A D Z R I E L | 4

13.3K 731 51
                                    

PAGI itu, awal-awal lagi Aqlan sudah bergerak ke pasar. Ingin beli barang keperluan dapur katanya. Si Afina pun beria-ia mahu ikut sekali sebelum akhirnya hanya Naaila, Adzriel dan mak sahaja yang tinggal di rumah.

     Mula-mula Naaila segan mahu duduk di rumah. Ya lah, sudahlah Adzriel dengan dia sahaja. Tapi bila fikirkan balik, mak pun duduk seorang sahaja nanti. Tidak sampai hati pula Naaila hendak tinggalkan mak seorang. Mahu ikut Afina dengan Aqlan, buat apa nak pergi pasar ramai-ramai? Buat pesta?

     Selesai sahaja kemas rumah, Naaila buat keputusan untuk baca buku di pondok yang terletak di luar rumah. Cuaca hari ini agak redup. Tidak terlalu panas dan tidak juga mendung. Sebab itulah Naaila terfikir untuk baca buku masa macam ni. Sambil membaca, sambil menikmati udara segar di luar. Nyaman tak terkata.

     Mata Naaila menari-nari membaca setiap bait perkataan yang tertulis dalam novel yang dibacanya. Satu-satunya novel yang berjaya menarik minatnya. Behind A Smile.

     Pada mulanya, dia kenal buku ini melalui video-video yang ditontonnya di aplikasi TikTok. Popular betul buku ini. Naaila sendiri tidak faham apa yang best sangat tentang buku ini sampai ramai yang membeli dan review pun cakap best. Jadi dia buat keputusan untuk beli buku ini.

     Baca sinopsis belakang buku itu pun sudah menarik. Dan apabila Naaila baca sahaja buku itu, baru dia faham kenapa ramai yang sukakan novel Behind A Smile. Mengisahkan tentang kehidupan seorang gadis polos yang masih belajar dan terpaksa mengharungi berbagai dugaan hidup. Perwatakan gadis itu yang ceria sering menipu orang sekeliling yang sentiasa bersangka dia tidak pernah menghadapi sebarang masalah kehidupan. Namun siapa sangka, di sebalik senyuman itu, tersembunyi seribu satu masalah yang tidak diketahui sesiapa. Pelbagai onak dan duri yang harus dia rintangi telah mengajarnya akan definisi sebuah kehidupan. Untuk mengecapi bahagia, rasa sakit dan sedih harus diperjuangkan dalam berperang bagi meraih kemenangan yang dipanggil sebuah kebahagiaan.

     Watak utama lelaki, yang diberikan nama Izzat Helmi, amat membuktikan lelaki setia itu ada. Siapa sangka, gadis itu dan lelaki itu pernah menjalinkan hubungan ketika di usia masih mentah. Bayangkan, umur lima belas tahun mereka jatuh cinta dan akhirnya hubungan mereka terputus selepas masing-masing tamat peperiksaan SPM. Kata orang, cinta monyet. Naaila juga berperspektif sedemikian rupa. Tetapi tidak apabila jiwanya berjaya dicengkam sepenuhnya oleh karya ini.

     Sehingga umur mereka mencapai dua puluh tahun, si jejaka masih setia dan menunggu si gadis untuk kembali ke pangkuannya. Kerana sebuah perjanjian yang pernah mereka lakukan tiga tahun yang lalu, si jejaka berubah mencari cinta Allah kerana azamnya ingin berubah menjadi lebih baik, sekaligus menjadi seorang suami yang baik buat sang gadis. Azamnya semakin tekad untuk menghalalkan gadis itu pada masa yang tepat.

     Malah selepas tamatnya peperiksaan SPM, hatinya tidak pernah serik untuk terus mencintai sang gadis. Siapa sangka, jejaka itulah yang pada akhirnya melahirkan pelangi dalam hidup sang gadis selepas lebatnya hujan turun membasahi hingga ke kerak tanah sejarah hidupnya. Selepas beberapa tahun berlalu, akhirnya lelaki itu kembali membawa sekali mahar yang ada nama-Nya, ikhlas ingin memperisterikan si gadis.

     Setia. Itu sahaja kata kuncinya dalam mengekalkan sebuah hubungan.

     'Haih, bilalah aku boleh dapat lelaki setia macam ni?' Naaila memuncungkan sedikit bibirnya. Entahlah. Bila baca buku ini, rasa macam lelaki sesetia watak Izzat ini tersangatlah limited edition untuk dijumpai. Kalaulah dia boleh jadi seperti watak gadis di dalam buku ini...

     Seketika wajah Adzriel terlintas di fikirannya. Eh, dah kenapa aku tiba-tiba terfikir si kambing itu pula? Naaila menggeleng laju.

     Sekejap. Baru perasan. Teringat Adzriel, tak nampak langsung bayang lelaki itu dari tadi. Naaila berkerut. Takkan dia bangun lambat kut? Atau jantan tu dah bangun tapi tak mandi lagi? Tak tahu bilik air di mana?

𝐈𝐧𝐬𝐩𝐞𝐤𝐭𝐨𝐫 𝐀𝐝𝐳𝐫𝐢𝐞𝐥 | BAKAL TERBITWhere stories live. Discover now