"TUAN! Kita dah dapat jejak lokasi mereka!"
Jeritan Adam yang memenuhi ruang sekitar balai itu menarik perhatian mereka yang sedang bekerja. Tuan Azwar yang sedang berbual dengan Aqlan tertoleh ke arahnya. Begitu juga dengan Naaila dan Adzriel yang turut berada di situ.
"Buka komputer!" Sebaik sahaja mendengar apa yang dikatakan oleh Adam, langsung Tuan Azwar mengarah Adam untuk membuka komputer. Dia melangkah laju ke arah Adam, diikuti Aqlan, Adzriel, Raziq dan beberapa pihak polis yang lain.
Laju jari-jemari Adam menaip di atas papan kekunci. Skrin sedang memaparkan code yang tidak diketahui, membuatkan mereka yang memandang berkerut dahi sendiri. Dah macam mana pula Adam boleh dapat kesan lokasi pelaku dengan code ini?
Tap! Adam mengakhiri taipnya. Tersenyum lebar dia merenung ke arah skrin komputer itu. Masing-masing menunduk, merenung skrin komputer yang memaparkan titik merah yang berkelip di atas peta.
"Kau biar betul? Ni kawasan hutan. Jauh sangat," kata Aqlan sambil mengerutkan dahi. Mengikut peta ini dan kalau nak dibandingkan dengan lokasi musuh dan lokasi mereka, jauh. Jauh sangat.
"Mana kau tahu ni lokasi dia, Dam?" tanya Adzriel yang sejak tadi mendiamkan diri.
"Ha! Itu pun benda penting yang saya nak cakap. Sebelum saya masuk balai tadi, ada nota tertinggal kat luar. Saya ingatkan siapa punya tadi, tapi bila tengok ni..." Adam menghulurkan sehelai nota di tangan. Kertas yang kekuningan yang telah dikoyak. Tetapi itu tidak memudarkan tulisan di atasnya.
Adzriel mencapai. Bercantum keningnya melihat apa yang tertera di atas kertas itu. Aqlan dan Raziq turut menjengukkan kepala untuk melihat isinya.
Code : 1579032366903473
"Siapa yang bagi saya pun tak tahu. Tapi saya yakin, dia cuba bantu kita." Adam menghabiskan katanya tadi. Memang dia pakar dalam mengesan lokasi menggunakan code dalam balai ni. Sebab itulah apa-apa kes jenayah dalam mengesan lokasi pihak musuh, semuanya akan bergantung kepada Adam.
Naaila terus bangun dari duduknya dan melangkah merapati mereka. Dia turut mendongakkan dagu sedikit, ingin melihat isi kertas di tangan Adzriel itu.
"Saya rasa ini mungkin dari lelaki yang selamatkan saya masa tu. Dia mungkin nak bantu kita dalam diam." Naaila bersuara setelah melihat isi kertas itu. Kertas kuning yang sama diterimanya di rumah ketika hari dia diserang.
Dan kerana itulah Naaila sendiri percaya bahawa itu adalah daripada lelaki yang sama. Melihat tulisan tangan yang menggunakan pen hitam itu turut menguatkan lagi rasa yakin dalam diri Naaila.
"Sebenarnya saya ada terima nota macam ni jugak. Kertas yang sama dan tulisan yang sama. Saya syak dari orang yang sama."
Laju mereka memandang ke arah Naaila. Berkerut serius dahi Adzriel mendengar apa yang terbit dari bibir isterinya.
"Kenapa Naaila tak bagitahu abang sebelum ni?"
Sengih. Naaila menggaru kepala yang tidak gatal. "Tak ada apa pun. Sebab dia cuma tulis dia minta maaf. Atas sebab apa pun Naaila tak tahu."
"Kita akan bergerak sekarang. Siapkan peralatan semua! Sebelum ada lagi nyawa yang menjadi korban, kita harus cepat selesaikan kes ni! Raziq! Adam! Adzriel! Aqlan!" Tuan Azwar bersuara tegas.
"Tuan!" Serentak mereka berempat berdiri tegak, memberikan tabik hormat terhadap Tuan Azwar. Serius dan ketat wajah masing-masing tanpa segaris senyuman.
"Sediakan semua peralatan! Kita akan bergerak sekarang! Yang lain, ikut sekali. Kita perlukan ramai orang untuk misi kali ini!" tegas Tuan Azwar.
"Faham, Tuan!" Langsung Raziq, Adam dan beberapa anggota polis yang lain berjalan laju ke bilik belakang. Masing-masing kelihatan tergesa-gesa.
YOU ARE READING
𝐈𝐧𝐬𝐩𝐞𝐤𝐭𝐨𝐫 𝐀𝐝𝐳𝐫𝐢𝐞𝐥 | BAKAL TERBIT
RomantikPDRM SERIES 1 Antara khianat dan pertalian darah... "Kau kenapa peluk aku ni? Kau siapa?" Uish! Macam mana dia boleh tersalah peluk orang? Disangka abang, rupa-rupanya kawan abang sendiri! Habis berona merah mukanya seperti tomato. Rasa nak sumbat m...