"PUAN NAAILA! Kami diarahkan untuk bawa Puan Naaila, Afina dan mak puan ke tempat lebih selamat. Boleh ikut kami sekarang?" seorang anggota polis bernama Faizal mendekati mereka yang sedang duduk di atas kerusi.
Naaila yang sedang membaringkan sisi kepalanya ke bahu Afina, mengangkat muka. Sudahlah dia rindukan suaminya yang jauh dari mata. Afina dan mak berpandangan antara satu sama lain mendengar arahan Faizal.
"Puan Naaila dan keluarga tak selamat kat sini. Suspek dah tahu Puan Naaila ada di sini. Sebentar tadi Inspektor Adzriel hubungi Tuan dan maklumkan tentang perkara ni."
Tuan Azwar yang sedari tadi sedang menghadap meja bersama walkie-talkie bagi mengawasi misi Adzriel, mengangkat wajahnya. Terus dia merapati Naaila.
"Saya dan yang lain akan iring Puan Naaila dan keluarga. Kita bergerak sekarang," kata Tuan Azwar dengan nada serius. Menunjukkan bahawa dia tidak main-main dengan apa yang diungkapkan.
Naaila mengangguk faham. Tangan kanannya mencapai tangan Afina manakala tangan kirinya mencapai tangan mak. Mereka bangun dan bergerak mengikuti Tuan Azwar, Faizal dan seorang anggota polis yang bakal mengiringi mereka.
"Tuan! Tuan!"
Serentak mereka menoleh ke belakang. Melihatkan salah seorang anggotanya berlari mendapatkan mereka dengan cemas. Sampai sahaja di hadapab mereka, dia tercungap-cungap cuba mengambil nafas.
"Tuan! Gerak sekarang! Ada bom dipasang kat belakang! Masa tinggal 50 minit untuk kita bergerak!"
Membuntang mata mereka yang mendengarnya. Tuan Azwar menoleh ke arah Naaila, Afina dan mak yang sudah mula ketakutan.
"Keluar sekarang! Ikut Faizal ke kereta! Cepat!" lantang Tuan Azwar bersuara sebelum dia berlari mengikuti anggota polis tadi.
Pin! Pin! Pin! Bunyi penggera kecemasan bergema.
"Perhatian! Sila keluar dari tempat ini dengan kadar segera! Kami dapati bom di dalam balai yang bakal meletup tak lama lagi! Sila keluar dari sini dengan segera!" Tuan Azwar melempar jauh mikrofon yang berbentuk petak di tangan. Terus dia berlari ke belakang balai diikuti dengan anggota yang laporkan perihal bom tadi.
Mendengarkan itu, lantas polis-polis yang sedang bertugas tergesa-gesa mengemaskan apa-apa yang patut. Ada yang sudah bergerak mencapai gagang telefon dan mendail pihak kecemasan.
"Puan Naaila, Cik Afina, dan puan! Sila ikut saya!" Faizal berlari keluar dari kawasan balai. Keretanya yang elok terpakir di hadapan balai dibuka pintunya.
Tanpa membuang masa, Naaila, Afina dan mak mengikuti langkah Faizal. Masing-masing sudah memboloskan tubuh ke dalam kereta. Tuan Azwar yang kembali bersama senapang UMP 45 di tangan masuk ke bahagian penumpang.
Setelah memastikan semua berada di dalam kereta, Tuan Azwar mengangguk sekali kepada Faizal. Memberi arahan agar gerak sekarang.
Faizal terus menolak gear dan menekan brek tangan ke bawah. Keretanya bergerak keluar dari balai, diikuti dengan tiga kereta polis dari belakang.
Bom itu akan diselesaikan oleh salah seorang anggota mereka yang handal dalam mematikan bom. Hanya seorang itu sahaja yang dipercayai boleh cam wayar mana untuk dipotong agar hentikan kiraan bom. Kerana kepercayaannya terhadap anggota sendiri, Tuan Azwar serahkan perihal bom tersebut kepada dia.
Kereta Faizal dan tiga buah kereta polis yang setia mengekori dari belakang berdesup laju membelah jalan raya. Jalan ini sedikit lengang walaupun ada juga beberapa buah kenderaan yang lalu-lalang di situ.
"Kita akan selamat kan akak?" Afina memecahkan kebisuan di dalam kereta. Tangannya erat memegang tangan Naaila.
Naaila menoleh ke sisi. Dia mengangguk sekali sambil menyimpulkan senyuman. Senyuman memujuk sudah pastinya walhal hatinya sendiri gelisah dan gentar.
YOU ARE READING
𝐈𝐧𝐬𝐩𝐞𝐤𝐭𝐨𝐫 𝐀𝐝𝐳𝐫𝐢𝐞𝐥 | BAKAL TERBIT
RomancePDRM SERIES 1 Antara khianat dan pertalian darah... "Kau kenapa peluk aku ni? Kau siapa?" Uish! Macam mana dia boleh tersalah peluk orang? Disangka abang, rupa-rupanya kawan abang sendiri! Habis berona merah mukanya seperti tomato. Rasa nak sumbat m...