A D Z R I E L | 55

8.3K 441 43
                                    

     SETIAP malam Naaila rasa kosong ketika mahu tidur. Begitu juga dengan malam ini. Rasa rindunya kepada Adzriel selama setahun ini tidak pernah pudar. Setiap malam dia hanya mampu peluk baju T milik Adzriel dan menangis sendiri.

     Naaila mengusap perlahan baju T Adzriel di tangannya. Dia menyimpul senyuman kecil. Cuma sekarang, hatinya perlahan-lahan mula menerima hakikat bahawa Adzriel sudah tiada. Cuma itulah. Dia takkan mampu jumpa lelaki seperti Adzriel. Sampai dia mati, dia tetap akan setia dengan Adzriel. Adzriel satu-satunya raja hatinya.

     Dia tahu, merintih dan meratap lah banyak mana pun, itu takkan kembalikan Adzriel semula. Naaila melepaskan nafas kecil. Dia membaringkan tubuh di atas katil.

     Mata Naaila termenung ke sisi. Hanya merenung dinding macam nak tembus.

     Sejujurnya, tiap-tiap malam dia dapat rasakan Adzriel dekat dengannya. Setiap malam dia rasakan lenanya ditemani Adzriel. Setiap malam dia rasakan tubuhnya dipeluk erat dan rasa hangat dalam dakapan itu.

     Terfikir juga dia. Aku ni terlalu rindukan dia ke sampai sentuhan dan pelukan itu terasa seperti realiti?

     Untuk memastikannya, malam ini, Naaila nekad.

     Krekk...

     Serta-merta bunyi pintu bilik terkuak menyapa gegendang telinga Naaila. Cepat-cepat Naaila pejamkan mata. Berpura-pura tidur. Mesti Afina atau Aqlan yang masuk untuk memeriksa keadaannya. Biasanya begitulah sejak pemergian Adzriel.

     Namun sangkaan Naaila jauh tersasar apabila terasa belakangnya dihenyak lembut. Sekali lagi, pinggangnya dipeluk erat dari belakang.

     Hairan. Tetapi Naaila tetap memejamkan mata. Dia mimpi. Dia mimpi! Kenapa pelukan ini sebiji dengan pelukan Adzriel?

    Dada Naaila berdebar hebat. Mungkin Afina yang memeluknya? Tapi kenapa terasa tangan Afina besar dan kekar semacam?

     Bagi memastikan itu, sengaja Naaila mengeliat kecil. Secara sengaja, dia memusingkan tubuh ke sisi dengan mata terpejam. Buat-buat mengigau.

     Dan secara sengaja juga Naaila memeluk tubuh kekar di sebelahnya itu. Dapat dia rasakan tubuh itu mengeras. Mungkin terkejut kerana tidak menyangka akan perbuatannya.

     Dalam hati, Naaila menyimpul senyum. Hah! Tak boleh lari mana lagi!

     Tetapi separuh hatinya merudum sayu. Tubuh kekar yang dia dakap ini, sama seperti tubuh Adzriel ketika dia dakap satu ketika dahulu.

     Rindu. Rindu kembali bertandang di hati.

     Sekejap!

     Baru Naaila perasan dia tidak mimpi sekarang. Kerana dia berpura-pura lena. Maksudnya...

     Secara spontan kelopak mata Naaila terbuka. Sepasang matanya bercumbu dengan sepasang mata yang redup.

     Naaila melopongkan mata. Tak mungkin! Dia kenal mata itu!

     Serta-merta tubir mata Naaila bergenang. Dia rindukan sepasang mata redup itu. Dan sekarang, mata itu memuntahkan pandangan penuh sayang, sama seperti dulu.

     "A... bang...?"

     Tubuh Adzriel mengeras.  Dia yang terkejut apabila Naaila sedar akan kehadirannya. Sudahlah dia tidak mengenakan pelitup muka dan topi.

     Anak mata Naaila bergerak-gerak memerhati setiap inci wajah Adzriel. Dia tak mimpi kan?

     "Naaila... mimpi ke?" Jari-jemari Naaila naik mengelus pipi Adzriel. Wajah itu masih bersih tanpa jambang. Sekejap ibu jari Naaila mengusap rahang Adzriel.

𝐈𝐧𝐬𝐩𝐞𝐤𝐭𝐨𝐫 𝐀𝐝𝐳𝐫𝐢𝐞𝐥 | BAKAL TERBITWhere stories live. Discover now