LANGKAH diatur menuju ke sebuah rumah usang di hadapannya. Bunyi dedaun kering yang gugur di atas tanah berkumandang tatkala tubuh yang berada di dalam genggamam diheret. Jari-jemari erat menggenggam kaki kanan mangsa sambil mengheretnya perlahan. Tanah itu menjadi kotor dengan darah yang diukir panjang daripada tubuh mangsa.
Tanpa rasa belas kasihan, dia mengheret tubuh itu melepasi tiga anak tangga yang tersedia di hadapan pintu utama. Mangsa hanya mampu menyeringai kesakitan. Ya, mangsa masih mampu melihat apa yang sedang berlaku sekarang ini. Pedih yang terasa di belakang tubuhnya apabila bercumbu dengan tanah yang dihiasi batu-batu dan ranting-ranting kayu yang tajam terpaksa ditahan. Nak melawan dia sudah tidak bertenaga. Dalam hati, dia pasrah dengan apa yang bakal terjadi.
Sebaik sahaja selamat berada di dalam rumah, pintu utama dia tutup dengan kasar. Bunyi pintu yang hampir roboh itu bergema menguasai setiap ruang di dalam rumah itu. Kegelapan mendominasi suasana.
Dia melepaskan pegangan pada kaki mangsa itu secara kasar. Dihempas saja kaki itu ke atas lantai tanpa menghiraukan rasa sakit yang si mangsa sedang hadap.
"Argh!"
Si mangsa berkerut dahi sambil memegang kakinya. Terpejam sekejap matanya menahan pedih apabila luka di kaki itu menyapa lantai dengan kuat.
Tubuh mengiring ke sisi. Dengan tenaga yang terasa telah ditarik keluar, dia membuka mata perlahan-lahan. Seorang figura berhoodie hitam dan berseluar hitam menjamah pandangan mata. Kasut boot hitam turut dikenakan sebelum bunyi boot itu bergema apabila figura itu melangkah ke hadapan, menjauhinya.
Dari tempat si mangsa, dia dapat melihat figura tersebut memegang sebilah pisau sambil mengasah perlahan. Tubuh figura itu membelakanginya. Namun, itu tidak menghalang si mangsa untuk melihat apa yang sedang dilakukan figura itu.
Bunyi pisau diasah memonopoli ruang itu. Agak kuat walaupun kedudukan mereka beberapa inci sedikit jauh. Mangsa meneguk liur tatkala bunyi pisau diasah itu menerjah halwa telinga. Seram dan takut bercampur menjadi satu perasaan yang sukar untuk ditafsirkan.
"Si... siapa... kau?" Dia memberanikan diri untuk bertanya.
Terhenti tangan yang sedang mengasah pisau itu. Terlihat tubuh figura berhoodie hitam itu kaku sekejap. Mangsa hanya memerhati sambil menunggu jawapan.
"Apa sa... salah aku? Ke... kenapa kau... buat aku macam ni? Kau... nak apa?" Semakin banyak soalan yang terbit dari bibir si mangsa. Dada berombak laju, tercungap-cungap ingin mengambil nafas.
Figura itu memutarkan tubuh. Mangsa terpaksa mengecilkan mata untuk mengecam wajah di sebalik hood itu. Namun apakan daya, kerana kegelapan yang menguasai suasana, wajah itu terlindung.
"Apa salah kau?" Suara figura itu bergema. Perlahan-lahan bunyi kasut bootnya mendominasi ruang apabila dia mula melangkah mendekati mangsa.
"Kau nak tahu apa salah kau?" Dia mencangkung di hadapan mangsa. Wajah mangsa yang berdarah itu direnung tajam. Darah tidak sudah mengalir dari dahi. Bibir mangsa itu juga pecah di kiri.
"Kau pengkhianat! Pengkhianat itu anjing! Anjing macam kau tak layak hidup!" Rambut mangsa dicengkam kasar sebelum wajah mangsa didongakkan menghadapnya. Akibatnya menyeringai sakit mangsa di hadapannya. Namun, itu lah kegemaran si figura berhood. Melihat manusia-manusia durjana dalam keadaan terseksa sudah menjadi darah dagingnya.
"Apa... apa yang kau cakap ni? Peng... pengkhianatan apa... yang kau cakapkan?!" jerit si mangsa. Dia mengetap bibir menahan pedih apabila figura itu masih tidak melepaskan cengkaman pada rambutnya.
YOU ARE READING
𝐈𝐧𝐬𝐩𝐞𝐤𝐭𝐨𝐫 𝐀𝐝𝐳𝐫𝐢𝐞𝐥 | BAKAL TERBIT
RomancePDRM SERIES 1 Antara khianat dan pertalian darah... "Kau kenapa peluk aku ni? Kau siapa?" Uish! Macam mana dia boleh tersalah peluk orang? Disangka abang, rupa-rupanya kawan abang sendiri! Habis berona merah mukanya seperti tomato. Rasa nak sumbat m...