"Aku dah ada isteri, Lan. Kau ajelah yang duduk. Walaupun ini hal kerja, aku tetap nak jaga hati Naaila biarpun jauh dari dia. Aku berdiri je kat sini. Apa-apa yang keluar dari mulut saksi, aku catat."
Alahai. Aqlan tersenyum kecil. Wujud lagi ke lelaki yang pemikiran seperti Adzriel? Tak salah dia biarkan Adzriel kejar Naaila dulu. Dia bersyukur bila kawan sebaik Adzriel ini jadi adik iparnya. Sebab itulah dia percaya Adzriel dari lelaki lain di luar sana. Walaupun lelaki itu pak ustaz, manusia tetap manusia. Hati boleh berubah.
"Nur Hana Binti Halim?" Aqlan bersuara sebaik sahaja melabuhkan duduk di atas kerusi. Fail di tangan dibuka. Dia membaca dahulu setiap butir tentang saksi yang disusun seakan-akan resume sebelum dia menyandarkan tubuh pada kerusi.
Perlahan-lahan Hana menoleh ke kanan, ke arah Aqlan yang sudah melemparkan pandangan serius ke arahnya. Wajahnya pucat. Bibirnya kering merekah. Kata Raziq, sudah berapa kali mereka suruh Hana untuk jamah sedikit makanan walaupun hanya biskut tapi Hana balas dengan gelengan. Tidak langsung mengeluarkan walau sepatah kata. Membisu.
Tapi Aqlan akan cuba. Mungkin tentang kes ini, Hana akan bantu dan membuka mulut.
Mata Hana yang kuyu itu, Aqlan tatap dengan serius. "Hana. Saya tak nak buang masa kat sini. Saya akan berterus-terang. Tugas awak hanya sekadar perlu jawab dengan jujur sahaja. Saya harap awak boleh beri kerjasama kepada kami. Boleh?"
Diam. Muka Hana kekal tidak beriak.
Adzriel menyiku Aqlan. Aqlan menoleh sambil menjongket bahu.
YOU ARE READING
𝐈𝐧𝐬𝐩𝐞𝐤𝐭𝐨𝐫 𝐀𝐝𝐳𝐫𝐢𝐞𝐥 | BAKAL TERBIT
RomancePDRM SERIES 1 Antara khianat dan pertalian darah... "Kau kenapa peluk aku ni? Kau siapa?" Uish! Macam mana dia boleh tersalah peluk orang? Disangka abang, rupa-rupanya kawan abang sendiri! Habis berona merah mukanya seperti tomato. Rasa nak sumbat m...