PANG! Bunyi pintu dikuak dengan kasar mengejutkan semua yang berada di situ. Adzriel dengan muka menahan bengang, melangkah masuk ke dalam balai. Diikuti dengan Aqlan, Zareef, Faizal dan Tuan Azwar. Sebelum mereka ke sini, mereka terlebih dahulu hantar mak ke rumah Mak Milah. Meminta Mak Milah untuk menjaga mak sementara mereka uruskan tentang ini.
Sebentar tadi baru saja Shalha, anggota yang dikenali dengan kepakarannya dalam mematikan bom menghubungi mereka dan memaklumkan bom di balai sudah berjaya dipotong wayarnya. Tuan Azwar akhirnya boleh menarik nafas lega. Dia tahu dia boleh letak kepercayaan kepada Shalha.
Tidak lain tidak bukan bom itu diletakkan secara sembunyi di balai hanya kerana keberadaan Naaila di situ. Memang itu sasaran Zareel.
Vest yang sedikit kotor dengan debu, Adzriel buka dari tubuh lalu dihempas kasar ke atas meja kerjanya. Aqlan meletakkan HK 416 miliknya ke atas meja sambil membuka segala peralatan yang membelit di tubuh.
"Naaila kat tangan dia. Naaila kat tangan dia!" Adzriel meraup wajah sedikit kasar. Risau dan takut apa yang bakal terjadi kepada isterinya. Zareel itu psiko! Apa-apa saja dia boleh lakukan ke atas Naaila.
"Sabar, Riel. Apa-apa pun, kita tak boleh teruskan kerja ni kalau terlalu ikutkan perasaan. Tenangkan diri dan fikir baik-baik macam mana kita nak selamatkan Naaila dengan Afina. Afina sekarang pun ada dekat tangan abang kau," pujuk Aqlan. Memang antara dia dan Adzriel, dia lebih profesional dan lebih gemar berfikir secara rasional sebelum bertindak. Tidak kira ini melibatkan keluarga mahupun kawan rapat, sekiranya bertindak melulu menggunakan emosi, segalanya akan hancur juga.
Adzriel memejam mata. Bibirnya dikemam sedikit. Jelas urat timbul di dahi dan lengan sasanya. Penumbuk dikepalkan, cuba meredakan perasaan sendiri.
"Zareef Zayyan Athariz."
Suara mendatar daripada Tuan Azwar yang mengangkat muka daripada dokumen di tangan membuatkan perhatian mereka terkalih. Terutamanya Zareef dengan rambutnya yang sedikit kusut, menoleh ke arah Tuan Azwar. Sedikit tertelan liur sendiri melihat wajah serius lelaki separuh umur itu.
"Kau pelaku di sebalik apa yang terjadi selama ni?" soal Tuan Azwar.
"Nanti dulu, Tuan. Tuan salah faham." Aqlan memintas laju.
"Tapi memang muka dia sama dengan muka suspek kita." Berkerut dahi Tuan Azwar mendengar bidasan Aqlan.
"Pelaku yang dikehendaki kau orang semua ialah Zareel. Zareel Zahran Athariq. Adik kembar saya. Sebab kami kembar lah kau orang semua salah faham siapa pelaku sebenar." Zareef mendekati mereka. Hud biru gelap yang agak kotor di tubuh disapu debunya.
"Mana kau pergi selama ni Reef?" tanya Adzriel. Dia melangkah setapak ke hadapan. Wajah Zareef yang sedikit kotor dengan kesan hitam di dagu dan pipinya ditenung lama. Namun itu tidak menjejaskan langsung kebersihan kulit wajah lelaki itu. Masih kacak seperti dulu. Cuma sekarang lebih kacak. Masih tidak percaya yang berdiri di hadapannya sekarang ini ialah Zareef, abang yang disangka tidak bernyawa.
Zareef membalas renungan Adzriel. Terlerai rindunya kepada adiknya itu. Dia mengukir senyuman nipis buat Adzriel. Serta-merta tubuh Adzriel, dia tarik ke dalam pelukan.
Kaku. Terbuntang mata Adzriel akibat terkejut. Kejung tubuhnya umpama terkena renjatan elektrik.
"Abang rindu kau, Riel. Syukurlah kau membesar dengan baik." Zareef menepuk-nepuk lembut belakang tubuh Adzriel. Amboi, makin sado adik aku ni!
Sekejap sahaja sebelum akhirnya Adzriel melukis senyuman di wajah. Pelukan Zareef, turut dibalas. Dia pun rindukan Zareef! Satu-satunya ahli keluarga yang sentiasa memahaminya.
YOU ARE READING
𝐈𝐧𝐬𝐩𝐞𝐤𝐭𝐨𝐫 𝐀𝐝𝐳𝐫𝐢𝐞𝐥 | BAKAL TERBIT
RomancePDRM SERIES 1 Antara khianat dan pertalian darah... "Kau kenapa peluk aku ni? Kau siapa?" Uish! Macam mana dia boleh tersalah peluk orang? Disangka abang, rupa-rupanya kawan abang sendiri! Habis berona merah mukanya seperti tomato. Rasa nak sumbat m...