A D Z R I E L | 51

7.2K 431 22
                                    

     "KAU nak apa-apa tak?" Zareel menumpahkan soalan sejurus merapati Afina yang duduk berlunjur menghadap ke jendela. Adiknya itu gemar mengasingkan diri daripadanya sekarang. Sejak kejadian di Pulau Ribong minggu lalu, Afina semakin berubah. Dingin saja adiknya itu layan dia.

     Mereka kini berada di sebuah rumah teres milik Zareel. Memang rumah ini hak sepenuhnya milik Zareel. Bukan rumah sewa, tetapi dia beli sepenuhnya. Hanya untuk dia dan Afina. Cuma hari ini, barulah Zareel dapat jejakkan kaki semula ke dalam rumah yang setelah sekian lama ditinggalkan.

     Mana taknya, ini adalah rumah arwah ibu dan ayah. Selepas kematian kedua-duanya, rumah ini adalah atas nama Zareel sendiri.

     "Tak." Afina menggeleng sekali. Mata tidak berkelip merenung ke luar jendela. Rasa bersalahnya semakin mencengkam tangkal hati. Rasa rindu terhadap Aqlan, Naaila dan mak semakin erat menghurung jiwa. Tetapi egonya masih memenangkan perasaan sakit hati dengan tindakan ibu yang membuangnya seperti dia ini hanyalah barang yang sudah terpakai. Semuanya gara-gara Adzriel sendiri.

     Dalam hati, Afina tertanya sendiri. Berbaloikah apa yang dia dan Zareel lakukan? Memang betul mereka berdua melakukan perkara begini kerana diselisihkan oleh keluarga kerana Adzriel diutamakan. Tetapi mereka lakukan bersebab. Mereka cuma ingin rasa kasih sayang. Terutamanya Zareel yang tidak pernah merasa sekelumit sekalipun. Walaupun ayah sering kali ungkapkan sayang terhadap Zareel, ayah tidak pernah membuktikan dengan perbuatan. Perbuatan lebih menjelaskan semuanya berbanding percakapan.

     Zareel mengeluh sekali. Sisi wajah Afina yang sedang termenung itu ditatap lama. Dia melepaskan nafas panjang.

     "Kau masih tak boleh lupakan Naaila ke?" tanya Zareel.

     Langsung Afina menoleh ke arah abangnya itu. Wajah serius dan mendatar. Tidak mempamerkan sebarang ekspresi mahupun senyuman.

     "Abang Reel tak rasa bersalah dengan Adzriel?" Entah macam mana boleh terlontar soalan itu melalui mulutnya. Afina hanya ingin jawapan jujur daripada Zareel sendiri.

     Terdiam. Riak wajah Zareel berubah tegang.

     "Kenapa aku kena rasa bersalah?"

     Afina kekal merenung tidak berkelip ke arah Zareel. Tidak menoleh langsung ke kiri dan kanan. Mata kekal fokus kepada abangnya.

     Zareel merengus sekali. Plastik makanan yang sedari tadi di tangannya dilemparkan sedikit kasar ke atas katil Afina.

     "Aku tak nak kau persoalkan lagi pasal ni. Makan lepastu rehat. Aku tak nak adik aku sakit." Zareel memusingkan tubuh. Daun pintu bilik Afina dibuka lalu dia menapak keluar.

     Sebaik sahaja Zareel menutup pintu bilik, Zareel menyandarkan belakang tubuh pada muka pintu. Dia kemudian melepaskan nafas berat. Kepala didongakkan ke atas, menghadap siling putih yang menghiasi rumah itu.

     Rasa bersalah? Zareel melangut seketika.

     "Aku sayang kau, Reel!"

     Serta-merta kelopak mata Zareel terasa panas. Zareel memejamkan mata sekejap. Setitis air mata mengalir perlahan.

     "Itu je yang aku nak dengar..." gumam Zareel perlahan. Suara Adzriel yang mengungkapkan rasa sayang kepadanya seminggu yang lalu kembali bermain di telinga.

     Ya. Itu sahaja yang dia mahu dengar selama dia hidup. Tidak pernah sekali pun dia dengar sesiapa ungkapkan rasa sayang kepada dia walaupun dari mulut arwah ibu dan ayah sendiri.

     "Aku tak pernah balas setiap perbuatan kau terhadap aku dulu. Sampai sekarang, walau aku tahu aku buru abang aku sendiri, tak pernah sedetik sekali pun dalam hati aku ni untuk berdendam dengan kau atas apa yang kau dah lakukan. Sebab aku sayang kau. Zareef yang selalu jenguk kau walaupun tahu kau buru aku selama ni, sekalipun dia tak balas perbuatan kau terhadap aku. Kenapa kau terlalu buta untuk nampak semua tu?"

𝐈𝐧𝐬𝐩𝐞𝐤𝐭𝐨𝐫 𝐀𝐝𝐳𝐫𝐢𝐞𝐥 | BAKAL TERBITWhere stories live. Discover now