"KAMI? Pengkhianat sebenar?"
Zareel melepaskan tawa kecil. Malah kedengaran sinis pada mereka yang berada di situ. Afina yang kaku berdiri hanya mendiamkan diri. Sudah kenal benar dengan sikap abangnya yang satu itu.
"Kalau bukan kerana sikap manusia, aku takkan jadi diri aku yang sekarang ni, Reef!" Serta-merta Zareel menjerit lantang. Tong air di sebelahnya ditendang kasar sekali, menyebabkan ia bergolek di atas lantai. Berdegang bunyinya apabila ia jatuh ke atas lantai.
"Manusia kejam! Suka menghina orang ikut kata hati mereka tanpa fikir dulu apa yang orang tu bakal rasai! Apa yang manusia mahukan cuma kesalahan sesama sendiri! Sebaik mana pun orang tu, kesalahan tetap mereka utamakan untuk jatuhkan mereka!" Memicing mata Zareel kala merenung ke arah Zareef yang sekadar berdiri tenang.
"Kau tahu rasanya apabila dibuli kerana ada penyakit mental? Kau tahu rasanya bila orang sekeliling caci keluarga aku ada sakit mental?! Kau tahu betapa hinanya pandangan mereka terhadap aku seolah-olah aku ni pengemis jalanan yang sekadar mengutip sampah sebagai makanan! Apa yang kau tahu tentang tu, Reef?"
Mendengar setiap bait perkataan yang ditembak keluar dari bibir Zareel membuatkan raut wajah Zareef berubah. Begitu juga dengan Adzriel yang sedari menunduk, sudah mengangkat wajah sendiri. Masing-masing terkesima dengan apa yang baru disampaikan Zareel.
Dibuli? Dicaci? Dihina? Kenapa mereka baru tahu semua ini?
"Mereka hina Fina sakit jiwa! Mereka hina adik kita, Reef! Orang sekeliling semuanya tumpahkan rasa benci terhadap aku! Salah ke kalau aku ingin tagih kasih sayang ibu?! Salah ke kalau aku jadi tamak hanya sekali untuk rampas kasih sayang ibu terhadap Riel?! Salah ke..."
Anak mata Zareel bergetar. Tidak berkelip matanya yang memerah itu membalas pandangan Zareef. Jari telunjuk yang menggeletar ditala ke arah dada sendiri.
"... aku ingin rasa kasih sayang untuk sekali je? Sekali je, Zareef. Sebesar kuman pun tak apa. Aku cuma nak ibu sayang aku. Sebab tu aku benci Riel sebab ibu sentiasa lebihkan dia!"
"Walaupun ayah sayangkan aku lebih daripada Riel, ayah tak pernah sekalipun luangkan masa untuk aku. Ayah hanya tunjukkan rasa sayang melalui duit! Aku tak hamak duit! Aku cemburu tengok ibu selalu ada masa untuk Riel. Aku iri hati lihat Riel gelak tawa dengan ibu! Kenapa aku tak mampu dapat semua tu? Kenapa?!"
"Kenapa... kau tak pernah bagitahu kami tentang ni, Reel? Kenapa kau perlu tanggung seorang diri? Kenapa perlu kau seksa diri sendiri dengan pendam semua masalah ni? Kenapa kau kena bebankan hati sendiri?" Zareef yang sedari tadi membisu mula melemparkan suara. Anak matanya mula bergenang merenung ke arah adik kembarnya. Tidak sangka selama ini, itulah yang Zareel hadap. Pasti sukar untuk Zareel laluinya seorang diri.
"Beritahu kau orang?" Zareel melirik sinis. Dia tertawa kecil.
Bersama tawa yang mati serta-merta, Zareel mengangkat wajah. Sepasang matanya berubah tajam.
"Kalau aku beritahu, siapa nak faham aku? Kau orang? Kau dan Riel? Kau orang faham apa yang aku hadap?"
Zareef terdiam.
Zareel tertawa sinis apabila melihat abang kembarnya yang serta-merta membisu.
"See? Tak ada siapa faham aku. Aku tak layak difahami. Aku tak layak disayangi. Aku dianggap robot padahal aku juga manusia yang punya hati dan perasaan untuk dijaga."
Benar. Sebab itulah Zareel sangat sayangkan satu-satu adik perempuannya sekarang, Afina. Kerana dia tahu betapa peritnya hidup tanpa kasih sayang. Sebab itu dia takkan persia-siakan Afina. Dia ingin Afina rasa disayangi. Dia ingin Afina rasa dihargai.
YOU ARE READING
𝐈𝐧𝐬𝐩𝐞𝐤𝐭𝐨𝐫 𝐀𝐝𝐳𝐫𝐢𝐞𝐥 | BAKAL TERBIT
RomansaPDRM SERIES 1 Antara khianat dan pertalian darah... "Kau kenapa peluk aku ni? Kau siapa?" Uish! Macam mana dia boleh tersalah peluk orang? Disangka abang, rupa-rupanya kawan abang sendiri! Habis berona merah mukanya seperti tomato. Rasa nak sumbat m...