NAAILA duduk berteleku di atas katil sendirian. Mata dimuntahkan ke arah tingkap di kanannya, hanya memerhati pemandangan di luar. Awan-awan sudah berkumpul menandakan bila-bila masa saja hujan bakal turun membasahi bumi.
Sebentar tadi baru saja Adzriel keluar dari wad untuk ke kafe. Katanya ingin beli makanan tengah hari buat Naaila. Terharu pula Naaila dengan tindakan suaminya. Memang dari pagi dia hanya lihat Adzriel jamah sedikit roti kaya yang dibeli dari kafe tetapi dibelinya nasi goreng untuk Naaila sebagai sarapan. Adzriel sekadar makan benda ringan sahaja.
Sekarang ini, Adzriel keluar belikan dia makan tengah hari. Tak difikirkan langsung tentang dirinya. Naaila tersenyum nipis. Untung dia punya suami mithali seperti Adzriel.
Dum!
Lamunan Naaila termati apabila bunyi guruh berdentum menampar gegendang telinga. Kedengaran juga titis-titis air hujan mula turun. Ah, dah hujan. Naaila menyandarkan belakang tubuh pada kepala katil.
Hmm... nak buat apa ya? Naaila mengeluh. Aduh, bosannya! Kalaulah ada buku yang boleh dibaca, tak adalah membazir masa.
"Assalamualaikum, Kak Naaila."
Suara seorang gadis membuatkan kepala Naaila menoleh ke muka pintu. Saat melihat gerangan yang melangkah merapatinya, senyuman Naaila kian lebar.
"Waalaikumussalam. Anggerik!"
Anggerik! Sudah lama dia tidak berjumpa dengan kawannya itu. Meskipun dia hanya dua tahun tua daripada Anggerik, hubungan mereka memang rapat umpama isi dan kuku sejak kecil lagi. Alahai, rindunya dengan Anggerik.
"Kak Naaila sihat? Macam mana luka tikaman? Okey?" soal Anggerik prihatin lalu melabuhkan duduk di sebuah kerusi bersebelahan katil Naaila. Wajah Naaila yang semakin sihat itu dipandang.
"Okey je. Macam mana Anggerik tahu Kak Naaila kena tikam?" Berkerut sekejap dahi Naaila.
Pelik. Rasanya hanya keluarganya saja yang tahu tentang perkara ini. Macam mana boleh sampai ke pengetahuan Anggerik?
Kepala yang tidak gatal digaru sekali. Anggerik tersengih. Melihat sengihan Anggerik itu barulah Naaila faham. Mesti Aqlan yang beritahu Mak Milah lalu Mak Milah sampaikan kepada Anggerik.
Oh, Mak Milah!
"Mak mana, Anggerik? Dia tak datang ke?" tanya Naaila. Terteleng-teleng kepala di muka pintu. Mana tahu Mak Milah masuk lambat. Entah-entah terserempak dengan kenalan di koridor.
Pertanyaan itu dijawab dengan gelengan Anggerik. "Mak tak ikut. Katanya nak jaga gerai. Anggerik dah ajak mak tapi mak kata tak boleh nak tinggal gerai. Maklumlah, mak seorang aje yang jaga gerai. Kalau ada Anggerik, boleh la juga Anggerik tolong jagakan. Tapi Anggerik nak jumpa Kak Naaila."
Naaila mengangguk-angguk. Faham. Memang Anggerik ialah anak tunggal dalam keluarga. Bapanya dan merangkap suami Mak Milah sudah lama meninggal dunia atas faktor sakit tua. Hanya tinggal Mak Milah sebagai ibu tunggal dan gerai itu sajalah satu-satunya cara untuk menyara mereka berdua.
Kasihan juga Naaila dengan Mak Milah dan Anggerik. Anggerik sudah sambung belajar, jauh dari Terengganu. Maka, hanya Mak Milah yang menjaga kedai seorang diri. Mak Milah pula sudah semakin berumur.
Terselit juga rasa kagum dalam diri Naaila buat mereka berdua. Mak Milah walaupun semakin tua, tetapi kudratnya masih kuat. Masih mampu untuk berniaga seorang diri dan mencari duit untuk menyara hidup. Yuran pengajian kolej Anggerik juga hasil Mak Milah sendiri.
Kasih sayang seorang ibu tiada yang dapat tandingi. Mak Milah sanggup buat apa saja asalkan Anggerik sambung belajar. Dia hanya mahu Anggerik sambung belajar dan berjaya pada masa hadapan.
YOU ARE READING
𝐈𝐧𝐬𝐩𝐞𝐤𝐭𝐨𝐫 𝐀𝐝𝐳𝐫𝐢𝐞𝐥 | BAKAL TERBIT
Storie d'amorePDRM SERIES 1 Antara khianat dan pertalian darah... "Kau kenapa peluk aku ni? Kau siapa?" Uish! Macam mana dia boleh tersalah peluk orang? Disangka abang, rupa-rupanya kawan abang sendiri! Habis berona merah mukanya seperti tomato. Rasa nak sumbat m...